Industri kopi sudah menjadi sebuah bisnes yang cukup rancak di Malaysia. Dengan kemunculan pelbagai rangkaian jenama kopi, setiap satunya menggunakan strategi yang berbeza untuk mengatasi jenama kopi antarabangsa sambil menawan hati peminat tegar kopi.

Ini termasuklah ZUS Coffee, sebuah jenama yang boleh dikatakan agak baharu dalam industri namun telah mempunyai 225 cawangan dalam negara.

Menurut Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian, jenama yang terkenal dengan logo berwarna putih biru ini bermatlamat untuk menawarkan kopi berkualiti tinggi dengan harga mampu milik. Mana tidaknya, kopi bermutu tinggi tidak dinafikan harganya agak mahal. Sementara itu, kopi yang berharga rendah pula hanya boleh didapati dalam tin atau jenis 3 dalam 1 (instant).

“Disebabkan jurang ini, kami terdetik untuk membangunkan sebuah jenama yang menawarkan kopi yang padu pada harga yang berpatutan serta mudah untuk didapati di pelbagai lokasi”, jelas Venon.

Venon turut berkongsi bahawa pemilik bersama jenama ini terdiri daripada 8 orang dengan pengalaman yang berbeza dalam pelbagai bidang. Namun, mereka disatukan di atas minat yang sama terhadap dunia bisnes serta penghasilan kopi berkualiti.

Meskipun perlu bersaing dengan nama besar dalam industri seperti seperti Starbucks dan Coffee Bean, namun Venon menegaskan bahawa ZUS Coffee mempunyai hala tuju bisnes yang berlainan.

“Kami berpegang kepada misi yang jelas dalam menawarkan aneka kopi bermutu dengan harga berpatutan. Yang penting, pelanggan dapat luangkan masa di kedai kopi dan tidak rasa terbeban untuk nikmatinya setiap hari,” jelas Venon.

Aplikasi ZUS Coffee Bawa Pelanggan Lebih Dekat Dengan Jenama

Ketika membangunkan jenama ini, para pengasas telah memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk hasilkan aplikasi ZUS.

Ia bukan sahaja memudahkan pelanggan membuat pesanan menerusi penghantaran dan bungkus, malah ia juga dapat membantu jenama ini dalam memahami gelagat serta citarasa pelanggan secara lebih mendalam.

“Dengan data yang dikumpul oleh aplikasi, kami dapat mengenalpasti keperluan peminat tegar kopi serta pandangan mereka terhadap ZUS Coffee.

 Kami juga tidak melepaskan peluang untuk menawarkan ganjaran menarik bagi setiap pengguna aplikasi ZUS menerusi loyalty programme”, ulas Venon.

Di samping itu, jenama ini turut percaya akan keberkesanan teknologi dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap buat pelanggan. ZUS Coffee juga berbangga atas pencapaian mereka dalam menawarkan 36 juta cawan kopi menerusi aplikasi yang mereka bangunkan sendiri.

Buat masa ini, ZUS Coffee juga sedang meneroka penggunaan AI (artificial intelligence) untuk diterapkan dalam aplikasi mereka.

Pengasas Turun Padang Untuk Hasilkan Kopi Terbaik

Kredit : Vulcan Post

Pasti ramai yang tidak tahu bahawa salah satu pengasas ZUS Coffee juga merupakan pakar dalam penghasilan kopi!

Pengasas bersama merangkap Ketua Barista ZUS Coffee, Terence Ho bijak dalam memperkenalkan menu yang bukan sahaja tepat dengan citarasa penggemar kopi, malah mampu menarik pelanggan yang baru berjinak-jinak untuk nikmatinya.

Ini boleh dibuktikan daripada penciptaan beberapa menu seperti ZUS Gula Melaka Latte dan Thunder yang sudah wujud sejak tertubuhnya ZUS Coffee dan kekal menjadi kegemaran pelanggan sehingga ke hari ini.

Sejak memulakan operasi pada tahun 2019, Terence juga telah memanfaatkan pengalaman beliau sebagai barista dan pengurus kafe untuk sempurnakan lagi keenakan kopi bagi jenama ini. Tak hairanlah mengapa jenama ini begitu pantas berkembang dan makin ramai peminatnya saban hari!

ZUS Coffee Rancang Untuk Tembus Pasaran Filipina

Venon turut berkongsi pencapaian ZUS Coffee yang kini mampu 200 ke 400 cawan di setiap cawangan mereka saban hari.

Meskipun sudah bertapak di lebih 200 cawangan, namun ZUS tidak menoleh belakang lagi untuk kembangkan jenama mereka.

Kini, mereka bermatlamat untuk menembus pasaran Filipina apabila seorang jutawan dari negara tersebut telah melabur dalam bisnes ini beberapa bulan lalu.

“Kami tidak menyangka ZUS Coffee dapat berkembang secepat ini. Namun, kami tetap akan teruskan perjuangan untuk menjadi jenama kopi tempatan pilihan ramai serta mampu dinikmati oleh semua”, ulas Venon.

Walaupun kini terdapat pelbagai jenis jenama kopi di pasaran, namun ZUS Coffee berjaya buktikan bahawa mereka juga mampu memenangi hati rakyat Malaysia meskipun nama mereka agak baru dalam industri.

Dengan menawarkan aneka kopi dengan harga yang berpatutan, jenama ZUS Coffee kian kukuh saban tahun dan mampu bersaing dengan jenama besar yang lain. Mereka juga bijak memanfaatkan teknologi serta kepakaran dalam bidang pengurusan kafe untuk kembangkan jenama mereka. Bisnes yang kukuh pula mampu menarik pelaburan yang lumayan untuk bawa jenama ke peringkat yang lebih tinggi.

Semoga perkongsian ini mampu mencetus inspirasi buat semua terutamanya usahawan yang berminat untuk memulakan bisnes kopi.

Sumber : Vulcan Post

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top