Disebabkan meningkatnya permintaan barangan secara online, semakin ramai memilih untuk membuat bisnes online dari rumah.

Memang tidak dinafikan bisnes sebegini mempunyai kelebihannya tersendiri seperti tidak perlu membayar sewa kedai dan tak perlu pekerja.

Anda hanya perlu ada internet pantas dan peranti seperti telefon bimbit atau komputer riba.

Namun, ini tidak bermakna bisnes dari rumah tiada cabarannya. Tak kiralah sama ada ingin buat dropship, jadi ejen atau ingin jual produk sendiri, seseorang usahawan itu perlu ada strategi bisnes yang baik.

Untuk bantu anda bangunkan bisnes online dengan lancar, jom ikuti 10 kesilapan yang perlu anda elakkan.

10 Kesilapan Bisnes Online Dari Rumah Yang Wajib Dielak

1. Kawal Emosi

Tak kiralah perniagaan apapun yang anda ceburi, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah didik emosi terlebih dahulu.

Walaupun perniagaan online ini tidak memerlukan anda untuk berdepan dengan pelanggan atau pembekal, namun ini tidak bermakna anda terlepas daripada cabaran.

Malah, peniaga online juga sangat mudah untuk terdedah kepada kecaman atau cyberbully di media sosial. Mungkin niat pelanggan hanya untuk menyuarakan kekurangan dalam produk atau perkhidmatan yang diberikan. Sebagai usahawan, adalah penting untuk kita tidak mudah melenting dan kekal profesional.

Jadi, kuatkan emosi dan jangan mudah mengalah sekiranya anda mahu kekal lama dalam bisnes.

bisnes online dari rumah

2. Campur Urusan Peribadi Dengan Bisnes

Ini adalah antara kesilapan bisnes online dari rumah yang ramai terlepas pandang.

Elakkan untuk berniaga menggunakan akaun peribadi media sosial. Bila anda mula bercerita tentang hal peribadi dan menjual produk pada akaun yang sama, maka pengikut anda akan keliru dan hala tuju bisnes anda juga nampak tidak jelas.

Oleh itu, anda perlulah buka satu akaun khas untuk berniaga. Ini bukan sahaja akan membuatkan bisnes anda tampak lebih profesional, malah ia juga akan membantu anda untuk kendalikan perniagaan dengan lebih teratur.

3. Gagal Kenalpasti Pelanggan Sasaran

Kalau nak perkhidmatan atau produk laris, anda kenalah belajar untuk luaskan market. Anda perlu tahu siapa pelanggan anda, umur, jantina dan lokasi di mana mereka berada dan minat mereka.

Bila sudah tahu, maka senang untuk anda fokuskan kempen pemasaran yang sesuai untuk target audience anda.

Antara cara yang anda boleh lakukan untuk kumpul data-data ini ialah dengan membuat survey atau poll secara atas talian.

4. Tak Buat Copywriting Yang Jelas

Sesetengah peniaga online juga sering terlepas pandang akan kepentingan copywriting yang mantap. Yang mereka tahu hanyalah muatnaik gambar. Tanpa deskripsi atau penjelasan yang menarik, memang sukar untuk peniaga sampai kelebihan produk dan menarik pelanggan.

Anda juga boleh gunakan teknik bercerita dengan menghasilkan video menarik untuk tarik minat pelanggan untuk ke platform bisnes anda.

5. Jual Macam-Macam

Melainkan anda pemilik kedai runcit, jangan jadikan bisnes online anda macam kedai runcit. Untuk permulaan bisnes online, anda sangat disarankan untuk fokus menjual satu produk sahaja atau jenis produk yang sama dalam satu masa.

Lihat sahaja Khairul Aming, beliau hanya jual satu produk iaitu Sambal Nyet tetapi mampu jana sehingga jutaan ringgit! Terdapat juga ramai usahawan lain yang mampu bangunkan empayar bisnes hanya dengan satu produk sahaja.

Jangan tergopoh-gapah untuk pelbagaikan produk. Sebaliknya, fokus untuk bina jenama dan kepercayaan pelanggan terlebih dahulu. Bila perniagaan lebih stabil, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk tambah produk lain.

6. Abaikan Branding

Dalam apa jua perniagaan sekalipun, branding sebenarnya sangatlah penting. Bukan sekadar mencipta logo atau produk sendiri, tetapi branding melibatkan proses mencipta imej serta reputasi jenama di mata pelanggan.

Dalam erti kata lain, branding yang baik boleh membuatkan pelanggan cepat mengecam jenama anda di pasaran dan membezakan anda dengan jenama pesaing lain.

Anda boleh capai branding yang baik menerusi pengiklanan dan interaksi yang konsisten di media sosial atau platform atas talian lain seperti website atau e-mail marketing.

7. Tak Sabar

Dalam bidang perniagaan, anda tak boleh harapkan keuntungan serta merta. Hakikatnya, bisnes ini terdapat banyak cabarannya sehinggakan ada gagal berkali-kali dan rugi beribu ringgit.

Sesetengah pemilik bisnes berjaya yang anda lihat sekarang ini pun ada juga yang pernah gagal dan hampir muflis semata-mata untuk bangunkan produk sendiri.

Perkembangan bisnes ini adalah proses yang berterusan dan perlulah kesabaran yang tinggi.

Setiap kali diduga, anda perlulah bersabar, belajar daripada kesilapan dan rangka semula strategi yang lebih baik untuk bisnes.

8. Melabur Modal Yang Besar

Disebabkan banyak kos dapat dijimatkan dengan jualan secara atas talian, ada sesetengah peniaga yang berani melabur modal yang besar tanpa mengukur risikonya terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jangan terus melabur pada iklan berbayar. Pilih alternatif yang lebih jimat seperti pengiklanan percuma di media sosial. Begitu juga dari segi stok barang. Anda tak perlu penuhkan stor dengan barang untuk dijual sedang pelanggan tak datang pun untuk melihat sendiri barang tersebut.

9. Tidak Menambah Ilmu / Mencari Mentor

Perniagaan online adalah bidang yang pantas berkembang dan memerlukan seorang usahawan untuk pantas beradaptasi dan laksanakan strategi berbeza.

Jadi, risikonya besar jika seorang usahawan itu masuk dalam bidang ini tanpa belajar atau merujuk kepada usahawan lain yang lebih berpengalaman.

kesilapan bisnes online dari rumah

10. Guna Satu Platform Sahaja

Sekiranya anda sudah mahir dan mempunyai ramai pengikut di Facebook, tiada salahnya untuk anda kembangkan lagi jenama anda di platform lain seperti Youtube atau TikTok.

Tambahan pula, ramai peniaga kini berlumba-lumba untuk menjual secara ‘live’ di TikTok dan marketplace Shopee. Jika jenama besar seperti Siti Khadijah pun buat ‘live’ untuk menjual telekung, apa alasan anda untuk tidak lakukannya?

Dengan mempromosikan jenama di platform lain, ini juga akan memudahkan anda mencapai lebih ramai pelanggan.

bisnes online dari rumah

Dalam memulakan bisnes, adalah perkara biasa sekiranya usahawan melakukan kesilapan. Seperti yang dibincangkan, bisnes sebenarnya adalah satu proses yang berperingkat dan memerlukan masa untuk berkembang.

Untuk menjamin bisnes yang kukuh, adalah penting untuk seorang usahawan menimba ilmu, bermula daripada bawah dan perkemas branding serta produk dari semasa ke semasa.

Yang penting, jangan mudah berputus asa kerana kerugian atau gagal itu adalah perkara yang normal dalam dunia perniagaan. Selamat mencuba!

Sumber : richworks.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top