Influencer adalah seorang personaliti yang sering menjadi ikutan di media sosial. Daripada bab fesyen, penjagaan kesihatan sehinggalah ke rekomendasi makanan lazat, kita pasti ada seorang influencer yang sering kita rujuk.
Disebabkan sifat mereka yang gemar berkongsi, influencer juga mempunyai hubungan yang baik dengan pengikut mereka. Mereka juga mempunyai reputasi dan populariti yang kukuh bagi membina nama masing-masing.
Ada juga influencer yang memanfaatkan populariti mereka untuk membina jenama sendiri. Ayuh kita semak kisah menarik beberapa influencer popular yang kini turut bergelar usahawan!
6 Influencer Popular Yang Berjaya Bangunkan Jenama Sendiri
1. Tyra Kamarussaman (Beautyra)
Mengasaskan jenama seawal usia 19 tahun, influencer popular dalam bab kecantikan ini memegang matlamat untuk merapatkan jurang kepelbagaian warna kulit dalam industri kosmetik Malaysia.
Memecah persepsi standard kecantikan, BeauTyra muncul sebagai jenama mekap yang meraikan kecantikan yang ada semua wanita tanpa mengira bangsa, saiz badan mahupun keunikan yang orang sering anggap sebagai kekurangan.
Pada tahun 2022, BeauTyra juga telah melancarkan rangkaian mekap berinspirasikan puteri daripada animasi terkenal, Disney. Sambil membawa mesej positif, BeauTyra terus menjadi produk kecantikan tempatan pilihan ramai.
2. Ceddy (Owlet)
Owlet merupakan jenama minyak wangi tempatan yang dibangunkan oleh influencer terkenal, Ceddy serta rakan merangkap pengurusnya, Joey.
Selain itu, pengoperasian Owlet juga dikendalikan oleh tiga lagi staf yang bertanggungjawab bagi urusan logistik, pemasaran, jualan dan rekaan produk.
Walaupun kedua-dua pengasas ini tiada pengalaman dalam industri penghasilan minyak wangi, namun mereka berdua cukup gemar mengumpul wangian berkualiti.
Seperti yang ramai tahu, Ceddy juga lebih banyak menghasilkan kandungan berkaitan rekomendasi makanan. Namun, disebabkan oleh karakternya yang jujur dan straightforward dalam berkongsi pendapat, ramai warganet yang ingin mencuba produk keluarannya ini. Tambahan pula, influencer ini terkenal sebagai individu yang mempunyai citarasa yang baik dan boleh dipercayai.
Pada asalnya, mereka ingin membina sebuah jenama kecantikan wajah, namun mereka tidak mahu terburu-buru sehingga tidak dapat hasilkan produk yang selamat untuk pengguna. Tambahan pula, mereka juga ingin mengelak stigma daripada sesetengah warganet yang sering menganggap influencer sebagai peniaga yang mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kualiti produk.
Dengan menggunakan hashtag #BauT20HargaB40, Owlet komited untuk menghasilkan minyak wangi yang premium dengan harga yang berpatutan. Mereka juga berbangga dengan 4 jenis wangian Owlet yang dicipta tanpa mengambil inspirasi daripada wangian popular yang ada di pasaran.
Walaupun baru mengumumkan penutupan kedai fizikal mereka di Malaysia Grand Bazaar, namun Ceddy dan Joey tetap fokus untuk menawarkan wangian terbaik buat semua. Kini beroperasi sepenuhnya secara atas talian, Owlet juga dikhabarkan bakal muncul dengan produk baharu pada masa akan datang.
3. Khairul Aming (Sambal Nyet)
Siapa tak kenal dengan Khairul Aming?
Sebelum popular dengan produk Sambal Nyet, Khairul Aming pernah cuba untuk bangunkan bisnes sambal yang diberi nama Sambal King. Namun, bisnes tersebut menemui jalan buntu dan beliau terpaksa menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit!
Sambal King juga kurang mendapat sambutan pada ketika itu disebabkan algorithm Facebook yang dikatakan berubah sehingga video yang dimuat naiknya tidak lagi ditonton.
Disebabkan itu, beliau bercadang untuk menjual segala kelengkapan masakan dan membina personal branding sendiri di platform Instagram.
Selepas mengumpul pengikut dan memuatnaik ratusan video masakan, barulah Khairul Aming lebih yakin untuk melancarkan Sambal Nyet 4 tahun kemudian. Kualiti Sambal Nyet juga lebih terjamin selepas Khairul Aming mempelajari selok-belok penghasilan sambal agar lebih segar dan tahan lama serta memperbaiki teknik bungkusan agar selamat sampai ke pelanggan.
