KFC atau Kentucky Fried Chicken merupakan antara jenama makanan segera yang paling popular di dunia. Sudah bertapak selama 50 tahun di Malaysia, jenama ini sudah beroperasi di lebih 800 cawangan di serata negara.

Disebabkan itu, ayam gorengnya yang enak dan beraroma ini juga mendapat tempat di hati rakyat Malaysia selama beberapa generasi sehingga ke hari ini.

Namun, jangan tak percaya yang anda tak dapat nikmati KFC pada hari ini jika seorang usahawan ayam goreng putus asa apabila menu ciptaannya ditolak lebih 1000 kali!

Usahawan yang dimaksudkan adalah Colonel Sanders. Wajah beliaulah yang sering terpampang di bucket KFC sehingga dan cukup sinonim dengan jenama tersebut sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Atuk KFC’.

Ayuh kita ikuti kisah penuh inspirasi Colonel Sanders dalam membangunkan francais ayam goreng yang terkenal di seluruh dunia.

colonel sanders

Sebelum menjual ayam goreng, Colonel Sanders telah melibatkan diri dalam pelbagai kerja seperti peladang, penjual tayar, ejen insurans dan macam-macam lagi.

Hanya pada usia 40 tahun beliau mula menjual ayam goreng. Berasal dari keluarga yang susah, Colonel Sanders sebenarnya sudah pandai memasak sejak berusia 6 tahun! Maka tidak hairanlah mengapa ramai yang sukakan hidangan ayam gorengnya.

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, ayam gorengnya semakin dikenali ramai sehingga membolehkan beliau membina restoran besar dengan kapasiti 140 orang.

Apa yang membuatkan ayam goreng Colonel Sanders menyerlah berbanding yang lain adalah teksturnya yang kurang berminyak, rangup dan enak.

10 tahun kemudian, beliau menghasilkan ‘Resepi Rahsia’ untuk hidangan ayam gorengnya.

colonel sanders

Ketika berusia 65 tahun, restoran Colonel Sanders gagal sehingga menyebabkan beliau kehilangan segalanya. Tiada pilihan lain, beliau terpaksa mulakan semula bisnesnya.

Walaupun sudah lanjut usia pada ketika itu, namun beliau tidak berputus asa. Dengan sedikit wang yang ada, beliau memberanikan diri untuk merantau ke sekitar Amerika Syarikat untuk mencari rakan niaga bagi berkongsi resepi rahsianya. Beliau telah melawat ratusan restoran untuk perkenalkan produk ayam gorengnya.

Ketika itu, hidup Colonel Sanders sangat susah kerana resepinya ditolak berkali-kali. Beliau juga terpaksa berlapar dan tinggal di dalam kereta akibat kekurangan wang. Hanya selepas resepinya ditolak sebanyak 1009 kali, barulah ada yang menerima.

Daripada situ, bisnesnya berkembang pantas. Menjelang tahun 1964, ayam gorengnya sudah terjual  di 600 francais di Amerika Syarikat dan Kanada. Walaupun bisnesnya berada pada tahap kemuncak, namun Colonel Sanders yang semakin tua merasakan sukar untuk menguruskannya lagi.

Oleh itu, beliau pun menjual syarikat KFC beserta pemilikan resepi rahsianya dengan harga US$2 juta beserta US$40,000 gaji setahun seumur hidup. Meskipun telah melepaskan KFC, namun beliau tetap menjadi jurucakap bagi jenama ayam goreng tersebut.

Walaupun sudah meninggal dunia pada usia 90 tahun, namun wajah beliau masih menjadi trademark yang terpampang pada restoran serta bungkusan KFC di serata dunia.

Semangat luar biasa dan sikap Colonel Sanders yang tidak berputus asa wajar dijadikan contoh. Dalam berbisnes, pasti akan ada masa peniaga diuji dengan pelbagai cabaran sehingga ada yang perlu menanggung kerugian besar. Namun, kejayaan tak akan ditempa tanpa kegagalan.

Jadi, lihatlah kegagalan sebagai pengalaman untuk perbaiki strategi bisnes pada masa akan datang.

Sumber : failurebeforebusiness.com

Baca Juga : Raih Jualan RM 150 Juta Dalam Masa 3 Tahun Dengan Bubblebee, Ini Kisah Menarik Tentang Perjalanan Shuib Sepahtu Dalam Dunia Bisnes

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top