Sebagai seorang usahawan, anda pasti ada memasang impian untuk miliki kedai sendiri. Namun nak membukanya pun perlu ada strategi yang betul kerana ia bukanlah mudah seperti yang disangka.
Terdapat banyak cabaran yang menanti pemilik bisnes di kedai nanti.
Di kawasan kedai, persaingan boleh menjadi semakin sengit. Maklumlah, kedai lain juga mahu tarik perhatian pelanggan.
Tambahan pula, keadaan ekonomi yang tak menentu sekarang ini membuatkan pelanggan lebih berhati-hati ketika membeli. Mereka juga boleh ubah keperluan masing-masing mengikut citarasa atau kemampuan.
Ini boleh memberikan impak besar kepada kedai anda.
Jadi, bagaimana untuk atasi cabaran ini? Kedai anda perlulah ada 7 elemen penting ini untuk tarik pelanggan untuk berkunjung ke kedai.
Ayuh kita semak satu persatu.
7 Elemen Untuk Tarik Pelanggan Ke Kedai
1. Lokasi
Untuk membuka kedai, salah satu elemen paling penting yang perlu anda pertimbangkan adalah lokasinya.
Pastikan kedai anda berada di lokasi yang strategik dan dekat dengan kawasan tumpuan ramai. Lagi bagus jika kedai anda dekat dengan penempatan dan mempunyai ruang parking yang banyak dan luas.
Untuk menjamin kunjungan pelanggan yang ramai, trafik dekat kawasan kedai anda juga perlulah padat.
Anda juga boleh lakukan sedikit kajian tentang demografi kawasan. Siapa penduduk di sekitar, umur, pendapatan dan perkara yang mereka minati.
Bila anda tahu informasi ini, maka mudahlah anda sediakan produk atau servis mengikut citarasa mereka.
2. Fasiliti
Pelanggan suka berkunjung di kedai yang selesa, lengkap dengan fasiliti dan mempunyai flow yang lancar.
Pertama sekali, staff anda mesti dilatih supaya dapat berikan servis terbaik kepada pelanggan. pastikan staff faham setiap aspek operasi dari mula hingga akhir.
Peralatan dalam kedai seperti pengisar, mesin kopi dan sebagainya juga perlulah tahan lama supaya ia dapat berfungsi dengan baik.
Ini juga dapat membantu anda untuk berjimat dalam jangka masa panjang kerana anda tak perlu selalu baiki atau ganti peralatan yang baru.
Kaunter pembayaran anda perlulah pantas kerana pelanggan tak suka menunggu lama-lama. Lebih bagus jika anda gunakan teknologi yang boleh cepatkan bayaran seperti QR Pay dan sebagainya.
Jika ada modal, anda juga boleh hias kedai dengan perabot yang selesa dan pencahayaan yang cantik. Jangan lupa juga untuk pastikan tandas sentiasa bersih dan berfungsi.
Maklumlah, pelanggan memang suka bila dapat layanan premium atau luangkan masa di premis yang ada kemudahan yang lengkap dan dekorasi yang cantik.
Pasti mereka akan ajak kawan-kawan untuk datang sekali ke kedai anda.
3. Kapasiti
Bila pelanggan semakin ramai, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk besarkan atau renovate kedai.
Jadi, anda perlulah pertimbangkan semula aspek kapasiti kedai.
Bila sentuh soal kapasiti kedai, ia bukanlah untuk penuhi jumlah pelanggan semata-mata. Malah, anda juga perlu ambil kira jumlah staff, peralatan dan cara operasi.
Kaji semula trafik dan peak hour kedai. Pukul berapa yang pelanggan suka datang dan apa yang selalu mereka pesan?
Pada masa yang sama, kedai yang semakin ramai kunjungan juga akan membuatkan stok semakin bertambah. Jadi anda perlulah melabur untuk sistem pengurusan stok yang lebih teratur dan canggih.
Fleksibiliti dalam jadual kerja staf juga penting. Mungkin anda boleh sesuaikan shift untuk pastikan operasi ketika peak hour lebih lancar di kedai.