Walaupun baru memperkenalkan Sambal Nyet kira-kira 2 tahun lepas, namun produk kebanggaan Khairul Aming ini mampu mencecah jualan melebihi RM 20 juta iaitu bersamaan dengan 1.5 juta botol! Beliau juga tidak teragak untuk membuka kilang kedua di Kota Bharu untuk meningkatkan produksi sambalnya.
4. Azfarheri (Nyala)
Terkenal dengan perwatakan yang mencuit hati dan mesra, Azfarheri muncul sebagai salah seorang content creator yang cukup terkenal di beberapa platform media sosial. Ada sahaja pengalaman lucu atau content menarik yang ingin dikongsikan.
Atas rasa minat yang mendalam kepada lilin wangi (scented candle), beliau mengambil langkah berani untuk memperkenalkan jenama sendiri iaitu Nyala. Selain scented candles, Azfar turut menawarkan produk semburan linen bagi yang sukakan bau harum pada pakaian dan cadar.
5. Jane Lau (Chuck’s dan Motherchuckers)
Jika anda gemar berfesyen dan mementingkan kecantikan, anda pasti pernah dengar tentang influencer Jane Lau. Berpengalaman sebagai blogger, model dan DJ, kini Jane lebih dikenali sebagai pengasas kepada dua jenama popular iaitu Chuck’s dan Motherchuckers.
Chuck’s bukanlah jenama kecantikan yang biasa, malah ia dikatakan setara dengan produk kecantikan daripada Korea Selatan. Turut membawa mesej hargai diri sendiri, jenama ini terkenal dengan produk penjagaan diri seperti For All Cream, Glow On Mask dan Effortless Body Soap.
Motherchuckers pula merupakan jenama pakaian yang selesa dengan rekaan serba estetik seperti jaket, t-shirt, sneakers dan seluar. Bagi menjamin kualiti bagi kedua-dua jenama, Jane serta pasukannya cukup giat mencari inspirasi dan memanfaatkan kepakaran dari luar negara.
Jenama Motherchuckers juga menjadi jenama yang pertama berkolaborasi dengan jenama daripada Itali iaitu Superga. Jane percaya kolaborasi ini bakal membuka peluang yang lebih besar bagi Motherchuckers untuk menembus pasaran antarabangsa.
6. Ivor Xian Z (HYGR)
Terkenal sebagai influencer yang berani mencuba pelbagai benda daripada melancong sehingga ke aneka hidangan, Ivor juga tidak ketinggalan untuk melancarkan produk penjagaan diri yang berasaskan bahan semulajadi.
Dilancarkan pada tahun 2020, jenama HYGR (disebut hai-ger) dibangunkan oleh Ivor serta seorang lagi rakan kuliahnya yang bernama Meng. Pada awalnya, mereka hasilkan produk deodorant dan lip balm daripada rumah. Setelah beberapa bulan, barulah mereka bercadang untuk bekerjasama dengan pengilang.
Deodorant dan lip balm mereka kurang mendapat sambutan pada waktu pandemik namun jenama mereka mendapat perhatian warganet apabila sebuah video TikTok yang mereka hasilkan menjadi tular.
Disebabkan video itu, 300 produk HYGR berjaya terjual dalam masa sejam! Kini, mereka mampu mencapai jualan sebanyak 2,000 ke 3,000 unit lipbalm dan 500 ke 700 unit deodorant sebulan.
Mereka juga sangat berpuas hati kerana kini mampu mencapai hasil jualan menghampiri 6 angka sebulan atas usaha keras sendiri. HYGR juga kini semakin berkembang dan menawarkan produk lain seperti essential oil, berus gigi dan minyak rambut.
Ramai rupanya influencer yang turut terjun dalam bidang bisnes atas rasa minat. Daripada kisah penciptaan jenama yang dibangunkan oleh influencer popular ini, dapatlah kita rumuskan bahawa para pengasas ini juga tidak boleh mengharapkan populariti semata-mata.
Ada juga yang pernah memulakan bisnes namun gagal dan ada juga yang terpaksa hentikan operasi kedai fizikal akibat beberapa faktor. Demi membina bisnes yang kukuh, para influencer ini juga terlibat secara langsung dari awal penghasilan produk sehingga ke pemasaran.
Seperti usahawan lain, mereka juga perlu bekerja keras dan terpaksa melalui pelbagai cabaran demi memastikan kelangsungan bisnes. Bukan sahaja berani membangunkan bisnes tanpa pengalaman, malah mereka juga tidak lokek berkongsikan pengalaman mereka membangunkan perniagaan kepada warganet.
Sedikit sebanyak, ia juga mampu mencetus inspirasi kepada semua untuk turut memulakan bisnes sendiri.