Buat pertama kalinya, keluarga Al Nahyan tersenarai dalam carta keluarga terkaya oleh Bloomberg. Dengan nilai kekayaan sebanyak US$305 bilion, keluarga dari Abu Dhabi ini berhasil untuk mengganti kedudukan keluarga Walton di tempat pertama.

Selain itu, terdapat satu lagi penyertaan terbaharu daripada keluarga yang berasal dari Timur Tengah iaitu keluarga Al Thani.

Apakah jenis bisnes yang keluarga kaya ini lakukan untuk memasuki senarai tahunan Bloomberg? Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

25 Keluarga Terkaya di Dunia Bagi Tahun 2023

1. Keluarga Al Nahyan

keluarga terkaya di dunia

Abu Dhabi merupakan salah satu lokasi dengan simpanan minyak terbesar di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dinasti Al Nahyan telah menerajui kawasan tersebut selama beberapa dekad termasuk sebelum tercetusnya transformasi ekonomi negara daripada hasil minyak.

Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan juga menggalas jawatan Presiden bagi negara tersebut. Pada masa yang sama, ramai ahli keluarga Al Nahyan turut memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta.

Bisnes yang dikawal oleh keluarga diraja UAE iaitu International Holding Co., turut mencatatkan peningkatkan saham sehingga 7,000% sejak 4 tahun lalu. Maka, tidak hairanlah bagaimana keluarga Al Nahyan mampu mengguli kedudukan pertama dalam senarai keluarga terkaya di dunia untuk tahun 2023.

Dengan mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$350 bilion, keluarga Al Nahyan mengukir sejarah apabila pertama kali memasuki carta Bloomberg. Mereka sekaligus menewaskan keluarga Walton dengan perbezaan nilai kekayaan sebanyak US$45 bilion.

2. Keluarga Walton

keluarga terkaya di dunia

Memiliki lebih 10,500 cawangan pasar raya di seluruh dunia, keluarga Walton yang menerajui Walmart mencatatkan hasil kekayaan berjumlah US$239.7 bilion.

Ia juga dinobatkan sebagai peruncit global terbesar di dunia dalam senarai NRF Top 50 Global Retailers sambil mengalahkan jenama besar seperti Costco, Amazon, IKEA dan Apple.

Selain memegang empayar bisnes yang berskala gergasi, keluarga Walton juga memiliki 46% saham Bentonville, iaitu bandar Arkansas yang menjadi lokasi pertama Walmart dan kini menempatkan ibu pejabat syarikat tersebut.

Di samping itu, keluarga Walton juga merupakan pemilik kepada Arvest Bank yang mempunyai 16 cawangan di Amerika Syarikat.

3. Keluarga Hermès

keluarga terkaya di dunia

 

Kini memasuki generasi keenam, keluarga Hermès memiliki syarikat fesyen mewah yang terkenal dengan beg tangan bernilai sehingga ratusan jutar dollar.

Mencatatkan kekayaan sebanyak US$151 bilion, ahli keluarga Hermès yang terdiri daripada lebih 100 orang ini dikenali sebagai keluarga terkaya di Eropah. Kekayaan mereka juga dilihat meningkat sebanyak 59% berbanding tahun lalu.

Sesetengah daripada ahli keluarga ini turut mengekalkan kedudukan tinggi dalam syarikat Hermès antaranya Pierre-Alexis Dumas sebagai pengarah artistik dan Axel Dumas sebagai Pengerusi Eksekutif.

keluarga terkaya di dunia

Pada 2014, LVMH dan Hermès mencapai persetujuan supaya Bernard Arnault tidak lagi membuat percubaan untuk mendominasi Hermès menerusi pembelian saham secara senyap-senyap.

LVMH kini memiliki kira-kira 17% saham di Hermès dan mampu bekerjasama dengan jenama tersebut bagi kepentingan pasaran barangan mewah.

Hermès pula dapat mengukuhkan pemilikan syarikat dan terus fokus untuk jadi salah satu pemain industri utama dalam sektor barangan mewah.

4. Keluarga Mars

keluarga terkaya di dunia

Bisnes keluarga Mars diasaskan oleh Frank Mars yang mula menjual gula-gula pada usia 19 tahun. Lama-kelamaan, Frank mampu hasilkan pelbagai jenama coklat dan gula-gula popular seantero dunia seperti Mars, M&Ms, Milky Way, Skittles dan Snickers.

Pada masa yang sama, keluarga ini turut mengusahakan perniagaan bagi produk penjagaan haiwan peliharaan seperti Pedigree, Whiskas dan Royal Canin.