Jika perlu, anda boleh upah pekerja sementara untuk kurangkan beban staff. Dengan kapasiti yang tepat, staff gembira, pelanggan juga akan lebih puas hati.
4. Identiti
Identiti bisnes anda juga perlulah kuat dan selari dengan jenama untuk bersaing dengan kedai lain.
Gunakan warna yang sesuai dengan konsep serta mood kedai. Anda juga perlu kenalpasti kelebihan di kedai yang pelanggan tidak boleh dapati di tempat lain.
Highlight perkara unik dalam bisnes seperti produk atau servis dan jadikannya sebagai tarikan. Seterusnya, kekalkan identiti tersebut secara konsisten supaya pelanggan lebih mudah ingat pada bisnes anda.
5. Target Audience
Ini adalah salah satu langkah penting dalam marketing tak kiralah di kedai mahupun secara online.
Bila anda tahu siapa pelanggan, anda bolehlah sasarkan promosi, iklan serta pemasaran yang lebih tepat dan berkesan.
Perhatikan siapa yang selalu datang di kedai. Dapatkan beberapa maklumat seperti kerjaya, umur, tempat tinggal dan minat mereka.
Kemudian, semak pula target audiens pesaing dan apa strategi yang mereka lakukan untuk tarik pelanggan.
Ini boleh memberi inspirasi kepada anda untuk rancang strategi yang lebih unik dan berkesan.
Proses ini mungkin mengambil masa yang lama, namun ia sangat berbaloi untuk perkembangan bisnes dalam jangka masa panjang.
6. Waktu Operasi
Setiap kedai pasti ada gelagat pelanggan yang berbeza-beza. Ada yang suka membeli belah pada waktu pagi, ada juga yang suka meluangkan masa di kedai pada waktu petang.
Namun, setiap premis perlulah ada waktu operasi yang tetap setiap hari. Ia bukan sahaja dapat memudahkan pelanggan untuk urus waktu mereka, malah ia akan buatkan kedai anda lebih profesional.
Jadi, anda perlu kaji gaya hidup majoriti pelanggan yang selalu berkunjung ke kedai anda. Sekiranya ramai yang suka singgah selepas waktu bekerja, anda boleh ubah waktu operasi supaya dibuka lebih lama dari awal petang hingga malam.
Namun, pastikan penambahan waktu operasi ini betul-betul berbaloi dan menguntungkan bisnes. Jika tidak, anda yang terpaksa menanggung rugi.
Seperkara lagi, jika anda selalu nampak customer terpaksa menunggu lama, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk tambah staf atau buat sistem tempahan.
7. Marketing Kreatif
Kedai yang baru perlulah lebih giat adakan marketing untuk buatkan lebih ramai tahu kewujudan anda.
Jadi, anda perlulah lebih kreatif dan berbeza daripada bisnes lain dalam pemasaran untuk jadi lebih menyerlah.
Anda boleh tarik pelanggan dengan adakan cabutan bertuah atau pertandingan setiap bulan. Selain itu, anda juga boleh tawarkan diskaun khas atau promosi menarik kepada pelanggan yang sudi berkongsi tentang kedai anda di media sosial.
Pelanggan memang suka bila ditawarkan hadiah percuma.
Anda juga boleh bekerjasama dengan influencer tempatan untuk perkenalkan produk dan kongsi pengalaman di kedai.
Maha tahu ada rezeki untuk viral!
Jika anda ruangan tambahan, anda juga boleh jadikan kedai sebagai lokasi untuk program khas seperti persembahan muzik, showcase produk dan sebagainya.
Ini juga boleh menjadi satu lagi strategi yang membolehkan kedai anda lebih dikenali ramai.
Sekarang anda sudah tahu elemen penting untuk tarik pelanggan ke kedai. Yang penting, anda perlu jaga kualiti produk dan servis. Tawarkan pengalaman yang terbaik buat pelanggan supaya mereka seronok ketika di kedai.
Sumber : sifufbads.com
Baca Juga : Kenapa Restoran Fast Food Buka Operasi Berdekatan Antara Satu Sama Lain?