Dalam menjalankan bisnes, ada harinya mungkin anda akan berasa tidak bersemangat dan mahu putus asa. Ia bukanlah satu perasaan yang asing kerana secara hakikatnya memang dunia perniagaan ini ada banyak cabarannya.
Selain merancang strategi bisnes yang lebih mantap, anda juga mungkin perlu betulkan semula mentaliti dan kembalikan semangat untuk terus bertahan dalam industri.
Salah satu contoh baik yang anda boleh ikuti adalah dengan melihat cara kerja orang Jepun. Bisnes mereka kebanyakannya mampu bertahan selama berpuluh dan ratusan tahun.
Daripada perniagaan kecil, mereka juga mampu membangunkan jenama yang gah seperti Nintendo, Yamaha dan Jusco sehingga terkenal di seluruh dunia.
Ini semua disebabkan oleh mentaliti serta motivasi mereka untuk kekal produktif dan lakukan tugas dengan kualiti terbaik.
Ayuh kita ikuti beberapa kelaziman yang orang Jepun sering amalkan dalam pengendalian bisnes sehari-harian.
6 Kelaziman Orang Jepun Untuk Kekal Produktif Dalam Menjalankan Bisnes
1. Ikigai (Tujuan Hidup)
Orang Jepun menanam mentaliti Ikigai supaya mereka dapat jalani setiap hari dengan penuh manfaat dan bersemangat.
Bukan sahaja popular di Jepun, malah konsep Ikigai telah membantu ramai orang mencari tujuan hidup yang sesuai dengan minat, bakat serta apa yang ingin tawarkan kepada orang sekeliling.
Tanamkan matlamat yang seiring dengan hala tuju bisnes dan jadikan ia sebagai motivasi untuk terus maju.
2. Teknik Pomodoro
Jangan tak tahu yang orang Jepun banyak menggunakan teknik pengurusan masa yang popular dari Itali iaitu Teknik Pomodoro.
Ia sangat sesuai untuk dipraktikkan oleh seseorang yang sukar untuk fokus ketika bekerja mahupun belajar. Caranya mudah sahaja.
Lakukan tugas selama 25 minit tanpa gangguan. Kemudian, berehat selama 5 minit dan ulangi langkah ini sehingga kerja anda selesai.
Ini merupakan satu kaedah yang baik untuk membantu anda selesaikan banyak perkara dalam waktu yang lebih pendek. Tanpa disedari, produktiviti anda juga akan lebih meningkat.
3. Hara Hachi
Selain prestasi di tempat kerja, pemakanan juga boleh memberi kesan kepada tahap produktviti seseorang.
Untuk mengembalikan tenaga tanpa rasa mengantuk atau malas, anda boleh amalkan pemakanan gaya Hara Hachi. Caranya ialah dengan berhenti makan setelah anda rasa 80 peratus kenyang.
Dengan kaedah ini, anda juga pasti lebih mudah untuk fokus dan teruskan kerja dengan lebih baik sehingga tamat waktu.
4. Shoshin
Memang tak dinafikan memang mudah untuk kita patah semangat apabila mengulangi rutin kerja yang sama setiap hari. Ingin tahu bagaimana orang Jepun kekalkan minat terhadap kerja mereka?
Apa yang mereka lakukan ialah melihat setiap tugas dan laksanakannya seperti seorang pemula atau beginner. Dengan mentaliti ini, anda akan rasa keterujaan untuk lakukan tugas seperti pertama kali bekerja.
5. Wabi-Sabi
Pemikiran Wabi-Sabi pula mendorong orang Jepun untuk terus berusaha walaupun hakikatnya sukar untuk mengejar kesempurnaan.
Daripada stres disebabkan masalah kecil, lebih baik lupakannya dan lakukan perkara lain yang lebih produktif mengikut skop kerja masing-masing.
6. Kaizen
Antara terma yang cukup popular dari negara matahari terbit, Kaizen adalah satu mindset yang mendorong orang Jepun supaya fokus pada peningkatan kecil setiap hari secara konsisten berbanding melakukan semua sekaligus.
Dengan kemajuan kecil setiap hari, ia mampu memberikan impak yang besar pada masa akan datang.
Dengan pemikiran yang positif serta cara kerja yang lebih baik, anda pasti mampu untuk mencapai hala tuju bisnes.
Untuk perbaiki tahap produktiviti dan kembalikan motivasi, anda juga boleh praktikkan kelaziman para usahawan Jepun seperti yang kami kongsikan.
Semoga ia bermanfaat dalam membantu anda mendapat rentak kerja yang lebih baik dan produktif pada masa akan datang.