Jacqueline Mars bersama dua orang abangnya iaitu John Franklin Mars dan Forrest Edward Mars telah mengambil alih bisnes keluarga setelah kematian ayah mereka pada tahun 1999.

Dengan pemasaran produk kepada lebih 180 buah negara, keluarga Mars berjaya mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$141.9 bilion.

5. Keluarga Al Thani

keluarga terkaya di dunia

Keluarga Al Thani telah menjadi pemerintah Qatar sejak abad ke-19. Khazanah minyak di negara tersebut mula dikenalpasti sejak 1940an dan telah mengubah negara tersebut sebagai antara yang terkaya di dunia.

Ahli keluarga Al Thani memegang pelbagai jawatan dalam pentadbiran dan pembangunan Qatar termasuk dalam bidang politik, ekonomi, pelancongan, pelaburan, pembinaan dan hartanah.

Kini memasuki pentadbiran generasi kelapan, keluarga Al Thani mencatatkan nilai kekayaan berjumlah US$133 bilion dan merupakan keluarga diraja kedua terkaya di dunia.

6. Keluarga Koch

keluarga terkaya di dunia

Koch Industries telah diasaskan oleh Fred C.Koch pada tahun 1940. Setelah Fred meninggal dunia, bisnes ini telah diambil alih oleh anaknya Charles dan David.

Setelah beberapa tahun, dua beradik ini berjaya mengembangkan bisnes kepada jualan produk kertas dan bahan kimia.

Pada tahun 2017, anak Charles iaitu Chase turut menerajui syarikat pelaburan iaitu Koch Disruptive Technologies.

Kini, keluarga Koch memiliki nilai kekayaan sebanyak US$127.3 bilion dan menjadi keluarga keenam terkaya di dunia.

7. Keluarga Al Saud

keluarga terkaya di dunia

Keluarga diraja ini unggul memegang takhta pentadbiran di Arab Saudi selama 91 tahun. Selain terkenal dengan kekayaan hasil minyak, ramai ahli keluarga diraja Al Saud turut menjadi perantara bagi kontrak kerajaan.

Selain itu, ramai keluarga Al Saud turut menjana pendapatan sebagai pemilik beberapa syarikat swasta di Arab Saudi.

Keluarga ini juga terkenal sebagai pemilik Saudi Aramco, iaitu syarikat minyak dengan hasil keuntungan yang sangat lumayan.

Sebagai negara yang memiliki satu perlima daripada keseluruhan hasil petroleum di dunia, syarikat minyak ini dikatakan mampu mencapai keuntungan melebihi syarikat teknologi lain seperti Apple dan Google.

8. Keluarga Ambani

Sebelum Mukesh Ambani menjadi tokoh jutawan terkenal di mata dunia, kekayaan keluarga ini telah pun dibina oleh ayahnya iaitu Dhirubhai Ambani yang membangunkan Reliance Industries pada 1950an.

Pada tahun 2004, Reliance Industries berjaya memasuki carta Fortune 500 sebagai syarikat pertama berstatus bukan kerajaan dari India yang tersenarai.

Setelah Dhirubai meninggal dunia, Mukesh mengambil alih syarikat pemprosesan minyak yang pernah diusahakan oleh ayahnya.

Menetap di rumah mewah 27 tingkat dengan mencatatkan hasil kekayaan US$89.9 bilion, gaya hidup mewah keluarga Mukesh dan keluarganya juga sering mendapat perhatian media dari seluruh dunia.

9. Keluarga Wertheimer

Dua beradik iaitu Alain dan Gerard Wertheimer menjadi penerus legasi bagi perusahaan keluarga sambil menikmati nilai kekayaan sebanyak US$89.6 bilion.

Datuk mereka iaitu Pierre telah bekerjasama dengan Gabrielle (Coco) Chanel sejak tahun 1920an bagi membangunkan jenama minyak wangi dan barangan mewah yang terkenal iaitu Chanel.

Selain menjalankan bisnes fesyen mewah, keluarga ini turut memiliki beberapa kelab lumba kuda dan ladang anggur di Perancis dan Amerika Syarikat.

10. Keluarga Thomson

Kekayaan keluarga terkaya di Kanada ini bermula pada tahun 1930an apabila Roy Thomson mengasaskan sebuah stesen radio di Ontario.

Bisnes ini kemudiannya berkembang kepada penerbitan surat khabar dan seterusnya mencetuskan empayar penerbitan dan media yang cukup berpengaruh di Kanada.

Keluarga yang memiliki syarikat penerbitan akhbar Globe dan Mail ini memegang kira-kira 69% saham dalam syarikat media bertaraf global iaitu Thomson Reuters.

