Wangi-wangian sudah menjadi keperluan bagi kebanyakan orang. Haruman yang mengasyikkan mampu membangkitkan semangat serta aura sesiapa sahaja.

Ada juga yang sanggup menghabiskan sehingga ratusan ringgit semata-mata untuk mendapatkan wangian jenama antarabangsa yang berkualiti dan tahan lama.

Oleh sebab itulah, wangian mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran.

Daripada situlah ramai para usahawan tempatan dapat menghidu peluang untuk membina jenama minyak wangi sendiri.

Salah seorangnya adalah Puan Ernayanee Nur binti Julaimi iaitu pengasas kepada jenama minyak wangi terkemuka iaitu De’Xandra. Jenama ini lahir bagi memenuhi kehendak rakyat Malaysia yang turut menggemari wangian berkualiti.

Untuk menjadi usahawan yang berjaya, pelbagai cabaran yang telah dihadapi wanita yang mesra disapa sebagai Erna ini. Beliau juga pernah gagal dan dikelilingi hutang.

Jom kita ikuti kisah Ernayanee yang kini bergelar sebagai jutawan serta pengasas kepada empayar minyak wangi terkemuka.

de'xandra

Founder De’Xandra Pernah Bawa Bas Kilang Untuk Langsaikan Hutang

Berasal daripada keluarga sederhana, permulaan Erna dalam bidang perniagaan tidaklah mudah.

Atas rasa minat, beliau mula menceburkan diri dalam dunia bisnes seawal usia 23 tahun. Ketika itu, Erna masih berada di tahun akhir universiti. Namun, beliau hilang fokus pada saat-saat akhir sehingga gagal menghabiskan pengajian.

Disebabkan oleh kurangnya ilmu dan pendedahan pada teknik pemasaran, perniagaannya berdepan dengan pelbagai masalah sehingga mengakibatkan Erna dibebani hutang yang banyak.

Namun, Erna tetap berikhtiar untuk melangsaikan kesemua hutang-hutang.

Siapa sangka founder De’Xandra pernah melakukan pelbagai jenis kerja termasuk pemandu bas kilang dan pembantu peribadi? Tak cukup dengan itu, beliau juga pernah melakukan persembahan di majlis-majlis perkahwinan demi mengumpul wang untuk melunaskan hutang tertunggak.

“Gagal sekali, bukan bermaksud gagal selamanya”, – itulah kata-kata yang Ernayanee sentiasa pegang untuk menempuh cabaran dan membuktikan pada semua yang beliau boleh berjaya.

Tersedar daripada kesilapan lalu, Erna mula bangkit untuk mendalami ilmu perniagaan dengan menghadiri seminar dan bengkel usahawan.

Beliau juga banyak mempelajari teknik pemasaran dan penjenamaan yang lebih berkesan untuk membina jenama sendiri.

Dengan pengalaman yang anda, Erna memberanikan diri untuk mulakan perniagaan atas talian.

Pada tahun 2013, gadis ini mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan minyak wangi. Selang dua tahun kemudian, terlahirlah jenama minyak wanginya sendiri iaitu De’Xandra.

Boleh dibawa solat, wangian tahan lama, serta berkualiti tinggi menjadi kelebihan jenama minyak wangi ini sehingga mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Permintaan juga semakin tinggi kerana De’Xandra mampu memenuhi citarasa penggemar minyak wangi tempatan dengan harga yang lebih rendah.

Setelah 5 tahun berada di pasaran tempatan, jenama De’Xandra adalah satu-satunya wangian buatan Bumiputera yang telah memenangi 15 Anugerah di peringkat dalam dan luar negara.

Dengan lebih 40,000 penjual, 11,000 consignment dan 3,000 outlet serta kiosk, Ernayanee berbangga dengan perkembangan jenama De’Xandra serta penerimaannya oleh rakyat Malaysia.

de'xandra
Jenama De’Xandra memenangi Anugerah World Halal Brand Award 2018

Mencatatkan jualan produk melebihi 10 juta unit, kini De’Xandra tidak toleh belakang lagi dan kini bermatlamat untuk menjadi wangian nombor 1 di rantau Asia.

Ernayanee juga mahu mengangkat De’Xandra setanding dengan jenama minyak wangi antarabangsa.

Dengan berdirinya De’Xandra, Ernayanee juga membuka peluang kepada mana-mana individu yang ingin berminat untuk menjadi usahawan dengan mendaftar sebagai agen atau stokis kepada jenama minyak wangi ini.

Menurutnya, ramai usahawan di Malaysia mempunyai potensi untuk berjaya tetapi takut dengan kegagalan. Untuk mencapai kejayaan, pasti ada banyak cabaran serta liku-liku yang perlu dihadapi.

Kisah jatuh bangun Ernayanee boleh dijadikan inspirasi buat semua.

Kegagalan adalah satu proses untuk mematangkan diri. Ambil pengajaran dan teruskan langkah untuk mencapai cita-cita. Dengan usaha serta tawakal, insyaAllah anda juga mampu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top