Untung rugi sudah menjadi adat dalam perniagaan. Dalam setiap keputusan yang diambil, pasti ada risiko yang menanti peniaga. Lebih-lebih lagi bagi usahawan kecil, kegagalan boleh memberikan impak yang besar kepada bisnes yang baru dibangunkan.

Namun, gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Untuk berjaya dalam dunia bisnes, anda bukan sahaja perlu berusaha sehabis mungkin, malah anda juga perlu ada semangat yang kuat untuk terus berjuang.

Bagi membantu usahawan bangkit semula selepas kegagalan, pengasas Syukor Burger dan Syukor Coffee terpanggil untuk berkongsikan pengalaman serta tips yang berguna.

Menurut usahawan yang berasal dari Pulau Pinang ini, beliau telah mencuba pelbagai jenis bisnes dan pernah gagal banyak kali. Namun, beliau akhirnya berjaya bangunkan jenama burger sendiri dengan terjualnya 1 juta burger dalam masa kurang daripada satu tahun! Beliau yang baharu mengusahakan kafe Syukor Coffee juga kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan lembu.

Ayuh kita lihat beberapa tips bagaimana Syukor bangkit semula untuk usahakan bisnes sehingga berjaya.

5 Tips Untuk Bangkit Semula Dalam Perniagaan

1. Mindset

Menurut Syukor, mindset adalah satu perkara yang sangat powerful. Beliau juga suka memetik lagu Fikirkan Boleh dengan bait-bait lirik “Jika kau fikirkan kekalahan, kau hampiri kegagalan, jika kau fikirkan kemenangan, kau hampiri kejayaan. Engkaulah apa kau fikirkan, terkandung dalam pemikiran.”

Padanya, lirik lagu ini memang tepat. Sebagai usahawan, mindanya sering terdorong untuk memburu kejayaan. Dengan mindset yang betul, anda juga mampu kecapi kejayaan walau apa pun cabaran yang mendatang.

2. Ilmu

Untuk jadi usahawan yang berjaya, jangan malu untuk terus belajar. Bak kata pengasas Syukor Burger ini, ilmu itu penyuluh jalan. Walaupun sudah berusia puluhan tahun, jangan rasa jemu untuk belajar perkara baharu.

Menurut Syukor, tingkah laku seseorang yang suka merasakan diri sudah pandai hanya akan membuatkan ego semakin membukit. Bila ego semakin tinggi, seseorang itu akan rasa susah atau malu untuk belajar, lebih-lebih lagi dengan orang muda. Lihat sajalah jenama Bulan Bintang, pengasasnya baru berusia 26 tahun tapi mampu bangunkan jenama yang besar!

Jadi, teruskan belajar. Masih banyak ilmu baharu boleh diambil untuk dipraktikkan dalam bisnes. Mana tahu ilmu yang kita pelajari itu boleh mantapkan lagi hasil jualan? Anda juga yang untung!

3. Mentor

Bangkit Semula Dalam Perniagaan

Selain mencari ilmu, jangan malu juga untuk berguru. Pada Syukor, pepatah ‘aku makan garam dulu’ sudah tidak relevan lagi dalam bisnes.

Buktinya, sudah ramai orang mudah yang jauh lebih berjaya walaupun baru setahun dua berniaga. Semuanya disebabkan oleh keinginan yang kuat untuk menambah ilmu.

Jadi untuk bangkit dari kegagalan, usahawan sangat digalakkan untuk mencari mentor yang mampu membimbing dalam selok belok bisnes. Tambah Syukor lagi, pastikan mentor itu sendiri ada pengalaman dan kepakaran yang betul, jangan pula berguru dengan orang yang salah!

4. Lingkaran Kawan (Circle)

Selain itu, Syukor turut menekankan kepentingan untuk seseorang usahawan itu supaya berada dalam circle atau lingkaran yang betul. Namun, ini tidak bermakna anda perlu tinggalkan kawan sedia ada.

Menurutnya, kawan-kawanan adalah cerminan diri. Circle yang baik pasti akan berusaha membantu kita bangkit semula. Pastikan kita berada dalam circle yang positif dan supportive.

Bangkit Semula Dalam Perniagaan

5. Move On

Kegagalan lalu usahlah dikenang. Sebaliknya, jadikan ia sebagai sempadan dan tauladan. Bak kata orang tua-tua “Kegagalam merupakan cikgu terbaik”.

Pandanglah dari sudut positif. Akui kelemahan dan belajarlah untuk baiki kesilapan. Tak perlu difikirkan lagi perkara yang sudah lepas kerana ia boleh membuatkan jiwa berkecamuk.

Begitulah serba sedikit tips serta nasihat yang dikongsikan oleh Syukor Hamid. Beliau juga menasihatkan supaya para usahawan jangan muda berputus asa. Bangkit terus dan jangan serik mencuba. Kegagalan bukanlah pengakhir bagi segala-galanya. Ia sepatutnya menjadi pembakar semangat buat anda untuk bangun dan cuba sehingga berjaya.

Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada semua terutamanya buat para usahawan yang sedang berhadapan dengan kegagalan namun mahu bangkit semula dalam perniagaan.

Sumber : Facebook Syukor Majid

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top