Bill Gates adalah antara nama yang paling terkenal dalam dunia pengkomputeran. Pengasas dan bekas ketua pegawai operasi bagi Microsoft ini juga sering tersenarai dalam Forbes’ World’s Billionaires atas pencapaiannya hebatnya dalam industri IT.
Meskipun telah melepaskan jawatan penting dalam Microsoft, namun pengalaman Bill Gates dalam perniagaan telah mendorong ramai usahawan muda masa kini untuk menjadikan beliau sebagai contoh.
Tanpa melengahkan masa, ayuh kita ikuti 6 tips bisnes yang boleh dipelajari daripada Bill Gates khas untuk usahawan yang baru berkecimpung dalam industri.
Inovasi dan Risiko Itu Penting! Ini 6 Tips Daripada Bill Gates Untuk Bangunkan Startup Yang Berjaya
1. Perlu Rajin Berinovasi
Sekiranya ingin kekal relevan dalam bisnes, sesebuah startup itu perlulah membuat banyak kajian dan lakukan perubahan seiring dengan perkembangan teknologi.
Gates juga menyeru usahawan muda pada hari ini untuk terus mencipta inovasi baharu kerana idea-idea segar ini boleh menjadi batu loncatan dalam bisnes.
Ini termasuk juga cara kerja ahli-ahli dalam syarikat. Mereka tidak sepatutnya berpandu pada satu kaedah sahaja.
ebaliknya, adalah penting untuk setiap ahli dalam organisasi untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan pelajari teknik baharu untuk bekerja secara lebih efektif dari semasa ke semasa.
2. Bina Jenama Yang Punya Nilai
Jenama Microsoft yang terkenal di seluruh dunia tidak berkembang semata-mata untuk mengejar keuntungan.
Menurut Bill Gates, beliau telah menanam visi sejak dahulu supaya Microsoft dapat membantu ramai orang menerusi inovasi komputer dan IT.
Kini sudah 48 tahun beroperasi, Microsoft kekal menjadi sebuah jenama yang dipandang tinggi dan mendapat sambutan hangat dari serata dunia.
Lebih istimewa lagi, jenama milik jutawan itu juga mempunyai nilai sentimental yang cukup kuat bagi kebanyakan pelanggan.
Dari penciptaan Windows 95 yang ikonik hingga ke X Box Series S yang terbaharu, Microsoft berjaya mendorong pelanggan untuk cipta kenangan yang unik sambil memberi manfaat kepada semua dalam pelbagai aspek.
3. Masa Itu Emas
Bill Gates adalah seseorang yang sangat menghargai masa. Beliau juga terkenal dengan satu ungkapan iaitu “Tak kira berapa banyak duit yang anda miliki sekalipun, anda tidak akan mampu membeli masa”.
Dalam sebuah sesi soal jawab yang diadakan, Gates akui sebelum ini beliau banyak membuang masa dan suka melakukan tugas pada saat akhir. Tabiat buruk ini sangat ketara ketika beliau bergelar pelajar di Universiti Harvard (Gates berhenti belajar selepas 2 tahun di sana).
Namun, setelah terlibat dalam dunia perniagaan, Gates sedari habit ini tidak akan memajukan dirinya. Beliau juga perlu melatih diri untuk merancang aktiviti dan utamakan kerja yang penting.
Untuk menjadi usahawan yang hebat seperti Bill Gates, seseorang itu perlulah bermula daripada sekarang dan buang tabiat buruk. Belajarlah untuk menguruskan masa dan memanfaatkannya sebaik mungkin.
4. Berani Ambil Risiko
Menurut Gates, kejayaan sebenar terletak di haluan yang belum diterokai orang. Komitmen serta sikapnya yang berani mengambil risiko telah melonjakkan jenama Microsoft di tahap yang tinggi.
Pada zaman itu, rata-rata orang tidak mengenali apa itu perisian komputer. Namun, beliau berjaya meyakinkan ramai orang akan kepentingan perisian komputer untuk memudahkan aktiviti harian dan meluaskan jaringan.
Kebanyakan pemilik bisnes akan memilih jalan yang selamat bagi mengelakkan risiko kepada syarikat.
Namun tanpa mencuba sesuatu yang baharu, bisnes akan berada di takuk lama sampai bila-bila. Jadi, adalah penting untuk pemilik bisnes membuat kajian pasaran dan kenalpasti peluang untuk berkembang.
Rancang strategi dengan kemas untuk elakkan perkara yang boleh memberi impak besar pada syarikat.
5. Rancang Untuk Jangka Masa Panjang
Apa yang membuatkan Gates berbeza daripada kebanyakan usahawan lain adalah visinya untuk jangka masa panjang.
Ketika beliau memperkenalkan jenama Microsoft, matlamatnya untuk melihat setiap rumah miliki komputer kedengaran mustahil. Namun, beliau tetap berpegang teguh pada visinya dan percaya bahawa komputer peribadi akan menjadi satu keperluan dan bakal mencetus revolusi kepada cara hidup manusia.
Pada fasa awal pembangunan Microsoft, Gates pernah berkata “PC dan internet akan menjadi satu keperluan. Mungkin pada waktu ini ia belum wujud, namun kami sedang usahakannya dan semua orang akan perlukannya sebagaimana orang memerlukan kenderaan”.
6. Cari Bakat Yang Mampu Bangunkan Bisnes
Untuk mencari individu yang berbakat sememangnya bukan mudah, namun sangat berbaloi untuk menjamin kejayaan syarikat pada masa hadapan.
Sesetengah pemilik bisnes juga mungkin memandang ringan kepentingan peranan pekerja yang berpotensi dan berminat untuk berkembang bersama-sama syarikat.
Sebagai pemimpin yang ingin berjaya dalam bisnes, adalah tanggungjawab anda untuk menapis dan bina pasukan yang kuat serta mempunyai minat terhadap jenama anda.
Untuk menjadi pemilik startup atau syarikat yang berjaya, anda perlu mengubah mindset mulai sekarang. Sebagai pencetus bagi teknologi pengkomputeran, beliau tidak takut untuk mengambil risiko dan cipta inovasi.
Secara peribadinya, Gates juga merupakan seorang yang bijak menghidu bakat yang ada dalam pasukannya dan percaya pada visi syarikat.
Walaupun kini tidak lagi menguruskan Microsoft, namun jenama tersebut kini tetap teguh berdiri dan terus dikenang sebagai perintis bagi industri IT dan perisian komputer.
Sumber : yourstory.com
Artikel lain : Kenali Pony Ma, Orang Keempat Terkaya di China Yang Membangunkan Empayar Tencent