Walaupun tujuan memakai telekung oleh umat islam adalah sama, iaitu untuk bersolat, namun keistimewaan kualiti yang baik memastikan keselesaan luar biasa semasa beribadah. Kini, pasaran telekung berkualiti tinggi semakin mendapat tempat di hati para Muslimah.

Antara jenama telekung premium yang cukup terkenal adalah Siti Khadijah yang kini mengembangkan operasi perniagaan ke Singapura melalui pembukaan butik di Arab Street pada Sabtu lalu iaitu 29 Julai 2023.

Ini sekaligus menjadikan Singapura sebagai negara ketiga jenama ini membuka cawangan selepas Malaysia dan Indonesia.

Jenama yang dibangunkan oleh Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman ini berjaya memenangi hati para pelanggan sambil merintis pasaran khusus bagi telekung di Malaysia dengan pembukaan lebih 49 butik dalam negara, tiga butik di Indonesia dan satu di Singapura.

Dibangunkan pada tahun 2019 oleh seorang surirumah, syarikat Siti Khadijah fokus kepada usahanya dalam mencipta pakaian solat yang inovatif, termasuklah reka bentuk muka yang unik yang diciptakan oleh jenama itu sendiri.

Telekung Siti Khadijah

Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Siti Khadijah menyatakan bahawa jenama ini berazam untuk mendekatkan produk Islamik dengan warga Singapura di samping memberi sumbangan kepada kemajuan sosioekonomi negara tersebut.

Mengikut pernyataan tersebut, fokus utama Telekung Siti Khadijah adalah untuk memperluaskan dan memperkembangkan perniagaannya, khususnya di peringkat global. Langkah ini melibatkan tidak hanya pasaran di Asia Tenggara, tetapi juga merentasi ke seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Mohammad Munzir berkata, dengan pasaran yang semakin berkembang pesat dan reputasi jenama yang kukuh, Siti Khadijah memiliki landasan yang teguh untuk meningkatkan pengalaman omnichannel atau semua saluran di seluruh dunia.

Seperti butik-butik yang lain, cawangan di Singapura ini bukan sahaja menawarkan telekung premium, malah pelanggan juga berpeluang untuk mendapatkan produk mesra ibadah lain seperti pakaian lelaki dan wanita, hijab, sejadah, dan beg.

Telekung Siti Khadijah

Semasa tempoh pelancaran, pelanggan Siti Khadijah di Singapura berpeluang mendapat baucar bernilai $20 bagi setiap pembelian bernilai sekurang-kurangnya $100 dalam satu resit di butik itu.

Sumber: Majalahlabur

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top