Sebuah syarikat automotif elektrik terkemuka yang ditubuhkan oleh Elon Musk, Tesla bukan sekadar sebuah nama dalam industri automotif, malah ia juga merupakan sebuah ikon perubahan teknologi.

Dengan misi untuk mempercepat peralihan ke sumber tenaga bersih, Tesla telah mengubah pandangan dunia terhadap kereta elektrik dan membuktikan bahawa prestasi dan kebolehpercayaan tidak perlu dikorbankan demi kelestarian alam sekitar.

Dengan reka bentuk yang futuristik, prestasi cemerlang, dan inovasi teknologi yang berterusan, kenderaan Tesla telah memenangi hati ramai peminat automotif.

Selain itu, Tesla juga terkenal dengan sistem autopilot mereka, sebuah teknologi menggabungkan kecerdasan buatan dengan keselamatan pemanduan yang tinggi dan sekaligus membuktikan bahawa masa depan pemanduan autonomi sudah hampir menjadi kenyataan.

Automotif Tesla

Sebelum ini, khabar angin tentang rencana Tesla untuk membuka cawangan operasi di Malaysia telah tersebar luas. Pada 1 Mac 2023, berita itu telah disahkan oleh Tesla dengan memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla di Malaysia. Mereka akan rasmi beroperasi di negara ini dengan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan rangkaian ‘Supercharger’ sebagai pelaburan mereka.

Pengesahan itu dibuat selepas Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) meluluskan permohonan pihak Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.

MITI telah memudahkan kemasukan Tesla ke Malaysia melalui pelancaran inisiatif ‘BEV Global Leaders’ yang bertujuan meningkatkan permintaan kereta elektrik di pasaran tempatan dan mendorong pembangunan ekosistem yang lengkap untuk menyokong penggunaan kereta elektrik.

Pada bulan April yang lalu, laman carian kerja Tesla telah diperbaharui dengan pelbagai jawatan kosong di Kuala Lumpur setelah beberapa minggu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Zafrul, mengesahkan kehadiran jenama kereta elektrik tersebut di Malaysia.

Setelah itu, Tesla Malaysia turut mengumumkan ‘Walk-In Interview’ di Cyberjaya sebagai usaha mereka untuk memperluas kehadiran di Malaysia. Menerusi perkongsian daripada Twitter @paultantk baru-baru ini, Tesla Malaysia bakal mengadakan temu duga secara walk-in pada bulan ini.

Twitter Tesla Malaysia

Menurut Paul Tan, temuduga itu akan diadakan pada Sabtu ini, 17 Jun 2023 di pejabat Cyberview Sdn Bhd, tingkat 4, Blok 3750, Cyber 8, Persiaran Apec di Cyberjaya, bermula dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

Menerusi halaman rasmi Tesla, terdapat beberapa jawatan yang ditawarkan daripada pelbagai bidang seperti sumber manusia, jurutera & teknologi maklumat, operasi & sokongan bisnes, jualan & sokongan pelanggan dan pemaju projek ‘Home Charging’ mereka.

Terbaharu, Tesla juga telah membuka lagi jawatan kosong untuk diisi seperti Senior HR Partner, Parts Advisor, Vehicle Technician, Sevice Manager dan pelbagai lagi.

Tesla Malaysia Walk-In Interview

Jawatan kosong itu bukan sahaja ditawarkan di halaman rasmi mereka, malah ia juga ada dipaparkan di portal Linkedin Tesla bagi memudahkan orang ramai membuat permohonan.

Bagi yang berminat, calon boleh memohon melalui laman web rasmi Tesla atau di portal Linkedin mereka dengan menghantar resume secara atas talian.

Sumber: thevocket.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top