Dalam dunia bisnes, sesetengah orang mungkin berpendapat adik beradik sukar untuk membangunkan sesebuah perniagaan bersama kerana tidak sehaluan. Mampukah mereka bersikap profesional dan ketepikan hal peribadi keluarga untuk capai kejayaan dalam dunia bisnes?

Kalau nak tahu, terdapat banyak jenama tempatan yang dibangunkan oleh adik-beradik. Anda juga pasti kenal dengan jenama-jenama ini kerana mereka cukup popular di media sosial dan ada penggemarnya tersendiri.

Ayuh kita ikuti kisah permulaan lima bisnes adik-beradik yang cukup menarik ini.

6 Bisnes Adik-Beradik Yang Terkenal di Malaysia

1. Pakmat Western

Walaupun jenama kambing perap ini sangat popular di media sosial, namun identiti owner Pakmat Western masih menjadi misteri dalam kalangan warganet.

Beberapa sumber mengatakan Pakmat Western ini adalah perniagaan adik beradik. Difahamkan, semuanya masih muda dan berusia dalam lingkungan 30an sahaja.

owner pak mat western

Kredit : Harian Metro

Disebabkan oleh nama Pak Mat, ada juga yang menganggap pengasasnya adalah seorang lelaki tua. Padahal, Pak Mat adalah nama bapa pengasas yang asalnya merupakan tukang gunting rambut.

Bisnes ini bermula pada tahun 2013 secara kecil-kecilan di sebuah warung dengan 6 buah meja sahaja. Walaupun perniagaan mereka sederhana pada ketika itu, namun sajian western yang enak dengan harga mampu milik berjaya menawan selera pelanggan.

Atas sambutan yang menggalakkan, jenama Pak Mat Western mula berkembang dan kini beroperasi di beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah dan Perak.

Dengan marketing yang mantap dan sokongan ribuan ejen di serata negara, Pakmat Western kini menjadi jenama kambing perap nombor satu di Malaysia.

Ramai yang turut memuji kualiti produk Pakmat Western yang dijamin segar, lazat dan mampu dinikmati dengan harga berpatutan.

2. De’Xandra

Meskipun ada yang mengatakan perniagaan adik-beradik banyak cabarannya, namun Erna bersyukur operasi syarikat berjalan lancar sehingga ke hari ini.

Sebelum berjaya membangunkan empayar minyak wangi, pengasas De’Xandra iaitu Ernayanee Nur Julaimi pernah lakukan pelbagai kerja untuk langsaikan hutang akibat masalah perniagaan.

Beliau mengasaskan De’Xandra pada 2015 bersama adik perempuannya iaitu Ezureen Nur. Erna juga sangat bersyukur kerana adiknya telah memberi banyak sokongan kepadanya sejak dahulu.

Sedang ahli keluarganya sendiri malu dengan Erna ketika sedang bergelut untuk usahakan perniagaan, Ezureen adalah satu-satunya insan yang memberikannya dorongan dan kata-kata semangat.

Selain suami Erna dan Ezureen, keempat-empat adik beradik Erna turut berkhidmat dalam De’Xandra.

bisnes adik-beradik

Sumber : Squarelet

Kini memiliki lebih 40,000 penjual, 11,000 consignment dan 3,000 outlet serta kiosk, Ernayanee berbangga dengan perkembangan jenama De’Xandra serta penerimaannya oleh rakyat Malaysia.

3. Mimpikita

Jenama Mimpikita hanya bermula dengan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian dan bazaar hujung minggu sahaja pada sekitar 2008.

Berkongsi minat yang sama, tiga beradik iaitu Nurul Afidah, Amirah dan Syahirah menanam impian untuk membangunkan sebuah jenama pakaian tempatan dengan citarasa global pada harga berpatutan.

Meskipun tiada sebarang latihan formal dalam bidang fesyen, tiga wanita ini tidak gentar untuk bersaing dengan jenama lain yang lebih terkenal.

Sejak dari awal, mereka turut memasang impian untuk kembangkan jenama Mimpikita ke peringkat antarabangsa.

bisnes adik-beradik

” Kami sudah mencuba ke pameran fesyen antarabangsa lain seperti Paris namun menemui jalan buntu.

“Selain itu, kami juga menghadiri pelbagai pameran perdagangan dan bertemu dengan ramai orang yang membantu untuk menembusi pasaran London. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk memulakan penerokaan global di London,” katanya.

Berkat kesungguhan mereka, bisnes adik-beradik ini akhirnya berjaya menyertai platform fesyen antarabangsa yang cukup berprestij iaitu London Fashion Week 2015.

Mereka juga berjaya mendapatkan stokis dan menembus ke pasaran London. Ini sekaligus memberi haluan kepada adik beradik ini untuk menubuhkan syarikat sekutu di London sebagai platform kepada Mimpikita untuk lebih terkenal di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, Mimpikita terus unggul di pasaran tempatan menerusi jualan secara atas talian dan butik serta kolaborasi bersama Fashion Valet serta Isetan KLCC.

4. Tiga Budak Gemok

Keenakan nasi ayam kicap dengan sambal gesek di Tiga Budak Gemok sememangnya boleh buatkan orang teringat!