Pada masa yang sama, keluarga Thomson turut memegang saham dalam syarikat telekomunikasi gergasi Kanada iaitu Bell Canada. Keluarga ini dilaporkan memiliki kekayaan bernilai US$ 71.1 bilion.

11. Keluarga Cargill & MacMillan

Syarikat Cargill yang terlibat dalam sektor pengeluaran makanan dan agrikultur ini telah diasaskan pada tahun 1865 di Iowa, Amerika Syarikat oleh William W.Cargill.

Perniagaan ini turut disertai oleh keluarga Cargill apabila menantu William, John H MacMillan menyertai pentadbiran syarikat. Pada tahun 1936, John telah dilantik sebagai presiden bagi menggantikan William.

Kini, syarikat Cargill telah berkembang sebagai syarikat swasta dengan hasil jualan tertinggi di Amerika Syarikat.

Waris Cargill dan MacMillan yang terdiri daripada 90 ahli keluarga memiliki saham terkumpul dalam syarikat sebanyak 88%.

Menurut Forbes, 8 daripada ahli keluarga ini juga memegang status billionaire sambil mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$63.3 bilion.

12. Keluarga Johnson

 

Keluarga yang terkenal dalam industri kewangan ini memiliki Fidelity Investments yang berpangkalan di Boston.

Ia diasaskan oleh Edward C.Johnson II pada tahun 1946 dan kini diterajui oleh cucunya iaitu Abigail. Abang Abigail iaitu Edward Johnson IV turut mengusahakan syarikat hartanah milik keluarga. Kini, keluarga Johnson mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$55.7 bilion.

13. Keluarga Boehringer

Syarikat farmaseutikal Boehringer Ingelheim telah diasaskan oleh Albert Boehringer pada tahun 1885.

Selepas Albert meninggal dunia, syarikat ini diuruskan oleh dua anaknya iaitu Albert Jr dan Ernest serta menantunya, Julius.

Pada tahun 1983, syarikat ini mengasaskan Boehringer Ingelheim Fonds, iaitu syarikat yang fokus dalam kajian perubatan.

Syarikat ini masih utuh selepas 130 tahun dalam industri atas usaha waris Albert sendiri. Kini, syarikat Ingelheim Boehringer diterajui oleh Hubertus von Baumbach.

Syarikat farmaseutikal milik keluarga ini sudah memasuki generasi keempat sambil mencatatkan nilai kekayaan bernilai US$51.3 bilion.

14. Keluarga Quandt

Herbert Quandt terkenal sebagai penyelamat Bayerische Motoren Werk di ambang muflis dan mengubahnya menjadi syarikat pengeluar kereta mewah terkemuka yang kini dikenali dengan nama singkatannya, BMW.

Kini, separuh daripada saham syarikat tersebut dimiliki oleh dua orang anaknya iaitu Stefan Quandt (23.6%) dan Susanne Klatten (19.1%).

Susanne juga terkenal sebagai wanita terkaya di Jerman. Kedua-dua beradik ini mempunyai jawatan yang penting dalam pentadbiran BMW dengan Stefan sebagai timbalan pengerusi.

Pada masa yang sama, Stefan turut miliki Heel (syarikat perubatan hemeopathy), Entrusrt (syarikat keselamatan data dan identiti digital) dan Logwin (logistik).

Kini ditadbir oleh generasi keempat, keluarga Quandt unggul sebagai keluarga ke-14 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak US$49.9 bilion.

15. Keluarga Albrecht

keluarga terkaya di dunia

Theo dan Karl Albrecht mengambil alih perniagaan runcit keluarga mereka selepas Perang Dunia Kedua dan mengubahnya menjadi Aldi, sebuah rangkaian pasar raya bertaraf global yang berasal dari Jerman.

Dua beradik ini mencapai kata sepakat untuk membahagikan bisnes kepada dua jenama pasar raya iaitu Aldi Nord dan Aldi Sued pada tahun 1960an. Kini, kedua-dua jenama ini mempunyai 10,000 cawangan.

Keluarga Theo turut miliki Trader’s Joe, jenama pasar raya yang terkemuka di Amerika Syarikat.

Kini, keluarga Albrecht mencatatkan kekayaan bernilai US$ 48.4 bilion.

16. Keluarga Pritzker

AN Pritzker mula melabur dalam hartanah dan mengambil alih beberapa syarikat bermasalah ketika sedang bekerja dalam firma milik ayahnya.

Pelaburan tersebut membuahkan hasil dan mencetuskan aset bernilai tinggi termasuk Hyatt Hotel yang kini memiliki 1350 pusat penginapan mewah di 69 buah negara.

