Walaupun kenderaan buatan Jepun terkenal dengan kebolehpercayaan serta kualitinya, namun industri automotif negara tersebut baru-baru ini digemparkan dengan sebuah skandal besar.

Operasi syarikat automotif dari Jepun, Daihatsu telah dihentikan sejak Selasa lalu berikutan kes ujian keselamatan yang tidak telus melibatkan 64 buah model kereta yang berada di pasaran sejak lebih 30 tahun.

Kenderaan jenama Subaru, Toyota dan Mazda merupakan antara jenama kenderaan yang dikenalpasti dalam senarai tersebut.

Menurut laporan daripada Bloomberg, anak syarikat Toyota ini didapati tidak melakukan ujian menyeluruh bagi keselamatan kemalangan.

Antara kesilapan yang dikenalpasti adalah kesukaran untuk membuka pintu daripada luar selepas berlakunya kemalangan. Meskipun tiada laporan berkenaan kemalangan ini, namun ia dilihat sebagai satu isu keselamatan yang cukup besar.

Isu ini pertama kali diketengahkan pada April apabila syarikat tersebut mengakui terdapat manipulasi data terhadap 4 jenis model kereta yang dihasilkan di Thailand dan Malaysia bermula tahun 2022 sehingga tahun ini.

Sejak itu, syarikat tersebut juga mendapati perkara ini turut berlaku dalam hampir semua proses pembuatan. Lebih mengejutkan, sebuah siasatan dalaman turut menjumpai data yang telah dipalsukan pada dokumen tahun 1989 lalu.

Dalam sebuah sidang media minggu lepas, Ketua Pegawai Operasi Daihatsu, Soichiro Okudaira telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Kami mengakui kesalahan dalam pihak pengurusan dan meminta maaf kepada semua pelanggan yang telah mempercayai kami selama ini,” jelas Okudaira.

daihatsu

Pada 20 Disember, syarikat tersebut telah mengumumkan penghentian bagi penghantaran semua model kereta sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan secara teliti.

Penghantaran kenderaan ke beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Kemboja turut dihentikan buat sementara waktu.

Siasatan awal mendapati tempoh penghasilan yang telah dipendekkan mungkin menjadi punca utama isu ini.

Ketua panel siasatan Makoto Kaiami berkata “Para pekerja berhadapan dengan tekanan yang besar akibat perubahan jadual jualan meskipun produk belum melepasi ujian”.

Panel penyiasat juga menyatakan bahawa terdapat unsur penipuan terhadap ujian keselamatan kemalangan bagi 88,000 kereta kecil April lalu dan kebanyakkan dijual di bawah Toyota.

Ekoran penutupan sementara semua kilang pembuatan kenderaan di Jepun sehingga hujung bulan Januari, ia dianggarkan bakal memberi kesan kepada 9,000 pekerja dan 8,000 pembekal.

Pada tahun lalu, Daihatsu menghasilkan kira-kira 870,000 kenderaaan di Jepun dengan nilai rantaian bekalan yang dianggarkan berjumlah 2.2trillion yen (RM 68.8 billion).

Berdasarkan rekod, ini bukanlah pertama kali skandal berkaitan operasi kilang automotif terbongkar. Pada 2004 lalu, Mitsubishi Motors telah membuat pengakuan mengenai tindakan mereka yang menutup kerosakan pada model kereta pada tahun 1977.

Syarikat automotif lain seperti Nissan, Suzuki, Mazda, Subaru dan Yamaha Motors juga pernah disiasat atas skandal penggubahan data antara tahun 2017 dan 2018.

PERODUA Nilai Tindakan Penggantungan Operasi Daihatsu

Menurut dokumen yang dimuat naik oleh Daihatsu, terdapat beberapa model PERODUA yang turut disenaraikan termasuklah Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Alza generasi kedua, Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi.

Manakala, model Toyota untuk pasaran Malaysia yang terjejas ialah Toyota Rush, Vios, Veloz dan Yaris.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata syarikat juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia mengenai kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Zainal Abidin turut memohon maaf kepada pelanggan atas keresahan yang timbul daripada pengumuman tersebut. Pihak PERODUA juga memaklumkan bahawa mereka akan berkongsi perkembangan mengenai isu ini dalam masa terdekat.

Sumber : The GuardianBerita Harian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top