Kekayaan negara China mula berkembang sejak 4 dekad lalu apabila negara tersebut mula serius dalam perniagaan swasta.

Dengan penglibatan dalam pelbagai industri besar seperti automotif, farmaseutikal dan bioteknologi, sesetengah pengasas bagi syarikat besar di China difahamkan mempunyai nilai kekayaan terkumpul sehingga US$1 trillion.

Sementara itu, 11 perniagaan keluarga yang memasuki senarai Bloomberg Billionaires Index pula dilihat bakal mewariskan sehingga US$120 bilion kepada anak-anak mereka.

Anak-anak jutawan ini rata-rata berusia kurang daripada 40 tahun dan sedang memegang jawatan besar di syarikat milik ibu bapa mereka sebagai persediaan untuk mengambil alih perniagaan tersebut pada masa akan datang.

Untuk memastikan peralihan yang lancar, anak-anak mereka juga telah dihantar ke institusi pendidikan di luar negara. Sambil didedahkan kepada tugas dalaman, mereka juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan pasaran syarikat kepada pengguna yang lebih muda atau ke peringkat antarabangsa.

Ingin kenali anak jutawan China yang bakal mewarisi syarikat besar ibu bapa mereka? Ayuh ikuti perkongsian kami dengan lebih lanjut.

11 Waris Jutawan China Yang Bakal Terajui Bisnes Keluarga

1. Zhong Shu Zi (Anak Pemilik Nongfu Spring Co.)

jutawan china

Shu Zi yang berusia 35 tahun berperanan dalam merangka pelan bisnes dan aktiviti pelaburan bagi Nongfu Spring.

Diasaskan pada tahun 1996, Nongfu Spring merupakan pembekal air minuman terbesar di China. Sebagai negara yang paling banyak mengambil air minuman dalam botol, ayah Shu Zi iaitu Zhong Shanshan berhasil untuk mengekalkan kedudukan sebagai individu terkaya di China sejak tahun 2021.

 

Pada masa yang sama, jutawan China ini juga merupakan pemilik kepada Wantai Biological Pharmacy Enterprise, sebuah syarikat farmaseutikal yang mempunyai permintaan kit ujian Covid-19 yang tinggi pada waktu pandemik.

Bloomberg menyenaraikan keluarga Zhong sebagai yang terkaya di China dengan nilai kekayaan sebanyak US$62.3 bilion.

2. Chen Yiting (Anak Pemilik Hengli Group Co.)

Yiting berperanan sebagai ahli lembaga pengarah Hengli dari 2015 hingga 2022. Kini berusia 30 tahun, beliau diberi kepercayaan untuk menerajui bisnes Hengli Petrochemical’s International yang berpangkalan di Singapura.

Memegang kekayaan bernilai US$10.6 bilion, ibu bapa Yiting merupakan pengasas kepada Hengli Group, sebuah syarikat pengeluar petrokimia swasta terbesar di China. Syarikat yang bertapak di Suzhou itu menghasilkan cip poliester dan filament untuk penggunaan dalam industri tekstil dan pembungkusan.

Pada tahun lalu, syarikat ini mencatatkan hasil jualan sebanyak US30.9 bilion.

3. Li Xingxing (Anak Pemilik Zhejiang Geely Holding Group Co.)

Pada tahun 2012, XingXing menyertai syarikat milik ayahnya iaitu Geely dan kini menjadi orang paling penting bagi Lynk & Co., iaitu kereta berjenama China-Sweden. Beliau kini berusia 38 tahun.

jutawan China

Ayah Xingxing iaitu Li Shu Fu merupakan pengasas kepada Zhejiang Geely Holding Group, salah satu pengeluar kereta terbesar di China dan antara syarikat pengeksport kereta terbesar di dunia. Keluarga Li kini mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$10.1 bilion.

4. Sun Yuan (Anak Pemilik Hansoh Pharmaceutical Group Co.,)

Sebelum menyertai syarikat Hansoh pada 2011, Sun telah memulakan karier sebagai penganalisa untuk sebuah syarikat pelaburan.

Kini berusia 36 tahun, Sun bertanggungjawab dalam menyediakan panduan dan kajian bagi pembangunan strategi, pelaburan, penemuan saintifik dan peluang bisnes untuk Hansoh di pasaran antarabangsa.

