Sejak akhir-akhir ini, ramai yang memilih untuk terokai produk tempatan sebagai alternatif kepada jenama-jenama besar. Antara jenama yang sering menjadi sebutan warganet ketika ini adalah Ayam Goreng Muiz.
Meskipun hanya beroperasi di tepi jalan menerusi kiosk kecil, namun ramai yang bersetuju bahawa ayam goreng yang dihasilkan mempunyai rasa dan kualiti setanding dengan jenama popular.
Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumah, pengasasnya iaitu Muizzudin Remle kini memiliki lebih 180 kiosk di seluruh Malaysia.
Disebabkan permintaan yang menggalakkan, sesetengah penggemar ayam goreng ini mula mencadangkan supaya Muiz Hot Chicken buka restoran seperti KFC dan McDonald’s.
Melihatkan kejayaan bisnes ini, sebenarnya mereka sudah lebih daripada mampu. Namun, ada sebab tersendiri mengapa jenama ayam goreng ini lebih memiih untuk berniaga melalui kiosk.
Ayuh kita ikuti perkongsian daripada Ezreen Muhaizie Marzukhi, pengasas Rajin Sebendang dan Pengarah syarikat Dibuk Sdn Bhd.
Rahsia Bisnes Kiosk Muiz Hot Chicken
Mudah Untuk Kembangkan Bisnes
Jangan pandang rendah dengan impak jualan di kiosk. Walaupun nampak kecil, namun ia lebih mudah untuk diuruskan berbanding membuka restoran.
Asalkan ada francaisi yang berminat untuk berniaga dan ada permintaan, pasti takkan ada masalah untuk menjual ayam goreng di lokasi yang dipilih.
Tambahan pula, perniagaan melalui kiosk ini memudahkan jenama ayam goreng Muiz untuk mencapai pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada termasuk kawasan perumahan baharu dan pinggir bandar.
Seperkara lagi, perniagaan menerusi kiosk ini risikonya lebih rendah. Cuba bayangkan jika mereka buka restoran di satu bandar baharu ini tetapi jualan tidak menggalakkan.
Jadi, mereka terpaksa kemas semua kerusi meja, peralatan memasak, uruskan proses pindah dan cari premis lain. Banyak kerja perlu dibuat!
Dengan bisnes melalui kiosk, jika jualan tak laku di satu tempat, mereka boleh terus kemas dan pindah ke kawasan lain.
Menu Yang Ringkas
Pada waktu ini, bisnes Muiz Hot Chicken yang tawarkan ayam goreng semata-mata nampaknya cukup sesuai beroperasi menerusi kiosk. Pelanggan tidak perlu berfikir lama-lama untuk pilih menu dan buat pembelian. Urusan di kiosk juga jadi lebih lancar dan cepat.
Sekiranya mereka ingin mula buka restoran, sudah tentu mereka perlu tawarkan menu yang lebih pelbagai.
Namun, ini juga perlukan perancangan dan kajian yang terperinci supaya sesuai dengan selera peminat ayam goreng Muiz. Jika tersilap langkah, ini boleh menjatuhkan nilai jenama Muiz sendiri.
Maklumlah, Muiz Hot Chicken ini ada ramai pelanggan setia.
Sistem Francaisor-Francaisi
Sejak adanya sistem francaisor-francaisi, kini ayam goreng Muiz semakin dikenali ramai. Muiz Hot Chicken dapat kelebihan untuk terokai pasaran, kembangkan customer base dan bina jaringan bisnes dengan francaisi yang percaya dengan kekuatan jenama Muiz.
Francaisi pula ada kebebasan untuk jana pendapatan dengan menggunakan jenama Muiz Hot Chicken yang sudah kukuh dan popular. Mereka juga bebas untuk jalankan operasi dan marketing sendiri.
Asalkan jenama Muiz konsisten dalam memantau kualiti bagi setiap francaisi, maka tak ada masalah untuk bisnes mereka berkembang.
Jarang-jarang kita dapat lihat produk ayam goreng tempatan yang mempunyai kualiti setanding jenama besar.
Melihatkan penerimaan rakyat Malaysia pada Muiz Hot Chicken, tak mustahil untuk kita melihat jenama ini di pusat membeli-belah dengan produk yang lebih bervariasi pada masa akan datang.
Sumber : Facebook Ezreen Muhaizie Marzukhi
Artikel lain : Bagaimana Jollibee Atasi McDonald’s dan Menangi Hati Rakyat Filipina?