Ahli keluarga Pritzker juga banyak terlibat dalam bidang politik seperti Penny Pritzker yang bertugas sebagai setiausaha kewangan dan JB Pritzker sebagai gabenor Illinois.

Pada tahun 1953, Jay dan Robert Pritzker membeli Colson Corporation dan mengubahnya menjadi syarikat perindustrian Marmon Group.

Pada masa yang sama, keluarga ini turut memiliki Pritzker Organization dan Pritzker Private Capital.

Kini memasuki generasi keempat, keluarga Pritzker dilaporkan memiliki kekayaan bernilai US$46.5 bilion.

17. Keluarga Roche

Roche Holding iaitu sebuah syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Switzerland telah diasaskan oleh Fritz Hoffmann-La Roche pada tahun 1896.

Roche turut membeli paten bagi penghasilan vitamin C sintetik. Ini sekaligus membantu Roche Holdings untuk muncul sebagai pembekal supplemen kesihatan terkemuka di dunia.

Pada tahun 1991, Roche turut membeli hak paten bagi teknik ujian PCR yang kini digunakan secara meluas pada waktu pandemik Covid-19.

Warisnya mempunyai kawalan sebanyak 10% bagi syarikat tersebut. Ahli keluarganya iaitu Lukas Hoffman juga merupakan pengasas bersama bagi World Wildlife Fund (WWF).

Kini, keluarga Roche mencatatkan kekayaan bernilai US$44.8 bilion.

18. Keluarga Van Damme, De Spoelberch, De Mevius

 

Tiga keluarga pembuat minuman keras ini menjalinkan sejarah bersama sejak abad ke-14 lagi. Keluarga Van Damme menyertai kerjasama dengan keluarga De Spoelberch dan De Mevius pada 1987 secara rasmi sehingga mencetuskan Interbrew.

Syarikat ini akhirnya bergabung bersama AmBev pada tahun 2004. Kini bisnes yang dimiliki oleh tiga keluarga ini dikenali sebagai AB InBev.

Selain giat dalam pembuatan industri minuman beralkohol, keluarga ini juga telah melabur sebanyak US$428 juta untuk Patrinvest.

Ketiga-tiga keluarga ini mencatatkan nilai kekayaan terkumpul sebanyak US$43.5 bilion dan memegang lebih suku daripada pasaran global dalam industri minuman beralkohol.

19. Keluarga Hartono

Ooi Wie Gwan telah membeli sebuah perusahaan rokok kretek (rokok diperbuat daripada bunga cengkih) pada tahun 1950 dan menjenamakannya semula kepada Djarum.

Bisnes yang asalnya terdiri daripada 10 orang pekerja itu lama kelamaan telah berkembang kepada salah satu pengeluar rokok terbesar di Indonesia.

Setelah Ooi meninggal dunia pada 1963, bisnes tersebut telah diambil alih oleh dua anaknya iaitu Budi dan Michael. Dua beradik ini telah mengembangkan lagi bisnes keluarga dengan membina kerjasama dengan Farallon Capital bagi memiliki 51% saham di Bank Central Asia.

Saham tersebut jugalah yang menjadi punca kekayaan terbesar keluarga Hartono dengan nilai sebanyak US$42.1 bilion.

20. Keluarga Dassault

Ketika Perang Dunia Pertama, Marcel Dassault telah mencipta sebuah model kapal terbang dan telah digunakan oleh pasukan askar Perancis.

Menjelang 1960an, syarikat milik Marcel iaitu Dassault Aviation semakin dikenali ramai sehingga model kapal terbang dan jet mereka mendapat permintaan daripada luar negara.

Selain menghasilkan kapal terbang, Dassault Group yang diterajui oleh warisnya telah kembangkan bisnes dalam sektor media, perisian dan hartanah.

keluarga terkaya di dunia

Syarikat Dassault yang paling bernilai pada waktu ini adalah Dassault Systemes, iaitu syarikat teknologi yang menghasilkan rekaan bagi perisian 3D.

Pada masa yang sama, keluarga ini turut melabur dalam pelbagai aset dan hartanah menerusi satu lagi syarikat milik keluarga iaitu Groupe Industriel Marcel Dassault.

Kini memasuki pentadbiran oleh generasi keempat, keluarga Dassault mencatatkan hasil kekayaan bernilai US$39.2 bilion.

21. Keluarga Cox

Perniagaan keluarga Cox diasaskan oleh James M Cox pada 1898 dan kini diterajui oleh cicitnya iaitu Alex Taylor. Alex kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Keluarga Cox terkenal sebagai pemilik syarikat komunikasi dan automotif yang cukup terkenal di Amerika Syarikat.

