Bila sebut sahaja tentang jenama kosmetik atau produk penjagaan wajah buatan Malaysia, pasti ada yang ragu-ragu untuk mencuba.

Bukan mudah untuk pengguna menyokong jenama lokal apabila terdapat pelbagai pendedahan mengenai kandungan berbahaya serta penggunaan produk timbang kilo dalam penghasilan kosmetik sehingga menjadi isu hangat di media sosial.

Disebabkan itulah sesetengah pengguna tempatan lebih memilih untuk mengamalkan produk kecantikan dari luar negara.

Walaupun mempunyai persepi yang kurang baik, namun ia tidak menghalang Fatin Nabila binti Khairul Anuar untuk membangunkan jenama kosmetiknya sendiri iaitu Kayman Beauty.

Wanita yang dibesarkan di Sungai Petani, Kedah ini juga kini bangga dengan pencapaian jenamanya yang mampu mencapai pelanggan menerusi pelbagai platform iaitu laman web, vendor agen dan stokis.

Sebagai jenama tempatan yang popular, anda pasti tidak menyangka bahawa pengasas Kayman tiada latarbelakang dalam bidang kosmetik mahupun bisnes. Jadi, bagaimana beliau mampu membina bisnes yang kukuh dan dipercayai ramai?

Ayuh kita ikuti kisah pengasas Kayman serta prinsip yang dipegang dalam membangunkan jenama sendiri.

kayman

Kayman Ingin Beri Nafas Baharu Dalam Industri Kosmetik Tempatan

Sinonim dengan bungkusan seragam berwarna hitam yang menjadi trademark jenama ini, Kayman dilahirkan dengan hasrat untuk membawa perubahan serta nafas baharu dalam industri kosmetik di Malaysia.

Melihat perkembangan industri kecantikan Korea Selatan dan negara-negara barat, ia membuatkan Nabella terfikir mengapa Malaysia tidak boleh buat jenama lokal sedangkan kita juga mampu? Tambahan pula, siapa lagi yang lebih arif tentang keperluan kulit orang tempatan kalau bukan kita sendiri?

Walaupun tiada latarbelakang atau pengalaman dalam bidang kecantikan mahupun penjagaan wajah, wanita yang mesra disapa sebagai Bella ini tidak berputus asa dalam membangunkan jenama skincare yang berkualiti.

Usahawan wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini juga tidak kisah untuk melaburkan masa serta modal yang besar untuk menawarkan produk yang bermutu tinggi.

Bagi mencapai formulasi terbaik buat pelanggan dan dijamin sesuai dengan kulit orang Malaysia, pengasas Kayman ini turut giat bekerjasama dengan pakar, saintis dan ahli kimia dari seluruh dunia.

Menurut Bella, jenamanya mungkin mengambil masa yang lebih lama dan melabur dana yang lebih besar, namun ia adalah proses yang sanggup dilalui demi memastikan keberkesanan serta keselamatan produk-produk Kayman.

kayman

Selain melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terperinci, Bella juga cukup teliti dalam pemilihan tekstur serta bungkusan bagi setiap produk Kayman demi kepuasan pengguna.

Usahawan muda yang tersenarai dalam Prestige 40 Under 40 Malaysia’s Most Successful, Innovative and Influential Young People 2022 ini juga percaya bahawa produk yang berkualiti tinggi mampu membina kepercayaan pengguna dalam jangka masa yang lama.

Buktinya, produk pertama Kayman iaitu CoalFace Soap masih mendapat permintaan yang tinggi walaupun sudah lama diperkenalkan.

Sumber : Prestige

Selain gigih menjalani kajian yang terperinci, Bella juga tidak lupa untuk menimba ilmu perniagaan daripada orang yang lebih berpengalaman iaitu Sifu Jamal demi mengembangkan bisnesnya.

Melihat cabaran sebagai pengalaman manis, beliau juga percaya bahawa pemilik bisnes perlu berani dan bersedia untuk gagal. Bukan sengaja ingin kecundang, malah melalui kesilapan sahajalah baru seseorang dapat menimba pengalaman dan perbaiki strategi perniagaan yang lebih baik.

Kini, Kayman yang dikenali sebagai antara jenama skincare tempatan terbaik ini telah mencecah usia 6 tahun di pasaran.

Sebagai penerima anugerah Nona Best Young Entrepreneur Award dalam Nona Superwoman Award 2020, Bella juga percaya jenama kosmetik tempatan juga berpotensi untuk berdiri setanding dengan produk antarabangsa yang ada di pasaran.

Oleh itu, beliau kini sedang menyusun rancangan untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi dan menembus pasaran antarabangsa pada masa hadapan.

Menerusi kisah pengasas Kayman ini, dapatlah kita simpulkan bahawa pemilik bisnes perlu ada keberanian untuk cipta pembaharuan dalam industri.

Tiada latarbelakang atau pengalaman bukanlah penghalang bagi sesiapa untuk menguasai sesuatu bidang. Sebaliknya, usaha dan strategi yang baik perlu disusun agar anda juga mampu menghasilkan jenama yang berkualiti serta dipercayai ramai pengguna.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top