Usaha tak pernah mengkhianati hasil. Dengan keazaman untuk mengubah nasib hidup, sesiapa pun mampu bangkit dan berjaya dalam dunia perniagaan.

Siapa sangka pengasas Soru Station, Zed Rodzuan pernah diduga dengan hutang yang mencecah 6 angka kini mampu menjadi usahawan terkenal dan miliki 9 cawangan restoran?

Bagaimana beliau mampu harungi ujian besar itu dan membangunkan bisnes restoran sendiri? Ayuh kita ikuti kisah jatuh bangun pengasasnya.

Kisah Pengasas Soru Station Bangunkan Bisnes Restoran Makanan Western

Zed mengalami titik paling rendah dalam hidupnya apabila ditendang daripada bisnes sendiri dan terpaksa menanggung hutang sebanyak RM 180,000 ketika mahu membuka bisnes. Disebabkan masalah kewangan, keretanya juga telah ditarik.

Beliau yang berusia 28 tahun ketika itu tiada pilihan dan terpaksa pulang ke kampung dan mengharapkan belas ihsan keluarganya untuk meneruskan hidup.

Nekad Untuk Bangkit

Walaupun tiada hala tuju yang jelas, Zed tetap nekad untuk bangkit dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Tambahan pula, beliau tidak boleh selamanya bergantung kepada keluarga.

Pada awalnya, Zed memilih untuk menceburi bidang hartanah dan bekerja sebagai ejen. Dalam tempoh 6 bulan, beliau sekali lagi diuji apabila gagal untuk menjual rumah. Beliau juga memilih untuk tinggal di kawasan seakan rumah setinggan di Sentul dan hanya menjamah roti untuk terus bertahan.

Sekiranya mahu menjamah hidangan lengkap, beliau terpaksa menebalkan muka dan meminjam duit daripada adik beradiknya.

Pada bulan keenam, Zed mampu menarik nafas lega apabila berjaya menjual dua buah rumah secara serentak di Ayers Tower Ampang.

Ini sekaligus membolehkan beliau untuk bertahan selama beberapa bulan lagi. Sejak itu, rentak beliau semakin lancar sehingga mampu menjual beberapa buah rumah lagi.

Mula Bisnes Kecil-Kecil

Walaupun bisnesnya pernah gagal, namun ini tidak menghalang Zed untuk memulakan bisnes baharu. Tambahan pula, semangat keusahawanan beliau cukup menebal.

Oleh itu, beliau pun menggunakan duit simpanan yang ada serta duit pinjaman daripada ayahnya untuk membangunkan sebuah perniagaan yang dinamakan Soru Station.

Beliau mula berniaga dengan mengubahsuai sebuah lori buruk untuk dijadikan food truck. Pada awalnya, beliau mula menjual makanan dan minuman di sekitar Cheras.

pengasas soru station

Untuk memastikan kelangsungan bisnes, Zed reda apabila terpaksa mengeluarkan keuntungan beliau sendiri hasil menjual rumah demi membiayai pekerja.

Setelah beberapa bulan menjalankan bisnes, Zed gembira kerana bisnesnya mula mendapat rentak yang baik. Pelanggannya makin ramai sehingga memerlukan ruang berniaga yang lebih besar.

Kebetulan pula ketika itu, salah seorang rakan Zed melihat potensi pada bisnesnya dan bersetuju untuk melabur dana sebanyak RM 17,000. Menggunakan modal itu, Zed pun memindahkan operasi bisnesnya ke medan selera berdekatan.

Zed juga beruntung kerana telah berkenalan dengan salah seorang pelanggan yang merupakan pegawai Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Tanpa disangka-sangka, pelanggan tersebut sedia menawarkan peluang kepada Zed untuk meminjam dana kerajaan sebanyak RM 100,000.

Kecekalan Zed untuk mengembangkan bisnes serta kesungguhannya untuk memohon membuahkan hasil apabila akhirnya pinjaman tersebut diluluskan oleh PUNB. Ini membolehkan beliau untuk membuka kedai yang lebih besar di Kota Damansara.

Soru Station Lebarkan Sayap

pengasas soru station

Setelah itu, Zed tidak lagi menoleh ke belakang. Bermula dari food truck kecil, Zed kini miliki 9 cawangan Soru Station di bandar-bandar utama termasuk Ampang, Puchong, Shah Alam dan Sungai Besi. Beliau juga kini sedang merancang untuk membuka 7 lagi cawangan dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Aneka hidangan Western yang berkualiti dan ditawarkan dengan harga yang berpatutan menjadi sebab utama mengapa ramai memilih Soru Station.

Setiap usahawan pasti akan melalui kejatuhan dan dugaan yang besar sebelum mencapai kejayaan. Tambahan pula, pengalaman jugalah yang akan menjadikan seseorang usahawan itu lebih matang dalam menyusun strategi bisnes pada masa akan datang.

Kisah kebangkitan Zed Rodzuan ini boleh menjadi inspirasi kepada semua usahawan. Dengan keazaman dan semangat untuk mengubah nasib hidup, sesiapa sahaja boleh menjadi usahawan yang berjaya.

Baca Juga : Raih Jualan RM 150 Juta Dalam Masa 3 Tahun Dengan Bubblebee, Ini Kisah Menarik Tentang Perjalanan Shuib Sepahtu Dalam Dunia Bisnes

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top