Keputusan Tesla untuk membina pangkalan di Cyberjaya pada bulan lalu telah memberikan tamparan hebat kepada Indonesia sebagai peneraju industri kenderaan elektrik (EV) di rantau Asia Tenggara.

Ia juga merupakan khabar yang tidak diduga memandangkan sebelum ini negara jiran itu dikhabarkan bakal menjadi hub terbesar bagi perusahaan tersebut.

Kerjasama Tesla dengan Malaysia membolehkan syarikat milik Elon Musk itu untuk menjual kenderaan EV secara terus kepada pelanggan tempatan tanpa kenaikan harga daripada orang tengah dan bebas tarif.

Syarikat tersebut juga telah melancarkan kereta elektrik buatan Shanghai iaitu Model Y sejak 20 Julai lalu dengan harga bermula RM 199,000.

Harga ini dilihat sangat berpatutan dan bersamaan dengan suku daripada harga pasaran kenderaan tersebut di Singapura dan Indonesia.

Tidak hanya menawarkan harga yang lebih mampu milik, malah pelanggan juga bakal ditawarkan kemudahan lengkap di pusat servis dan pusat pengecas (charging points) di beberapa lokasi yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Pada masa yang sama, pembukaan cawangan Tesla di Malaysia juga telah membuka banyak peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

Jalinan kerjasama itu juga menjadikan Tesla sebagai syarikat pertama yang berjaya menyertai Battery Electric Vehicle Global Leaders, isiatu salah satu inisiatif kerajaan bagi menjadikan negara sebagai hub industri EV.

Indonesia

Memetik ulasan pegawai Pengarah Perniagaan Amerika di Indonesia, A. Lin Neumann menerusi hantaran di Nikkei Asia, beliau akui Malaysia mempunyai kelebihan yang besar untuk mengatasi Indonesia dalam soal rundingan bersama Tesla.

Beliau menyatakan bahawa, Malaysia bersikap lebih telus dan terbuka dengan permintaan Elon Musk sementara Indonesia pula lebih tertutup.

“Sangat sedikit yang diketahui umum tentang apa yang dicari oleh Tesla dari Jakarta atau apa yang ditawarkan oleh Indonesia, tetapi daripada garis besar perjanjian Malaysia, apa yang dikehendaki oleh pembuat kereta itu kelihatan agak mudah,” tulisnya.

Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bertemu Elon Musk pertengahan Julai lalu berkata rundingan bersama Tesla ini akan memberikan kelebihan besar bagi mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia.

Meskipun negara kita telah mendahului Indonesia setakat ini, namun negara jiran tersebut masih berpeluang untuk merebut tempat bagi pembinaan kilang kereta Tesla yang juga berpotensi untuk menjadi kilang pembuatan bateri kereta elektrik.

Pada masa yang sama, Luhut Pandjaitan, menteri di Indonesia yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber semula jadi berkata pihak kerajaan Indonesia akan mengumumkan insentif baharu untuk pengusaha EV dan akan bertemu Musk pada waktu terdekat bagi membincangkan pasaran Tesla di negara tersebut.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top