Less Is More, 4 Usahawan Ini Berjaya Bina Empayar Bisnes Jutaan Ringgit Dengan Satu Produk Sahaja!
Dalam memulakan bisnes, sesetengah usahawan ada kalanya terlalu teruja untuk memperkenalkan banyak produk dalam satu masa. Walaupun nampak menguntungkan, namun ada risiko besar yang menanti sekiranya ia dilakukan tanpa strategi yang baik.
Sebagai usahawan, anda tak perlu takut untuk mulakan bisnes dengan satu produk sahaja. Buktinya, ada ramai pengasas terkenal yang berjaya meraih hasil jutaan ringgit daripada jualan satu produk. Jom kita baca kisah 4 usahawan popular ini!
4 Usahawan Yang Berjaya Bina Bisnes Jutaan Ringgit Melalui Satu Produk Sahaja
1. Khairul Aming (Sambal Nyet)
Personaliti media sosial yang terkenal dengan video masakan ini tidak perlu diperkenalkan lagi.
Khairul Aming menjadi contoh yang baik buat usahawan yang ingin fokus menjual pada satu produk sahaja. Bayangkanlah, hanya melalui jualan Sambal Nyet, beliau mampu mencecah jualan melebihi RM 20 juta iaitu bersamaan dengan 1.5 juta botol!
Usahawan yang berasal dari Kelantan ini juga tidak sangka yang produknya ini mampu terjual sebanyak 13,000 botol dalam masa 2 minit sahaja di Shopee!
Pada fasa awal jualan produk, beliau banyak membaca maklumbalas serta pendapat orang ramai mengenai kualiti sambalnya.
Daripada situ, beliau lakukan pelbagai pembaharuan dari segi penghasilan sambal sehinggalah ke kaedah penghantaran supaya Sambal Nyet selamat sampai dan boleh dinikmati oleh pelanggan.
Meskipun kini bergelar jutawan, namun ramai yang memuji kerendahan hati Khairul Aming serta sikap murah hatinya terhadap para pekerja. Walaupun telah diperkenalkan sejak 3 tahun lalu, sambalnya sentiasa laris dan terus sold out apabila restock!
2. Mohamad Shazarul Ismail (Eng’s Popcorn)
Minat Shazarul terhadap bidang perniagaan tercetus apabila beliau bekerja sebagai pekerja pasar di Batu Pahat. Pada tahun 2017, beliau mula menjual popcorn secara kecil-kecilan di sekitar rumah. Keenakan popcorn Shazarul mula mendapat perhatian jiran terdekat dan kian tersebar ke seluruh kampung kemudian ke seluruh bandar Batu Pahat!
Antara faktor utama yang membuatkan popcorn ini digilai ramai adalah keenakannya yang tiada tandingan. Sentiasa laris di pasaran, kualiti Eng’s Popcorn sentiasa terjaga dan dimasak segar setiap hari. Tambahan pula, permintaan untuk bertih jagung ini sentiasa ada dan semakin bertambah saban hari!
Hanya dengan menjual popcorn, siapa sangka anak muda kelahiran Batu Pahat ini mampu meraih hasil jualan sehingga RM 8 juta pada tahun 2020. Beliau juga kini memiliki sebuah kilang seluas 21,000 kaki persegi di tempat kelahirannya sambil berkongsi rezeki dengan lebih 50 orang staf!
3. Mawarni Namli (Wanys Food)
Sangat menggemari kudapan berasaskan kacang, usahawan yang mesra dikenali sebagai Bonda Wani ini berani memulakan produk pertama iaitu Kacang Sedap bersama suaminya secara kecil-kecilan dari flat yang mereka diami.
Rasa kacangnya yang rangup dan lazat lama kelamaan semakin dikenali dan mendapat permintaan tinggi. Selain daripada ejen, kacang rangup ini juga mudah untuk didapati di pam minyak dan kedai runcit. Dari rumah flat, Bonda Wani mula memindahkan perniagaan ke lot rumah kedai.
Pada hari ini, Wanys Food telah menjadi jenama yang tidak asing lagi. Bonda Wani juga berbangga dengan perkembangan produknya yang kini dihasilkan dari 2 buah kilang yang dikendalikan oleh lebih 40 orang staff serta memiliki ribuan ejen di seluruh Malaysia serta Singapura.
Bukan sahaja berjaya melahirkan 4 orang jutawan, malah Bonda Wani juga telah membantu ribuan orang menjadi usahawan yang berjaya menerusi jualan produk Wanys Food.
Kini, Wanys Food bukan sahaja menjual snek kacang, malah mereka turut mengeluarkan produk sedia dimakan seperti sambal bilis, kuah kacang dan snek coklat.
4. Jen Lun & Wei Sheng (honeyB)
Sekali imbas, anda pasti menyangka minuman madu berkarbonat ini berasal daripada Australia. Hakikatnya, ia merupakan produk kebanggaan Malaysia. Dibangunkan oleh Jen Lun dan Wei Shang yang masing-masing berpengalaman dalam bidang perakauan dan pemasaran, idea untuk mencipta minuman berasaskan madu ini tercipta apabila melihat pasaran minuman berkarbonat yang semakin berkurang.
Melihat trend pengguna yang banyak beralih kepada pemakanan yang lebih sihat, Jen Lun dan Wei Shiang menghidu peluang untuk menghasilkan minuman berkarbonat dengan ramuan yang bermanfaat untuk kesihatan.
Selepas kajian selama dua tahun, mereka akhirnya melancarkan honeyB, iaitu minuman berkarbonat yang menggunakan madu yang diimport dari Australia di bawah syarikat The Original Beverage Sdn Bhd (TOB).
Kini, ia bukan sahaja boleh didapati di pelbagai kedai serbaneka, malah minuman honeyB juga terjual di beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Hong Kong dan Perancis.
Minuman yang disahkan halal ini juga telah terjual sebanyak 12 juta tin sejak diperkenalkan dan kini bermatlamat untuk mencapai jualan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Bukan sahaja mampu menembus pasaran di beberapa negara seperti Jepun, United Kingdom, Singapura, Filipina dan Belanda, malah minuman ini juga berjaya merangkul beberapa anugerah seperti Asia Halal Brand Awards 2018 dan Gulfood Innovation Awards 2019.
Setelah enam tahun kekal menjual satu produk, TOB akhirnya mengeluarkan produk terbaharu dengan kolaborasi bersama BOH Tea Malaysia iaitu honeyB Black Tea pada tahun lepas.
Kisah kejayaan para usahawan ini membuktikan bahawa sesebuah bisnes juga boleh berjaya apabila fokus kepada satu produk sahaja. Tambahan pula, ia merupakan strategi yang baik bagi sesebuah bisnes untuk mempunyai asas yang kukuh sebelum memasarkan produk lain.
Fokus sahaja kepada satu, tak perlu tergopoh-gapah untuk perbanyakkan produk jika kualitinya masih belum memuaskan. Mulakan sahaja dengan modal yang ada dan yang penting, anda perlu bersikap konsisten untuk membina sebuah bisnes yang berjaya.