Kejayaan tidak datang bergolek. Malah, ia datang bersama kepayahan dan cabaran yang berliku. Meskipun tidak berasal daripada keluarga berada, namun usahawan-usahawan daripada Johor ini mampu membina perniagaan sendiri dan memberikan impak besar kepada ekonomi.

Jom kita baca kisah menarik mengenai jatuh bangunnya 4 usahawan dari Johor untuk dijadikan inspirasi buat semua terutamanya yang ingin mulakan bisnes sendiri.

4 Usahawan Dari Johor Yang Berjaya Kembangkan Perniagaan Kecil-Kecilan Sehingga Cecah Jualan 7 Angka

1. Norizam Tukiman, Pengasas Hotel Zamburger

Sedang ramai pemilik hotel yang terpaksa gulung tikar pada waktu pandemik Covid-19, pengasas Hotel Zamburger, Norizam Tukiman mengambil peluang tersebut untuk mengembangkan lagi rangkaian hotelnya. Hanya dalam masa 15 bulan, dia berjaya mengambil alih 67 hotel butik termasuk tiga hotel di Indonesia!

Ketika itu, kebanyakan pemilik hotel menemui jalan buntu dan sudah berputus asa akibat badai pandemik. Jadi, bagi mengyelamatkan industri perhotelan dan mengelakkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, saya ambil alih hotel bajet dan butik dalam kategori tiga bintang ke bawah”, ulas Norizam yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Unclezam Holding Berhad.

Berbanding penginapan lain, Hotel Zamburger turut menampilkan imej patuh syariah sambil berpegang pada prinsip penolakan unsur haram dalam perniagaan dan hanya pasangan berkahwin dibenarikan menginap.

Membesar di kawasan setinggan di Skudai Kiri, Johor, Norizam sudah mula terlibat dalam dunia perniagaan sejak kecil apabila terpaksa membantu ayahnya berniaga pisang goreng dan cakoi di tepi jalan.

Pada usia 16 tahun, Norizam tekad untuk membuka gerai burger sendiri dengan modal RM 1,500. Selain menjual burger di gerai, beliau juga jual burger untuk dihantar ke kantin pejabat dan pernah naik turun bas semata-mata untuk mendapatkan pelanggan di perhentian bas Larkin.

Usahawan Dari Johor

Meskipun berasal daripada keluarga sederhana, namun ia tidak menghalang Norizam untuk melanjutkan pelajaran di UiTM Segamat dalam jurusan Diploma Analisis Pelaburan. Dengan kelulusan tersebut, beliau sempat bekerja sebagai pakar runding pelaburan di sebuah bank di Johor.

Berbekalkan pengalaman berniaga dan pelaburan saham ketika berkhidmat sebagai remisier, Norizam kemudian berjaya mengasaskan jenama makanan sejuk beku sendiri iaitu Zamburger sebelum melibatkan diri dalam bidang perhotelan pada tahun 2015.

Usahawan dari Johor yang juga dikenali sebagai pemilik bola sepak Kelantan FC ini berpendirian bahawa pemilihan nama Zamburger dibuat bagi membuktikan bahawa peniaga burger sepertinya juga mampu menjadi usahawan berjaya dengan usaha dan keazaman yang utuh.

2. Muizzudin Remle, Pengasas Muiz Hot Chicken

Muiz memulakan perniagaan menjual ayam goreng di tepi Jalan Temenggong Ahmad, Parit Raja, Johor ketika usianya baru mencecah 20 tahun.

Pemuda ini mula berminat untuk mulakan bisnes ayam goreng selepas bekerja dengan ibu saudaranya sebagai pembancuh air dan tukang goreng ayam.

Bermodalkan RM 800, beliau pada mulanya hanya menggunakan periuk nasi untuk menggoreng ayam. Namun, Muiz mendapat banyak aduan daripada pelanggan kerana ayam tidak masak sepenuhnya.

Pada mulanya, ibu bapa Muiz tidak menyokong bisnes ini namun selepas melihat kesungguhan dan perubahan pada diri Muiz, mereka pun memberi restu dan menyokong perniagaan Muiz.

Dengan kelengkapan yang lebih baik dan bantuan pinjaman daripada bapa saudaranya, Muiz berjaya membuka cawangan kedua pada penghujung tahun 2014.

Usahawan Dari Johor

Menyedari ilmu perniagaan masih kurang di dada, Muiz mula pelajari selok-belok bisnes dan pemasaran yang betul daripada Dato Wira Dr Hj Azizan Osman. Beliau juga banyak bergaul dengan pakar perniagaan untuk mendapatkan inspirasi dan khidmat nasihat bagi mengembangkan bisnes.

Ternyata, keputusannya itu berbaloi serta membuahkan pulangan yang lumayan kepada perniagaannya.

 Daripada situ, Muiz semakin mahir dan berani untuk bawa jenama Muiz Hot Chicken ke tahap yang lebih tinggi.

Bermula dengan gerai kecil di tepi jalan, kini Muiz memiliki 180 kiosk di serata Malaysia. Pada hujung tahun 2021, beliau juga berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM 10 juta.

Beliau juga selesa jalankan bisnes jualan ayam goreng melalui kiosk tepi jalan. Operasinya lebih ringkas dan pelanggan juga lebih mudah dicapai termasuk di pinggir bandar, perumahan baharu dan kawasan tumpuan ramai. 