Ibu Sun iaitu Zhong Huijuan merupakan pengasas bagi syarikat pengeluar ubat-ubatan psikotropik.

jutawan China

Syarikat yang beroperasi di Lianyuang, Jiangsu ini menghasilkan pelbagai ubat untuk merawat penyakit seperti diabetis, jangkitan kuman, tumor dan penyakit saraf. Keluarga ini memegang nilai kekayaan sebanyak US$8.4 bilion sambil mencatatkan hasil jualan sebanyak 9.4 bilion yuan pada 2022.

5. Liu Shuqi (Anak Pemilik Tongwei Group)

Setelah tamat pengajian di Queen Mary University of London, Shuqi yang kini berumur 34 tahun memegang peranan sebagai pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tong Wei Co.

Ayah Shuqi iaitu Liu Hanyuan merupakan pengasas bagi Tongwei Group, sebuah syarikat agrikultur dan penghasilan tenaga yang terkenal di China.

jutawan China

Syarikat ini memfokuskan produk seperti makanan ikan serta ternakan. Pada masa yang sama, syarikat ini juga merupakan penghasil sel silikon solar berhablur (crystalline silicon solar cells) terbesar di dunia.

6. Xu Yangyang (Anak Pemilik Dali Foods Group Co.)

Yangyang yang berusia 40 tahun telah menyertai Dali Food Groups pada 2008 dan muncul sebagai Naib Presiden dan Pengarah Eksekutif pada 2014.

Syarikat yang dimiliki keluarga Xu menghasilkan lebih 30 jenis minuman, snek dan pastri dan kini mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$7.3 bilion.

jutawan China

7. Jiang Anqi (Anak Pemilik Tianqi Lithium Corp)

jutawan China

Anqi menyertai syarikat milik keluarganya pada 2016 dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada tahun berikutnya.

Kini menginjak usia 36 tahun, Anqi mendapat kepercayaan untuk memegang jawatan Naib Pengerusi pada tahun 2022 dan kini bertanggungjawab dalam strategi serta pelaburan bisnes.

Ayah Anqi adalah pengerusi bagi Tianqi Lithium, sebuah syarikat perlombongan dan pembekal lithium yang penting dalam menghasilkan bateri kenderaan elektrik (EV).

Syarikat yang berpangkalan di Chengdu itu turut memegang operasi yang besar di Chile dan Australia Barat. Keluarga Jiang mencatatkan kekayaan berjumlah US$ 4.3 bilion.

jutawan China

8. Ruan Zeyun (Anak Pemilik Flat Glass Group Co.)

Zeyun yang memegang sarjana dalam bidang pengurusan telah menyertai Flat Glass pada 2009. Kini, Zeyun yang berusia 36 tahun bertanggungjawab dalam pengurusan dan operasi bisnes secara keseluruhan.

Ayah Zeyun iaitu Ruan Hongliang merupakan pengasas bagi Flat Glass Group. Syarikat yang beroperasi di Jiaxing ini menghasilkan sebanyak 1/5 kaca solar untuk pasaran global.  Dengan itu, keluarga Ruan mencatatkan kekayaan berjumlah US$ 3.7 bilion.

9. Yu Shilun (Anak Pemilik YTO Express Group Co)

Shilun yang berusia 27 tahun menyertai YTO sebagai pembantu pengerusi pada 2019 dan akhirnya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada September 2022.

Ayah Shilun iaitu Yu Huijiao merupakan pengasas YTO Express, salah satu syarikat penghantaran yang paling besar di China. Mula beroperasi pada 2000, syarikat itu mencapai kemuncak bisnes pada era perkembangan e-commerce di negara tersebut.

10. Gao Haichun (Anak Pemilik Trina Solar Co.)

jutawan China

Haichun yang berusia 30 tahun menimba pengalaman di firma perundingan McKinsey & Co sebelum menyertai Trina pada 2017.

Ayah Haichun mengasaskan Trina Solar, sebuah syarikat pengeluar produk solar yang terkemuka di China. Diasaskan pada 1997, syarikat yang beroperasi di Changzhou itu menghasilkan sel solar, wafer silikon, kelengkapan stesen janakuasa dan sebagainya.

Keluarga ini mencatatkan kekayaan bernilai US$3 bilion.

Dengan penglibatan anak-anak jutawan China dalam syarikat milik keluarga masing-masing, ia pasti bakal menjamin perkembangan bisnes dan hala tuju yang lebih lancar pada masa akan datang.

Memang wajar untuk mereka libatkan diri pada usia yang lebih mudah demi menimba pengalaman serta mengasah kemahiran profesional dalam dunia korporat.

Tambahan pula, syarikat-syarikat besar ini memainkan peranan penting dalam kelangsungan ekonomi China sendiri.

Sumber : Bloomberg

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top