Ambil gambar, muat naik dan jual. Idea ini cukup ringkas tetapi siapa sangka ia mampu berubah menjadi bisnes bernilai US$1 bilion?

Dibangunkan oleh 3 pelajar universiti dari Singapura iaitu Siu Rui Quek, Marcus Tan dan Lucas Ngoo, Carousell kini dikenali sebagai salah satu syarikat dengan status Unicorn di rantau Asia Tenggara.

Tiga sahabat ini mulakan Carousell pada tahun 2012. Ketika itu, mereka sedang menjalankan internship di Silicon Valley, Amerika Syarikat.

Mereka akui terinspirasi daripada nama besar dalam dunia teknologi seperti Mark Zuckerberg (pengasas Facebook), Jack Dorsey (pengasas Twitter) dan Drew Houston (pengasas Dropbox).

“Semua nama besar ini mempunyai aspirasi yang kuat untuk menggunakan teknologi demi menyelesaikan masalah dan membawa perubahan besar kepada dunia.

“Kami terdetik untuk manfaatkan teknologi bagi menyelesaikan masalah sendiri. Kami ada banyak barangan terpakai yang masih elok tetapi bukan mudah untuk jual menerusi telefon pintar.

Jadi, kami pun bercadang untuk bangunkan sebuah aplikasi khas bagi tujuan tersebut,” jelas Quek.

Carousell

Sumber : Carousell

Permulaan Carousell

Sekembalinya ke Singapura, mereka terus bangunkan aplikasi Carousell. Ia dilancarkan pada Ogos 2012.

Quek menyebut platform seperti eBay dan Craigslist sebagai inspirasi awal mereka. Carousell juga mempunyai fungsi sama yang membolehkan pelanggan untuk menjual barangan terpakai secara atas talian dengan memuatnaik penerangan serta gambar.

Namun, sejak awal mereka sudah nekad untuk membangunkannya sebagai solusi jual beli menerusi telefon pintar. Pada masa yang sama, mereka turut menerapkan ciri sosial agar penjual dan pembeli mudah untuk berunding secara atas talian.

Tiga sahabat ini percaya aplikasi ini boleh menawarkan proses yang lebih mudah serta sesuai dengan pengguna di rantau Asia Tenggara yang rata-rata bergantung kepada telefon pintar berbanding komputer.

Pada awalnya mereka hanya fokus pada barangan elektronik. Setelah itu, barulah pelbagai kategori disediakan untuk menjual pakaian, kereta, rumah dan sebagainya.

Percaturan mereka ternyata mengena apabila Carousell muncul sebagai aplikasi gaya hidup kedua paling terkemuka di Singapura hanya selepas tiga hari dilancarkan.

carousell

Kemudahan teknologi ini didapati turut menarik minat ramai pelabur.

Ditambah pula dengan badai pandemik yang melanda dunia, penggunaan barang terpakai dilihat lebih relevan dan menjadi pilihan ramai pengguna yang ingin berjimat daripada membeli barangan baharu.

Setelah menerima dana universiti sebanyak US$35,000 untuk memulakan bisnes, Carousell mampu menarik dana pelaburan daripada syarikat terkemuka seperti Rakuten, Golden Gate Ventures dan 500 Startups dengan nilai terkumpul melebihi US$150 juta.

Sebelum ini, CNBC melaporkan bahawa nilai Carousel telah meningkat kepada US$550 juta apabila mereka menandatangi perjanjian bersama marketplace bertaraf global, OLX Group.

Yang terkini, syarikat tersebut akhirnya mencapai status Unicorn apabila sebuah firma dari Korea Selatan, STIC membuat pelaburan sehingga meningkatkan nilai syarikat Carousell kepada US$1.1 bilion.

Penggunaan AI Untuk Cepatkan Proses Jualan

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kadar penggunaan yang tinggi bagi aplikasi ini adalah pengalaman pengguna yang cukup mantap.

Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), mereka mampu membantu pelanggan untuk senaraikan barangan dari 30 saat ke 3 saat sahaja.

Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan kepada penjual adalah pengenalpastian imej dengan pantas dan cadangan harga, kategori serta tag yang bersesuaian dengan barang.

Selain membaiki ciri Feed di aplikasi berdasarkan gelagat pembelian lepas, AI turut mencetuskan ciri-ciri lain untuk memudahkan pembelian seperti chatbot, smart replies dan enjin carian seakan Siri.

Selain Singapura, aplikasi Carousell kini digunakan di 6 buah negara lain termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan, Hong Kong dan Australia.

Aplikasi tersebut juga telah menyenaraikan sebanyak 250 produk dan lebih 71 juta produk berjaya terjual.

Meskipun kini bergelar syarikat Unicorn, namun Quek menegaskan bahawa beliau dan rakannya tidak mengejar status tersebut.

Sebaliknya, mereka mahu fokus untuk kukuhkan bisnes menerusi iklan atas talian, tawaran pakej premium dan langganan terutamanya di pasaran Singapura dan Hong Kong.

Kini memiliki 400 orang staff, Quek berkata Carousell masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan.

“5 hingga 10 tahun dari sekarang, kami mahu mencipta gaya hidup di mana barangan terpakai adalah pilihan pertama. Dengan cara ini, semua orang boleh kurangkan perbelanjaan dan buat duit pada masa yang sama. Kelestarian bumi juga dapat dijaga. Jadi, ia adalah situasi win-win untuk semua,” jelas Quek.

Sumber : NUS News, CNBC, Digital News Asia

Baca Juga : Terpaksa Jadi Usahawan Pada Usia 16 Tahun, Ini Cara Unik Aaron Patel Jalankan Bisnes Keluarga

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top