Pasti ramai tak tahu yang Amazon sebenarnya bermula dari kedai buku di kaki lima sahaja. Kini, ia telah berkembang pesat dan terkenal sebagai platform e-commerce terunggul di Amerika Syarikat.
Kekuatan Amazon sebagai jenama besar dalam pelbagai industri juga tidak dapat disangkal lagi.
Selain platform e-commerce, kehadiran Amazon juga didapati berupaya menggugat pemain industri menerusi aneka produknya seperti Amazon Prime iaitu platform penstriman yang setanding dengan Disney+ dan AppleTV.
Namun, di sebalik kejayaan Amazon, terdapat satu kisah kegagalan yang masih diingati sehingga ke hari ini.
Amazon Lancarkan Telefon Pintar Fire Phone
Pada Julai 2014, Amazon telah melancarkan telefon pintar buatan sendiri yang dinamakan Fire Phone.
Ketika itu, Amazon beranggapan mereka mampu menguasai industri telefon pintar memandangkan produk Kindle mereka mendapat sambutan yang hangat.
Tambahan pula, Amazon juga bercita-cita untuk menggabungkan kesemua aplikasi mereka supaya lebih mudah berurusan dengan pelanggan.
Tidak memiliki Google Playstore, Fire Phone juga dilengkapi dengan 5 kamera hadapan. Dianggap sebagai suatu inovasi yang canggih pada ketika itu, Jeff Bezos berharap telefon pintar dari Amazon ini mampu menyaingi jenama besar lain seperti lagi iPhone.
Namun, sambutan orang ramai menjadi bukti. Walaupun Fire Phone dapat membantu pelanggan membeli barang di Amazon dengan mudah melalui arahan suara, namun ia masih tidak mampu menarik perhatian pelanggan.
Meskipun baru melancarkan model telefon pintar, namun Fire Phone dijual dengan harga sangat mahal sehingga mencapai harga iPhone 6.
Telefon bimbit ini juga nyata gagal mengatasi populariti iPhone 6 dan iPhone 6 Plus yang dilancarkan tidak lama kemudian selepas itu.
Akhirnya, Fire Phone hanya terjual sebanyak 35,000 unit dalam beberapa bulan sahaja berbanding iPhone 6 yang terjual sebanyak 4 juta unit pada hari pertama pelancaran.
Di samping itu, Fire Phone bukan sahaja perlu bersaing dengan jenama iPhone yang serba ekslusif, malah ketika itu berlakunya lambakan jenama telefon pintar dari China yang dijual dengan harga lebih murah dengan kualiti yang tidak kurang hebatnya.
Tambahan pula, telefon yang diperkenalkan oleh Amazon ini tidak dilengkapi dengan Google Playstore membuatkan ia kurang mendapat tarikan pelanggan.
Huawi yang pernah berhadapan dengan masalah yang sama segera mengatasi hal ini dengan melancarkan laman carian sendiri.
Disebabkan itu, maka terkuburlah hasrat Amazon untuk menembus industri pembuatan telefon pintar. Meskipun terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$ 170 juta, namun jumlah tersebut dilihat sangat kecil jika ingin dibandingkan dengan keuntungan syarikat.
Jadi, Amazon pun terus buka lembaran baru dan terus melupakan niat untuk membangunkan telefon pintar pada masa akan datang. Selain laman e-commerce dan platform penstriman, syarikat ini miliki puluhan lagi perniagaan lain antaranya Alexa, Amazon Fresh, Amazon Pharmacy, Amazon Games dan sebagainya.
Berdasarkan kisah kegagalan Amazon ini, dapatlah kita simpulkan bahawa tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baharu. Namun, anda perlulah kenalpasti risiko dan kesannya. Seperti penghasilan Fire Phone, ia mungkin menyebabkan kerugian ratusan juta dolar, namun kedudukan Amazon masih tidak terjejas.
Namun, jika Amazon tidak mengambil iktibar dan berkeras untuk membangunkan model telefon pintar baharu, besar kemungkinan mereka mungkin perlu tanggung kerugian yang lebih besar pada masa akan datang.
Sumber : slidebean.com