Berita pengoperasian syarikat Tesla di Malaysia telah mengejutkan ramai warga Asia Tenggara terutamanya Indonesia. Meskipun rancangan perkembangan perniagaan Elon ke rantau ini bukan berita yang baharu, namun ramai yang tidak menjangka jutawan tersebut memilih Malaysia sebagai lokasi perniagaan Tesla.

Sedangkan, Indonesia terlebih dahulu sudah mula bertemu sendiri dengan pengasas SpaceX tersebut dan telah pun melakukan beberapa siri perbincangan sejak tahun 2021 untuk menarik beliau melabur di negara tersebut.

elon musk

Bagi menjawab bagaimana Malaysia mampu mengatasi Indonesia dalam menarik pelaburan daripada Tesla, perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan sebabnya dalam satu wawancara bersama Fortune Magazine.

“Seperti yang saya tahu tentang dia, dia tahu sedikit tentang saya. Jadi saya berkata kepadanya – lihat, saya telah mengalami banyak penderitaan pada masa lalu. Sekarang saya telah diberi peluang ini dan mampu buat perubahan.

“Saya mahu melaksanakan perubahan itu, dan saya kini mahu melakukan apa sahaja yang perlu. Saya sayang negara saya, dan saya fikir ia mempunyai potensi dan kapasiti yang besar.

“Saya menyatakan dengan jelas dan terus terang kepadanya bahawa dia tidak perlu risau tentang semua beban birokrasi rumit yang mungkin dihadapinya dalam berurusan dengan beberapa negara lain,” kata Anwar Ibrahim kepada Ketua Pengarang Fortune Alyson Shontell dan Pengarang Eksekutif Fortune China Maiwen Zhang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Elon Musk lebih arif tentang sejarah negara Malaysia. Bukan itu sahaja, malah jutawan itu juga mempunyai tiga syarikat utama (dari Malaysia) yang terlibat dalam operasi angkasa lepas SpaceX dari segi alat ganti. Jadi, beliau adalah antara orang yang tepat untuk mengukur potensi negara Malaysia.

“Apa yang kurang itu terhasil daripada dasar dan komitmen yang jelas oleh kepimpinan, dan di situlah kami telah melengkapkannya.

“Dan sudah tentu, saya sangat gembira kerana mereka membuat keputusan yang sangat pantas dan menubuhkan pejabat wilayah mereka di sini,” ujar Anwar.

Dalam wawancara tersebut, Anwar mendedahkan bahawa beliau turut memberitahu Elon Musk bahawa negara sudah bersedia untuk membuat perubahan dengan cepat bagi menarik lebih banyak pelaburan dari luar.

Pada masa yang sama, Anwar turut menjelaskan bahawa negara Malaysia sebelum ini tidak mempunyai ‘dasar dan komitmen yang jelas’ oleh kepimpinan terdahulu. Ini sekaligus menghalang Musk serta pemain industri bisnes terkemuka dunia sepertinya untuk melabur lebih banyak di negara ini sehingga sekarang.

Sebagai perubahan, Malaysia telah mengecualikan Tesla dan SpaceX daripada ‘peraturan dinasour purba’ pemilikan tempatan yang telah diamalkan sejak berpuluh tahun lamanya.

Antara keistimewaan yang ditawarkan kepada jenama Tesla berbanding pembuat kereta asing lain adalah kemampuan Tesla untuk menjual kereta elektrik terus kepada pengguna Malaysia tanpa perlu bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan.

elon musk pasarkan tesla di malaysia

Satu lagi produk milik Elon Musk iaitu Starlink turut dikecualikan daripada peraturan tempatan yang menyekat syarikat asing untuk memiliki sehingga 49 peratus daripada penyedia internet Malaysia.

Sumber : Fortune

Baca Juga : Indonesia Tak Berdiam Diri Setelah Tesla Pilih Untuk Beroperasi di Malaysia

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top