3. Siti Aisah Muhamad, Pengasas Zafesha Simply

Siapa sangka pengasas produk kecantikan Zafesha Simply, Siti Aisah Muhamad asalnya merupakan seorang jururawat? Anak kelahiran Felda Renong, Segamat, Johor ini mula menceburi pelbagai jenis perniagaan seperti katering, perancang majlis perkahwinan serta pernah berniaga makanan seperti asam pedas dan char kue tiaw.

Walaupun pernah hampir muflis dan mengalami kerugian sebanyak setengah juta ringgit pada tahun 2014, Siti Aisah dan suami, Afizam Abdul Aziz tak mengenal erti putus asa.

Usahawan Dari Johor

Pasangan turut melibatkan diri secara aktif sebagai ejen jualan sebelum mengeluarkan jenama Zafesha Simply pada tahun 2018. Menerusi perniagaan mereka, maka terlahirlah 6 jutawarn baharu menerusi jenama ini.

Jenama Zafesha juga kukuh berkat sokongan pengguna setia mereka yang kemudiannya berhijrah menjadi ejen. Berbanding jenama lain, Zafesha mampu membantu pelanggan mereka yang rata-rata merupakan suri rumah untuk membaiki ekonomi masing-masing.

Bagi melatih ejen jualan mengenai ilmu pengurusan perniagaan, Zafesha Network & Marketing Sdn Bhd juga membekalkan bahan pemasaran dan membina sebuah Akademi Latihan.

Menurut Aisah, beliau tidak mahu orang yang mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan merasai kepahitan yang pernah dilalui.

Pada tahun 2023, Aisah menyasar untuk lahirkan minimum 20 orang lagi Usahawan Jutawan dan 10,000 Usahawan Zafesha yang ingin menjana pendapatan lumayan dalam jangka masa panjang.

Usahawan Dari Johor

4. Mohamad Shazarul Ismail, Pengasas Eng’s Popcorn

Bila dengar nama Eng’s Popcorn, anda pasti menyangka jenama ini dimiliki oleh orang bukan Muslim tetapi ia merupakan 100% perniagaan Muslim bumiputera dan dijamin halal!

Jenama ini merupakan kebanggan bagi Mohamad Shazarul Ismail yang berasal daripada Batu Pahat, Johor.

Minatnya dalam bidang perniagaan tercetus sejak beliau mula bekerja sebagai pekerja pasar di Batu Pahat selepas tamat SPM. Disebabkan masalah kewangan, beliau juga tidak dapat menamatkan pengajiannya dalam bidang automotif. Lalu Shazarul pun kembali bekerja di pasar untuk membantu keluarga.

Di situlah terdetik dalam hatinya untuk mula berniaga snek popcorn. Pada tahun 2017, beliau mula menjual secara kecil-kecilan di sekitar rumah. Pada awalnya, beliau mendapat permintaan daripada jiran, kemudian keenakan popcorn Shazarul tersebar ke seluruh kampung, kemudian ke satu Bandar Batu Pahat.

Kini Eng’s Popcorn menjadi jenama bertih jagung kegemaran ramai dan berjaya mencecah hasil jualan sebanyak 7 angka!

Apa yang membuatkan jenama ini sentiasa laris di pasaran adalah kualiti serta rasanya yang enak. Eng’s Popcorn ini dimasak segar setiap hari. Apa yang diterima oleh stokis adalah stok baharu. Bagi Eng’s Popcorn, tiada istilah ‘simpan lama’ kerana permintaan untuk bertih jagung ini sentiasa ada dan semakin bertambah!

Tambahan pula, Eng’s Popcorn menggunakan Premium South African Mushroom Popcorn Kernel, jadi rasanya lebih rangup dan premium. Setiap butiran popcorn juga disalut penuh dengan karamel tanpa pewarna tambahan.

Usahawan Dari Johor

Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan oleh pemilik Eng’s Popcorn, Mohamad Shazarul Ismail adalah ketika dia sanggup menghantar pesanan popcorn sejauh 50 km walaupun pelanggan pesan sebalang sahaja.

 Ketika itu, beliau akui sangat teruja kerana ada orang yang menyokong bisnesnya. Lama kelamaan Shazarul mula berniaga dengan meletakkan Eng’s Popcorn di kedai makan. Dengan cara ini, beliau berhasil menjual popcorn melalui 30 kedai.

Menyedari kurangnya ilmu dalam perniagaan, Shazarul pun mula libatkan diri dalam prgoram Richworks. Daripada situ, Shazarul lebih yakin untuk kembangkan lagi empayar perniagaannya dengan jualan secara online dan membuka ejen serta stokis.

Pada tahun 2020, jualan Eng’s Popcorn berjaya mencapai RM 8 juta. Beliau juga berbangga dapat membuka sebuah kilang seluas 21,000 kaki persegi di tempat kelahirannya sambil berkongsi rezeki dengan lebih 50 orang staf.

Usahawan Dari Johor

Kisah kejayaan para usahawan ini membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai dengan tekad dan kesungguhan. Meskipun berasal daripada latar belakang keluarga yang sederhana atau hampir muflis, mereka berani bangkit dan berjaya membina empayar perniagaan masing-masing dengan ilmu serta strategi perniagaan yang mantap.

Kejayaan yang dimiliki juga tidaklah dinikmati sendiri, malah dikongsi dengan pekerja serta usahawan lain yang turut berminat untuk ceburkan diri dalam bidang perniagaan. Semoga kisah kejayaan usahawan dari Johor ini mampu menginspirasikan semua dalam memulakan bisnes sendiri.

Baca Juga : 10 Bisnes Modal Kecil Tapi Untung Besar, Rugi Tak Cuba!

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top