Mungkin kita yang berada di Malaysia tidak pernah dengar tentang syarikat Pinduoduo atau nama singkatannya PDD.

Bagi yang tak tahu, ia merupakan salah satu syarikat dari China yang menggegarkan industri e-commerce sehingga mampu menggoyah pasaran Alibaba.

Meskipun baru ditubuhkan pada tahun 2015, namun syarikat ini telah berkembang dengan begitu pantas dan mampu memenangi hati pengguna menerusi aplikasi Marketplace mereka.

Syarikat ini juga merupakan pemilik bagi Temu, iaitu aplikasi membeli-belah yang sangat popular di Amerika Syarikat.

Atas popularitinya yang luarbiasa dalam kalangan pelanggan, ia berpotensi untuk mengatasi jenama besar lain di Amerika Syarikat seperti Amazon dan Walmart hanya selepas setahun berada di pasaran.

Pencapaian ini turut mendapat perhatian pengasas Alibaba sendiri iaitu Jack Ma. Mana tidaknya, syarikat yang diasaskan oleh Colin Huang ini telah memecahkan dominasi Alibaba sebagai pemain industri e-commerce terbesar di China selama lebih 10 tahun.

Dalam sebuah kenyataan, Jack Ma turut berkesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada PDD atas pencapaian luar biasa mereka.

“Tahniah Pinduoduo atas keputusan, perlaksanaan dan usaha yang hebat bagi beberapa tahun ini,” coret Jack Ma dalam sebuah memo syarikat.

Sejak komen ini diketahui umum, nilai pasaran PDD melonjak sehingga mengatasi Alibaba buat pertama kalinya dalam sejarah.

Rahsia Pinduoduo Untuk Tawan Hati Pengguna

Ramai yang terkejut dengan pencapaian PDD dalam industri e-commerce. Hanya mengambil masa lapan tahun untuk merampas dominasi e-commerce di China, syarikat milik Huang ini dilihat mampu berkembang tiga kali lebih pantas berbanding Alibaba.

Dibangunkan dari Shanghai, pengasasnya iaitu Colin Huang berhasrat untuk wujudkan sebuah aplikasi atas talian yang bersifat lebih sosial dan menyeronokkan berbanding Alibaba atau Amazon.

Meskipun tidak lagi memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi, beliau berbangga dapat merebut peluang besar dalam industri dan sekaligus menjadi pencetus kepada revolusi e-commerce di China.

Antara ciri unik yang diperkenalkan adalah sistem referral bagi membolehkan pengguna mengajak rakan lain untuk dapatkan promosi menarik bersama-sama.

Selain itu, pelanggan boleh mengumpul diskaun dengan melakukan pusingan roda ‘roulette’ dengan tawaran kupon bernilai sehingga US$200.

Pengguna juga boleh ‘membela’ ikan virtual dalam aplikasi tersebut untuk mendapat ganjaran kupon lumayan. Menurut Bloomberg, semua ciri ini telah diinspirasikan daripada aktiviti pelanggan ketika berinteraksi di ekspo atau pusat membeli-belah.

“Sebagai contoh, tawaran masa terhad di Temu adalah mirip dengan ‘flash sale’ yang diadakan di kedai fizikal. Ganjaran dalam pusingan roda atau cabutan bertuah pula adalah antara promosi di pusat membeli-belah yang ramai pelanggan nanti-nantikan.

“Jadi, kami bermatlamat untuk cetuskan pengalaman menarik ini dalam dunia digital, sambil menambah elemen keseronokan ketika membeli-belah atas talian”, jelas pihak Temu.

Keterujaan yang dialami pengguna inilah yang dilihat menjadi pencetus kepada ‘ketagihan’ aplikasi Temu.

pinduoduo

Pinduoduo dan Temu juga mampu menawarkan harga produk yang tidak masuk akal kepada pelanggan kerana mereka dapat menghubungkan pengguna terus kepada pembekal. Sebagai contoh, earbuds dengan rekaan seperti AirPod dijual pada harga serendah $2.98 (RM 13.96) sahaja.

Pada masa yang sama, Temu juga menggalakkan promosi menerusi program affiliate yang lumayan. Difahamkan, seorang pemasar atau ahli affiliate mampu menjana sehingga US$100,000 sebulan!

Populariti aplikasi ini turut melonjak setelah mendapat pendedahan besar dalam iklan Super Bowl dan menerusi kempen besar-besaran di media sosial.

Dengan strategi yang mantap ini, maka tidak hairanlah bagaimana Temu berjaya berkembang ke pasaran 40 buah negara.

pinduoduo

Mampukah PDD Kekalkan Popularitinya?

Sesetengah orang berpendapat PDD hanya dapat bertahan disebabkan oleh subsidi dan pemasarannya yang memakan modal jutaan dollar.

Wish.com yang dahulunya pernah menjadi aplikasi e-commerce yang paling banyak dimuat turun pada 2018 kini turut mengalami kerugian setelah menamatkan kontrak pemasaran dengan kelab bola sepak Liga Dunia dan Los Angeles Lakers.

Disebabkan itu, ada yang menganggap Temu bakal menjadi satu lagi aplikasi bermusim yang sukar untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan. Berdasarkan satu survey daripada Morgan Stanley, kira-kira 44% pelanggan Temu berbelanja pada jumlah yang sedikit dan hanya 22% berbelanja secara berlebihan.

Sesetengah pelanggan turut mempertikaikan kualiti barangan serta kecekapan khidmat penghantaran yang ditawarkan. Jadi, syarikat Pinduoduo mungkin perlu rancang strategi yang lebih kukuh untuk tingkatkan jumlah pelanggan setianya.

Meskipun begitu, para penganalisa tidak menafikan kekuatan Pinduoduo dalam industri e-commerce di Amerika Syarikat.

Dengan mencatatkan sebanyak 48.2 juta pengguna bulanan setakat Oktober 2023, Temu berjaya muncul sebagai salah satu aplikasi yang paling banyak dimuat turun di negara tersebut.

Pada bulan November, laman web Temu juga mencatatkan 100 juta kunjungan dan sekaligus menjadikan ia sebagai laman membeli-belah ketujuh paling popular di Amerika Syarikat sambil mengatasi Amazon, eBay dan Walmart.

Sumber : Bloomberg

Baca Juga : Miliki Kekayaan Sehingga US$120 Bilion, Ini 11 Waris Jutawan China Yang Bakal Terajui Bisnes Keluarga Bernilai US$1 Trillion

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top