Memetik kata jutawan dan usahawan berjaya, Warren Buffet : “Tabiat buruk adalah ibarat rantai besi yang terlalu ringan pada awalnya, namun lama-kelamaan ia menjadi terlalu berat untuk dipikul”.
Setiap orang pasti ada tabiat buruk masing-masing yang boleh menjejaskan prestasi dan rutin harian. Walaupun ia nampak kecil, namun ia boleh memberi impak yang besar dan dapat menghalang seseorang daripada mencapai sasaran.
Seperti orang lain, jutawan terkenal seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg juga dahulu ada habit buruk masing-masing. Namun, mereka juga bergelut dan terpaksa meninggalkan habit tersebut demi menempa nama dalam dunia perniagaan.
4 Tabiat Buruk Yang Ditinggalkan oleh Jutawan dan Pengasas Terkemuka Untuk Jadi Berjaya
1. Suka Buat Kerja Pada Saat Akhir – Bill Gates
Pasti ramai yang suka membuang masa dan melakukan tugas penting pada saat akhir. Ia bukan suatu tabiat yang asing kerana Bill Gates juga ada habit ini semasa muda.
Ketika sedang belajar di Universiti Harvard, beliau sangat suka melengah-lengahkan waktu untuk siapkan tugasan penting.
Apabila memasuki dunia perniagaan, barulah beliau sedar bahawa tabiat ini tidak akan membantunya untuk maju. Setelah belajar mengatur masa dan susun aktiviti mengikut keutamaan, barulah beliau berjaya bangunkan Microsoft.
2. Tiada Kemahiran Berkomunikasi – Mark Cuban
Ketika berusia 20an, Mark Cuban iaitu pelabur dan usahawan terkemuka tidak mahir untuk sampaikan mesej. Caranya agak keras dan beliau sering menjerit kepada rakan kongsinya iaitu Martin Woodal.
Mereka berdua yang mengasaskan syarikat sistem komputer iaitu MicroSolutions juga sering bertelagah sesama sendiri dan sukar untuk mencapai kata sepakat dalam hal pengurusan syarikat.
“Kami boleh menyebabkan satu sama lain menjadi gila. Martin akan ‘bising’ tentang sikap saya yang cuai dan tak sistematik. Saya pula akan lakukan perkara yang sama kerana dia terlepas peluang yang besar untuk syarikat,” jelas Mark.
Akhirnya, Mark sedari bahawa menjerit hanya mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Bahkan, ia juga boleh memberikan tekanan kepada orang sekeliling.
3. Ketagih Minuman Berkafein – Elon Musk
Elon Musk yang terkenal dengan sebagai pemilik Tesla dan SpaceX ini asalnya seorang yang ketagihan untuk minum minuman berkafein!
Ini gara-gara sikapnya sendiri yang cuba untuk kekal produktif selama mungkin. Beliau pernah untuk cuba bekerja selama 17 jam sehari atau 120 jam seminggu.
Disebabkan itu, beliau sanggup untuk kurangi masa tidurnya.
“Ada satu ketika saya minum sehingga 8 tin Diet Coke sehari atau lebih. Sekarang saya hanya minum 1 atau 2 tin sahaja, rasanya tidaklah teruk sangat,” jelas Elon.
Selain Coca-Cola, Elon Musk juga bergelut dengan ketagihan kopi. Akibat minum terlalu banyak, beliau menjadi khayal dan fikirannya bercelaru.
Untuk menguruskan bisnes, adalah penting bagi setiap usahawan untuk amalkan pemakanan sihat. Pengambilan kafein yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan tekanan dan meningkatkan tahap kebimbangan (anxiety) seseorang.
Pengambilan kafein berlebihan bukan sahaja boleh merosakkan kualiti tidur, malah ia juga boleh menjejaskan produktiviti anda pada keesokan harinya.
Jika anda alami masalah ini, anda mungkin boleh cuba petua yang Elon gunakan iaitu gantikan pengambilan kopi dengan air masak. Sekiranya tidak boleh berhenti serta-merta, kurangkan pengambilan minuman berkafein yang anda minum setiap hari.
4. Suka Semak Telefon Bimbit Sebaik Sahaja Bangun Tidur- Mark Zuckerberg
Sebagai Ketua Pegawai Operasi Facebook dan pemilik Instagram serta Whatsapp, adalah normal bagi Mark Zuckerberg untuk mulakan paginya dengan menyemak telefon bimbit sebaik sahaja celik mata.
Sudah pasti ramai yang turut miliki habit ini namun memandang ringan akan kesannya. “Ia adalah satu situasi yang menyedihkan,” jelas Mark yang akui habit ini tidak sihat.
Menurut seorang penganalisa bisnes, Michael McQueen, habit membuka telefon selepas bangun pagi boleh menurunkan produktiviti seseorang. Kegiatan ini merangsang otak untuk merembeskan hormon dopamine, iaitu hormon gembira.
Tanpa disedari, ia boleh mencetuskan kitaran yang mendorong seseorang untuk selalu semak telefon bimbit mereka. Lebih teruk lagi, kitaran ini boleh menjejaskan fokus seseorang terhadap tugasan lain.
Untuk menjadi orang yang berjaya, adalah penting untuk anda miliki sikap yang profesional untuk berurusan dengan orang lain.
Pada masa yang sama, habit buruk yang boleh menjejaskan produktiviti seperti pengambilan kafein berlebihan dan suka bekerja pada saat akhir perlu ditinggalkan.
Kemahiran komunikasi juga penting bagi membolehkan anda mencapai kata sepakat bagi menjalankan sesuatu tugas.
Dengan meninggalkan habit buruk dan membina kemahiran dan tahap produktiviti yang lebih baik, sudah tentu anda juga boleh berjaya.
Sumber : CNBC (I) (II), Business Insider
Baca Juga : 6 Tips Untuk Bangunkan Startup Gaya Bill Gates