Berita peperangan yang melanda negara Palestin sejak akhir-akhir ini telah meninggalkan kesan yang mendalam buat warga dunia sehingga mencetuskan boikot besar-besaran dalam skala global bagi sesetengah jenama.
Ramai pengguna juga memilih untuk tidak lagi membeli dengan jenama yang berpihak pada Israel dan mula mencari alternatif lain terutamanya jenama tempatan.
Dengan strategi yang mantap serta tawaran produk yang tepat dengan citarasa rakyat, sebenarnya tidak mustahil untuk sesebuah jenama tempatan mengatasi jenama global.
Antara contoh yang paling mudah adalah jenama restoran makanan segera popular dari Filipina, Jollibee.
Pada awal penubuhan, ada yang menganggap Jollibee ini ibarat buat kerja gila apabila ingin mencabar McDonald’s.
Jenama yang popular dengan maskot lebah berwarna merah ini diasaskan pada tahun 1978 oleh dua beradik iaitu Ernesto dan Tony Tan Caktiong. Selepas 2 tahun beroperasi, McDonald’s muncul di pasaran Filipina.
Ketika itu, sesetengah teman rapat dua beradik ini turut mencadangkan supaya mereka batalkan sahaja Jollibee dan pilih haluan bisnes lain kerana tinggi risikonya untuk berdepan dengan jenama gergasi seperti itu.
Namun, mereka tidak mudah mengalah sebelum mencuba. Kini, Jolibee beroperasi di lebih 6,500 cawangan dan separuh daripada jumlah ini terletak di luar Filipina termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, Arab Saudi dan Malaysia.
Tak cukup dengan itu, Jollibee juga pernah tersenarai sebagai rantaian makanan segera ke-13 terbesar di dunia dan merupakan satu-satunya syarikat bukan dari Amerika Syarikat yang memasuki carta Top 15.
Jadi, bagaimana Jollibee mampu menangi hati rakyat warga tempatan dan memintas McDonald’s sebagai jenama makanan segera nombor satu di Filipina?
Rasa Hidangan Yang Tepat Dengan Citarasa Orang Filipina
Pada awalnya memang sukar untuk jenama Filipina ini atasi McDonald’s yang sudah cukup terkenal di mata dunia. Namun, Jollibee tidak mudah mengalah.
Mereka mula lakukan kajian terperinci dan dapati McDonald’s tidak dapat tawarkan menu yang tepat dengan citarasa orang tempatan.
Jadi, daripada mencuba untuk hasilkan hidangan ala Amerika Syarikat, mereka telah mencipta hidangan sendiri yang lebih manis, pedas dan masin – sesuai dengan citarasa rakyat Filipina.
Usaha mereka nyata berhasil. Dalam satu temubual bersama Forbes, Tony berkata gabungan strategi ini bersama pemasaran, promosi dan pengiklanan yang berkesan telah melonjakkan nama Jollibee sebagai rangkaian restoran makanan segera pertama di negara tersebut.
Berdasarkan Statista, Jollibee setakat ini masih teguh mendominasi pasaran bagi industri makanan segera Filipina sebanyak 29.7% dan disusuli dengan McDonald’s dengan hanya 9.4%.
Penjenamaan Dengan Elemen Kekeluargaan
Bercakap tentang pengiklanan, Jollibee juga berjaya memenangi hati orang Filipina kerana penjenamaan mereka sebagai restoran makanan segera yang mesra keluarga. Sejak 1980an, restoran ini telah menjadi pilihan ramai keluarga untuk berkumpul dan menghabiskan masa bersama.
Di samping itu, Jollibee juga sangat menekankan elemen kekeluargaan dalam iklan di televisyen. Ini jelas membuktikan target pasaran mereka adalah keluarga.
Sedangkan McDonald’s pula didapati lebih memfokuskan target pasaran untuk kanak-kanak dan remaja. Ini dilihat bertentangan dengan norma orang Filipina yang mempunyai semangat kekeluargaan yang kuat.
Maskot Lebah Yang Dekat Dengan Hati Warga Filipina
Maskot lebah ikonik berwarna merah Jollibee diilhamkan sendiri oleh pengasasnya iaitu Tony ketika melawat Taman Tema Disneyland. Ketika itu, beliau mendapat ilham untuk mencipta maskot yang bukan sahaja disukai ramai, malah mencerminkan rakyat Filipina yang optimistik dan positif.
Tony memilih maskot lebah kerana serangga itu sinonim dengan sikap produktif dan bekerja keras. Inilah nilai yang Jollibee ingin tekankan dalam syarikat. Pada masa yang sama, ia juga menjadi cerminan yang sesuai kepada masyarakat Filipina yang kuat berusaha.
Menurut Tony, tiada gunanya seseorang itu bekerja keras tetapi tidak gembira. Oleh sebab itulah jenama tersebut dipanggil Jollibee iaitu gabungan perkataan ‘gembira’ dan ‘lebah’. Sejak diperkenalkan 45 tahun lalu, maskot tersebut telah menjadi sebahagian memori indah bagi kebanyakan keluarga Filipina.
Menu Yang Bervariasi
Jika anda berkunjung ke mana-mana McDonald’s di dunia, anda tidak akan lari daripada tawaran menu burgernya seperti Big Mac, Filet-O-Fish dan Quarter Pounder.
Ini telah menyebabkan orang Filipina berfikir dua kali sebelum berkunjung ke McDonald’s kerana menu yang ditawarkan bukan sahaja kurang menepati cita rasa, malah pilihannya juga terhad.
Jadi, Jollibee menggunakan peluang ini untuk tawarkan menu yang lebih bervariasi seperti spaghetti dengan kuah manis, nasi yang dihidangkan dengan ayam goreng dan kuah (gravy), ketulan sosej dan roti hotdog.
Harga Yang Lebih Murah
Memang tak dinafikan harga burger di McDonald’s agak mahal termasuklah di Malaysia. Walaupun kebanyakan burgernya dijual pada harga RM 10 ke atas, orang kita tetap membelinya kerana kekurangan pilihan.
Namun, lain pula ceritanya di Filipina. Dengan adanya Jollibee, mereka boleh nikmati aneka hidangan yang lebih murah dan berbanding McDonald’s. walaupun perbezaan harga hanyalah sekitar 50 sen hingga $1 sahaja, namun ini sudah cukup untuk membuatkan majoriti orang Filipina memilih Jollibee berbanding McDonald’s.
Kisah kejayaan jenama Jollibee ini membuktikan bahawa tidak mustahil untuk jenama tempatan mengatasi jenama global yang jauh lebih besar.
Seperti Jollibee, sesebuah jenama lokal itu perlu berani untuk bersaing dan hasilkan produk yang mampu memenuhi citarasa dan keperluan orang tempatan. Tonjolkan juga elemen positif supaya pelanggan lebih tertarik untuk mencuba produk yang ditawarkan.
Sumber : Afar, CNBC, World of Franchises