Ilmu dan Skill Itu Penting! Khairul Aming Kongsi Rahsia Nak Jadi Content Creator Berkualiti
Bermula dari perkongsian resepi 30 Hari 30 Resepi, nama Khairul Aming sering disebut sebagai antara influencer atau content creator yang paling popular di Malaysia. Sejak mencetus fenomena menerusi jualan Sambal Nyet, beliau kini semakin dikenali sebagai usahawan.
Apa sahaja yang pemuda ini lakukan, pasti akan menjadi bualan ramai. Tidak kurang juga ramai yang ingin mencontohi beliau.
Baru-baru ini, Khairul Aming telah mengadakan sesi live di TikTok untuk berkongsikan tips untuk jadi content creator yang berjaya.
Jadi, apa rahsia Khairul Aming untuk latih diri menjadi content creator yang berkualiti dan apa teknik yang dilakukan supaya nama beliau kekal relevan dalam industri? Ayuh kita ikuti beberapa tips yang beliau kongsikan.
11 Tips Dari Khairul Aming Untuk Jadi Content Creator Berkualiti
1. Sentiasa Upgrade Skill Baru
Pada zaman perkembangan teknologi ini, memang rugi kalau tak belajar ilmu baru dan upgrade kemahiran. Kalau sudah pandai edit video, belajar buat live.
Kalau sudah mahir buat live, belajar menulis pula. Ilmu-ilmu penting sebegini dapat menjadi nilai tambah bagi seorang content creator untuk kekal lama lama industri.
2. Hasilkan Content Economy
Jika sebelum ini ramai content creator jana duit dengan hasilkan iklan untuk promosikan produk orang lain, namun sekarang sudah ramai yang ada bisnes sendiri dan gunakan platform media sosial untuk promosi. Inilah yang dinamakan content economy.
Pada zaman sekarang ini, klinik gigi, hotel dan spa pun tak ketinggalan untuk promote perkhidmatan mereka! Jadi, memang rugi kalau anda tak hasilkan content yang mampu menarik pelanggan.
3. Rajinkan Diri Untuk Belajar, Tak Ada Coach Pun Tak Apa!
Menurut Khairul Aming, tak salah untuk seseorang belajar dari mentor atau coach. Namun, seseorang itu tidak boleh sekadar tunggu untuk disuap ilmu. Sebaliknya, mereka perlu ada inisiatif untuk cari sendiri ilmu.
Beliau sendiri tak ada coach. Jadi, apa yang dibuat ialah cari informasi atau ilmu berguna menerusi internet dan sumber-sumber sedia ada. Zaman sekarang ni, hampir semua benda boleh dipelajari secara online!
4. Public Relation (PR) Kena Jaga
Content creator yang baik juga perlu menjaga imej dan nama baik sepanjang masa.
Bayangkan situasi bila kita sedang stres, tiba-tiba ada orang minta bergambar. Apa respon kita dalam situasi itu? Daripada reaksi ketika itu pun orang sudah boleh label kita macam-macam.
Jadi, content creator perlulah belajar bawa diri bila tampil di tempat umum.
5. Bina Audiens
Jangan terburu-buru berhenti kerja kalau semata-mata untuk jadi content creator. Bina audience yang kukuh terlebih dahulu. Proses ini boleh makan masa yang lama, ada kalanya sehingga bertahun-tahun. Fahamkan apa yang audiens nak dan salurkan kandungan ikut keperluan dan minat mereka.
Anda kenalah sabar melalui proses ini. Kalau ada kerja tetap, teruskan dan cari masa lapang untuk hasilkan content contohnya pada waktu malam atau hujung minggu.
6. Ambil Masa, Jangan Terburu-buru
Bercakap tentang sabar, seorang content creator juga tidak boleh terburu-buru untuk jadi popular seperti Khairul Aming. Beliau sendiri pun makan bertahun-tahun untuk perbaiki diri dan bina nama secara perlahan-lahan. Bak kata usahawan dari Kelantan ini, ambil masa untuk grow, ambil masa untuk buat silap dan belajar dari pengalaman.
7. Jadi Orang Berilmu
Seperti ucapan Khairul Aming ketika menerima anugerah Creator of The Year TikTok Awards MY 2023, ilmu sangat penting untuk kekal relevan dalam industri.
Content creator tak semestinya hanya perlu ada ilmu tentang satu niche sahaja, tetapi pelajarilah sebanyak yang boleh. Dengan cara ini, kita akan tahu apa yang berlaku di dunia dan trend yang sentiasa berubah.
8. Kena Memilih Bila Buat Paid Review
Bila sudah jadi content creator terkenal, jangan terima semua tawaran paid review. Kalau seorang content creator nak review semua benda dari makanan, pakaian sehinggalah ke barangan mekap, lama kelamaan ini boleh mengurangkan impak pada audiens.
9. Ada Niche Yang Spesifik
Jangan terlalu gopoh untuk kuasai banyak niche dalam satu masa. Bila semua benda kita nak buat dan bercampur aduk, pengguna media sosial akan susah nak ingat pada kita.
Sebagai contoh, kalau tentang resepi, mesti ramai yang ingat Khairul Aming. Kalau tentang review movie, orang akan ingat Zhafvlog.
10. Hasilkan Content Yang Ada Value
Pastikan content yang dihasilkan dapat memberi value atau nilai kepada audience. Tak kisahlah sama ada anda berkongsi resepi, tips editing atau buat jenaka sekalipun, pastikan ia mempunyai nilai yang positif.
11. Networking
Content creator yang baik perlu rajin bina jaringan dengan orang sekeliling. Jika berpeluang untuk ke sesebuah acara, jangan duduk di satu kumpulan sahaja. Usahakan untuk bertemu dan berkenalan dengan orang-orang baru dari industri yang berbeza.
Seorang content creator bukan hanya sekadar tampil di media sosial untuk meraih perhatian atau nak viral semata-mata. Jangan sampai tersilap langkah sehingga menjatuhkan nama baik sendiri! Sebaliknya, mereka perlu lengkapkan diri dengan sikap profesional, ilmu serta kemahiran yang berguna.
Dengan mengikuti serba sedikit panduan dari Khairul Aming ini, insyaAllah anda juga dapat menjadi seorang influencer atau content creator yang digemari ramai.
Sumber : TikTok Khairul Aming