Cox Communications merupakan syarikat jalur lebar terbesar di negara tersebut. Sementara itu, Cox Automotive pula mengendalikan lebih daripada 13 syarikat automotif termasuk AutoTrader dan Kelly Blue Book. Selain itu, keluarga ini juga giat melakukan pelaburan di luar syarikat menerusi Cox Family Office.

Kini, keluarga Cox mencatatkan jumlah kekayaan bernilai US$36 bilion.

22. Keluarga Mulliez

Keluarga terkaya di dunia pada tangga ke-22 adalah keluarga Mulliez yang cukup terkenal dalam sektor peruncitan. Bisnes keluarga mereka bermula daripada Auchan, iaitu sebuah pasar raya yang terkenal dengan gelaran Walmart Perancis. Ia telah diasaskan oleh Gerard Mulliez pada tahun 1961.

Auchan telah berkembang sebagai salah satu rangkaian pasar raya terbesar di Eropah. Syarikat milik keluarga iaitu Association Familiale Mulliez menguasai pelbagai bisnes peruncitan termasuk rangkaian kedai pembekal perkakas rumah iaitu Leroy Merlin.

Syarikat yang terdiri daripada 700 ahli keluarga ini mencatatkan kekayaan bernilai US$34.3 bilion.

23. Keluarga Ferrero

Michele Ferrero berjaya membangunkan sebuah syarikat konfeksionari coklat bertaraf global daripada sebuah kedai kecil yang terletak di kota Alba, Itali.

Antara jenama coklat dan gula-gula yang terkenal di bawah Ferrero adalah Ferrero Rocher, Kinder, Nutella dan Tic Tac.

Setelah anak Michele, Pietro meninggal dunia, perniagaan keluarga telah diambil alih oleh seorang lagi anaknya, Giovanni.

Pada tahun 2018, Ferrero telah membeli perniagaan manisan Nestle’s US dengan nilai US$ 2.8 bilion.

Dengan pasaran coklat dan gula-gula berjenama ikonik di 170 buah negara, kini keluarga Ferrero mencatatkan kekayaan bernilai US$33.5 bilion.

24. Keluarga Kwok

Ketika Hong Kong sedang membangun, Kwok Tak-Seng telah memulakan sebuah syarikat hartanah bernama Sun Hung Kai Properties. Menerusi syarikat tersebut, Kwok telah membeli beberapa bidang tanah di negara itu.

Disebabkan itu, Sun Hung Kai Properties berjaya muncul sebagai syarikat pembangun hartanah terbesar di Hong Kong dan sekaligus membuatkan keluarga Kwok dilimpahi dengan kekayaan.

Perniagaan keluarga ini diteruskan oleh anak-anak Kwok iaitu Walter, Thomas dan Raymond pada tahun 1990. Meskipun berhadapan dengan beberapa masalah dalaman syarikat, kekayaan keluarga ini utuh pada nilai US$32.5 bilion.

keluarga terkaya di dunia

25. Keluarga Duncan

Setelah menamatkan perkhidmatan sebagai tentera, Dan Duncan mula bekerja di syarikat lapangan minyak. Beliau akhirnya mengasaskan syarikat pemborong gas asli bernama Enterprise Products pada tahun 1968 dengan modal US$10,000 dan sebuah lori.

Syarikat ini kemudiannya mendapat perhatian umum pada 1998 dan kini menjadi antara syarikat pembekal tenaga terbesar di Amerika Syarikat.

Setelah Duncan meninggal dunia, Enterprise Products diteruskan oleh empat orang anaknya yang juga memiliki saham terbesar syarikat.

keluarga terkaya di dunia

Kebanyakan daripada bisnes ini memiliki jenama yang terkenal di mata dunia dan sudah berada di dalam industri selama puluhan tahun. Ada juga yang mampu bertahan selama lebih 100 tahun!

Kebanyakan bisnes berskala global milik keluarga jutawan ini sudah pun diambil alih oleh waris mereka.

Seperti keluarga Al Thani dan Al Nahyan, mereka turut mewarisi takhta pemerintahan negara.

Dengan kekuatan bisnes yang sedia ada kukuh dan permintaan tinggi secara global, bisnes ini juga mampu diterajui dengan baik sehinggakan keluarga terkaya di dunia bagi 2023 ini mampu menuai kekayaan mencecah bilion dollar.

Sumber : Bloomberg

Baca Juga : Miliki Kekayaan Sehingga US$120 Bilion, Ini 11 Waris Jutawan China Yang Bakal Terajui Bisnes Keluarga Bernilai US$1 Trillion

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top