McDonald’s bukanlah suatu jenama yang perlu diperkenalkan lagi. Dari sebuah restoran kecil, jenama ini mampu berkembang menjadi bisnes francais yang sangat berjaya. Untuk sampai ke tahap ini, McDonald’s telah mengamalkan pelbagai strategi dan memakan masa bertahun-tahun untukmembina kepercayaan dan memenangi hati jutaan pelanggan.

Ayuh kita lihat beberapa strategi yang diambil oleh McDonald’s untuk jadi nama besar dalam industri makanan segera.

McDonald’s

5 Strategi McDonald’s Untuk Jadi Jenama Francais Paling Terkenal di Dunia

1. Konsisten Menawarkan Produk Berkualiti

Dengan kawalan kualiti yang ketat serta staff yang terlatih, McDonald’s mampu berkembang ke lebih 38,000 cawangan di 120 buah negara.

Di mana pun pelanggan berada, mereka yakin dengan kualiti makanan serta pengalaman yang memuaskan setiap kali berkunjung ke restoran ini.

Ray Kroc iaitu agen francais dan individu yang bertanggungjawab untuk kembangkan McDonalds percaya bahawa jenama ini mampu berkembang dengan sistem yang terancang dan konsistem.

Meskipun beliau bukan pengasas jenama ini, namun beliau telah menekankan aspek kualiti, perkhidmatan dan kebersihan dalam operasi seharian sejak dahulu lagi.

Demi memastikan semua francais mampu tawarkan makanan serta khidmat terbaik, Kroc telah membuka Hamburger University sebagai pusat latihan yang wajib dihadiri oleh semua bakal francaisi.

Mereka perlu lalui satu tempoh program latihan sebelum mendapat kelulusan untuk membuka cawangan di lokasi pilihan.

Kewujudan Hamburger University yang kini mempunyai beberapa cawangan di serata dunia sekaligus membuktikan komitmen McDonald’s dalam mengekalkan standard mereka sebagai jenama makanan segera pilihan jutaan pelanggan.

2. Bijak Tangani Kontroversi

Di sebalik namanya yang gah, sebenarnya jenama ini telah beberapa kali berhadapan dengan cabaran dari pelbagai pihak. Pada pertengahan 1980, sekumpulan aktivis telah mendakwa hidangan McDonald’s tidak baik untuk kesihatan dan memberikan impak buruk kepada masyarakat. Selain itu, mereka juga mengatakan produk serta bungkusan makanan francais ini menyumbang kepada kerosakan hutan dan alam sekitar.

Bagi membidas isu ini, McDonald’s secara rasminya telah melancarkan Global Enviroment Commitment pada tahun 1990 yang mengandungi garis panduan tentang kaedah pengurusan sisa dan usaha pemeliharaan sumber semulajadi.

McDonald’s

Salah satu hasil daripada komitmen ini adalah penggunaan bungkusan McDonald’s yang kini diperbuat dari bahan boleh diperbaharui sehingga lebih 80 peratus.

Menjelang tahun 2025, McDonald’s juga bermatlamat untuk menghasilkan bungkusan makanan yang boleh dikitar semula sepenuhnya.

Bagi membantu pelanggan membuat pilihan makanan yang lebih sihat, McDonald’s juga telah memansuhkan menu super-size dan menjadi antara restoran makanan segera terawal yang menawarkan fakta nutrisi pada bungkusan makanan.

McDonald's

3. Berkembang Mengikut Keperluan Pelanggan

Antara salah satu kekuatan McDonald’s adalah keupayaan mereka untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan inovasi.

Sebagai contoh, pada tahun 1975, McDonald’s mendapati pelanggan mereka yang terdiri daripada pegawai tentera sukar untuk membeli makanan di restoran kerana mereka tidak boleh keluar dari kenderaan dengan memakai uniform.

Jadi, McDonald’s telah mencapai satu solusi dengan memperkenalkan pandu lalu atau drive-thru di cawangan mereka berdekatan pangkalan tentera di Arizona. Daripada situ, drive-thru McDonald’s menjadi salah satu kemudahan utama buat semua pelanggan yang berkunjung.

Selain itu, waktu tawaran menu sarapan yang telah dipanjangkan ke 10.30 pagi juga merupakan respon McDonald’s terhadap permintaan pelanggan.

Diperkenalkan sejak 2015, perubahan ini bukan sahaja telah menggembirakan pelanggan, malah telah meningkatkan semula jualan McDonald’s yang agak merudum ketika itu.

4. Manfaatkan Teknologi Untuk Tingkatkan Jualan

Walaupun jenama francais ini sudah berusia hampir 70 tahun, namun mereka bijak untuk mengadaptasi teknologi bagi meningkatkan prestasi bisnes.

Bermula pada tahun 2017, syarikat ini telah mula menerima pesanan secara online menerusi aplikasi, laman web serta kiosk digital layan diri.

Pembaharuan ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah ia juga memudahkan pengurusan seharian restoran. Pelanggan juga cukup gemar untuk pesan secara online kerana mereka dapat menebus pelbagai ganjaran yang menguntungkan.

McDonald’s

5. Aplikasi Bantu McDonald’s Kenali Pelanggan

Menyentuh tentang aplikasi, jenama ini didapati mampu mengekalkan kesetiaan pelanggan menerusi pengalaman pengguna yang menarik menerusi My Rewards.

Pada tahun 2021, aplikasi McDonald’s berjaya mencatatkan kadar muat turun sehingga lebih 100% berbanding jenama besar lain seperti Starbucks, Domino’s, Burger King dan Pizza Hut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski, aplikasi ini bukan saja dapat tawarkan pengalaman peribadi buat pelanggan, malah ia juga dapat menyumbang kepada keberkesanan syarikat dalam menawarkan khidmat terbaik buat pelanggan.

“Aplikasi ini telah membantu kami mengenal pelanggan serta citarasa mereka yang sering berubah. Dengan itu, kami juga mampu menawarkan produk serta ganjaran yang mampu memenuhi keperluan mereka,” ulas Kempczinski.

Komitmen serta usaha jenama ini untuk membangunkan francais berskala global ini perlu dipuji. Bukan mudah untuk menjadi jenama yang kekal relevan dan konsisten selama bertahun-tahun dalam industri makanan segera.

Dengan pelbagai usaha yang diambil, McDonald’s kini menjadi salah satu syarikat paling terkenal di dunia. Selain menitikberatkan kualiti produk dan perkhidmatan, jenama ini juga setia memenuhi keperluan pelanggan dengan memperkenalkan pelbagai inovasi dan inisiatif.

Syarikat yang sudah menapak hampir 7 dekad ini juga tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, malah memanfaatkannya lagi untuk keuntungan bisnes.

Setiap cabaran serta tohmahan juga ditangani dengan baik sehingga mampu meningkatkan reputasi jenama.

Sumber : Digital Marketing Institute, Franchise Direct

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top