Perniagaan ini diasaskan oleh tiga beradik yang berbadan ‘comel’ iaitu Natasha Helwa Ramlee, Muhammad Rafeel dan Natalia yang sangat sukakan masakan ayam kicap ibu mereka.

Pada suatu hari, kakak mereka bercadang untuk kongsi kehebatan air tangan ibu mereka kepada semua dengan menjual nasi ayam kicap.

bisnes adik-beradik

Keenakan hidangan yang ringkas serta keramahan tiga beradik ini terhadap pelanggan sekaligus telah mencetuskan nama Tiga Budak Gemok itu sendiri.

Panggilan unik ini juga membezakan mereka dengan perniagaan lain dan membuatkan pelanggan mudah ingat kepada hidangan nasi ayam kicap mereka.

Bermula dengan gerai tepi jalan bawah pokok di Wangsa Maju, kini Tiga Budak Gemok berjaya berkembang kepada 20 cawangan di 5 buah negeri termasuk Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Perlis.

5. Mr DIY

 

Terkenal dengan jualan produk perkakas rumah dengan harga mampu milik, Mr DIY diterajui oleh dua orang adik beradik iaitu Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei.

Atas prestasi cemerlang Mr DIY, kedua-dua adik beradik ini berjaya memasuki senarai 10 hartawan terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan bersih mencapai RM 8.76 bilion.

Dengan peningkatan kos sara hidup, rangkaian Mr DIY telah menjadi pilihan rakyat Malaysia bagi mendapatkan barangan keperluan rumah pada harga yang rendah.

bisnes adik-beradik

Bermula dengan sebuah kedai kecil di Kuala Lumpur pada tahun 2005, jenama ini telah berkembang kepada 593 cawangan. Pada tahun 2020, Mr DIY juga telah meraikan cawangan ke 1,000 mereka sambil memperkenalkan dua lagi jenama baharu iaitu Mr Toy dan Mr Dollar di serata Malaysia dan Brunei.

Pada April 2023, jenama ini juga telah membuka stor pertama jenama perkakas antarabangsa terkenal iaitu EMTOP yang menawarkan pelbagai aksesori pertukangan dan alat-alat kuasa.

6. Calaqisya

bisnes adik-beradik

Sambutan penggemar fesyen Muslim terhadap jenama Calaqisya sememangnya luarbiasa. Setiap kali jenama ini melakukan promosi atau jualan, pelanggan sanggup beratur selama berjam-jam.

Peminat setia mereka juga tidak pernah melepaskan peluang untuk mendapatkan rekaan baharu setiap kali dilancarkan.

Kegilaan terhadap jenama Calaqisya bermula sejak diperkenalkan secara atas talian menerusi nama ‘Oh Saya Suka Shawl’ yang diasaskan oleh Farah Ilyana, Farah Mislina dan Farah Azrina.

Pada asalnya, Farah Ilyana mula berniaga ketika sedang menuntut dalam jurusan Sarjana Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menjual tudung yang dibeli di Jalan TAR kepada rakan universiti.

“Oleh kerana berasal dari Perak, sebelum balik ke Johor, saya akan singgah di Jalan TAR untuk membeli beberapa helai tudung dengan modal permulaan RM100 saja,” katanya.

Atas sambutan yang hebat, tiga beradik ini pun nekad untuk mempelbagaikan jualan kepada busana sebaik tamat pengajian.

Tambahan pula, mereka dapati pada ketika itu sangat sukar untuk mendapatkan baju Muslimah yang sesuai. Kebanyakan di pasaran menggunakan fabrik yang jarang dan mahal.

Oleh sebab itulah tiga beradik ini berazam untuk menyediakan pakaian Muslimah dengan rekaan sendiri dengan harga yang berpatutan buat semua.

bisnes adik-beradik

Sumber : Hijabista

Kebetulan, Farah Ilyana juga merupakan rakan baik kepada pengasas jenama Radiusite. Beliau telah meminta bantuannya agar memberi tunjuk ajar dalam memulakan bisnes.

Berkat usaha mereka, bisnes adik-beradik ini berjaya tampil sebagai antara jenama terawal yang menghasilkan jubah moden dan pakaian kasual Muslimah dengan rekaan yang lebih elegan dan beraneka warna.

Atas kekuatan jenama Calaqisya sendiri, mereka juga berjaya menarik perhatian penggemar fesyen Muslimah moden menerusi kolaborasi unik bersama jenama antarabangsa seperti Disney, Barbie dan 20th Century Studios. Kini, mereka turut menawarkan aneka produk termasuk kasut, aksesori serta pakaian lelaki dan kanak-kanak.

Calaqisya kini beroperasi secara atas talian dan memiliki 4 buah cawangan di Kuala Lumpur, Selangor, Ipoh dan Johor Bahru.

5 jenama ini membuktikan bahawa bisnes adik-beradik mampu mencetuskan kerjasama dan perkembangan bisnes yang luarbiasa.

Dengan berpegang kepada minat dan matlamat yang sama, mereka berjaya membangunkan jenama yang cukup terkenal di Malaysia sehingga ada yang mampu menembus pasaran antarabangsa.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top