Sejarah Syarikat Nintendo Dari Penjual Kad Permainan Kepada Nama Besar Dalam Industri Gaming
Bila sebut sahaja tentang Nintendo, pasti ramai yang akan mengingati karakter ikoniknya seperti Zelda, Super Mario dan Kirby. Nintendo juga menjadi antara jenama permainan video yang paling terkenal di dunia dan mempunyai tempat yang istimewa di hati penggemar video game.
Syarikat ini berada pada tahap kemuncaknya apabila memperkenalkan permainan konsol iaitu NES dan Famicom. Dua produk ini sekaligus menjadi pencetus bagi kegemilangan industri gaming console pada era 1980an.
Namun, dua konsol legend ini bukanlah produk pertama di Nintendo. Malah, ia syarikat tersebut sudah pun beroperasi sebelum wujudnya teknologi permainan video iaitu pada tahun 1889.
Jadi, bagaimana syarikat video game ini ditubuhkan dan mampu bertahan sehingga sekarang? Jom kita selami sejarah Nintendo yang cukup unik.
Nintendo Buka Bisnes Dengan Menjual Kad Tradisional
Pasti ramai yang tak tahu sebenarnya produk awal Nintendo ada kad permainan tradisional Jepun yang dinamakan Hanafuda.
Ketika itu, Jepun telah mengharamkan semua jenis permainan yang memiliki unsur perjudian. Pengasasnya iaitu Fusajiro Yamauchi melihat ini sebagai peluang untuk beliau mendominasi pasaran kad permainan. Oleh itu, beliau pun membuka sebuah syarikat yang dinamakan Nintendo Karuta di Kyoto, Jepun pada tahun 1889.
Setelah 40 tahun, Nintendo berjaya menjadi syarikat pengeluar kad tradisional terbesar di Jepun. Ini disebabkan oleh penghasilan produk dalam skala besar yang tidak dapat ditandingi oleh jenama lain pada ketika itu.
Meskipun teknologi semakin berkembang, namun Nintendo tetap mengekalkan tradisi kad Hanafuda dengan sentuhan moden sambil menyertakan karakter ikoniknya dari Super Mario Bros.
Namun, operasi Nintendo menemui jalan buntu ketika tercetusnya Perang Dunia ke-2. Seluruh sektor perniagaan lumpuh sehingga menyebabkan syarikat ini mengalami masalah kewangan.
Pada tahun 1949, syarikat Nintendo telah diterajui leh generasi ketiga dan menjadi syarikat pertama di Jepun yang menghasilkan kad permainan daripada plastik. Inovasi ini menjadikan jenama ini semakin dikenali ramai dan menjadi batu loncatan kepada Nintendo untuk melebarkan sayap ke pasaran luar negara.
Untuk menjadikan kad permainan tersebut lebih sesuai untuk seisi keluarga, jenama ini mula jalinkan kerjasama dengan Disney pada tahun 1952 untuk memasukkan karakter popular seperti Mickey Mouse dan Donald Duck ke dalam kad permainan.
Nintendo turut menerbitkan buku bagi menerangkan cara bermain kad Hanafuda. Usaha ini membuahkan hasil lumayan apabila kad bergambar karakter Disney berjaya terjual melebihi 1.5 juta pek di seluruh dunia.
Hanya pada tahun 1977, barulah Nintendo mula menceburi industri video game dengan pengeluaran produk konsol Color Game TV. Konsol pertama Nintendo ini mendapat sambutan yang cukup hangat sehingga berjaya terjual sebanyak 3 juta unit di Jepun sahaja. Ini sekaligus menjadikan Color Game TV sebagai konsel game generasi pertama yang paling berjaya.
Dengan kejayaan yang ditempa, Nintendo kemudian bertapak di pasaran global dengan membuka cawangan di New York, Amerika Syarikat.
Syarikat Nintendo Terselamat dari Krisis Video Game Crash
Meskipun menjadi trend yang popular pada ketika itu, industri video game berhadapan dengan krisis pada tahun 1983 hingga 1985. Tempoh yang digelar Video Game Crash ini turut menyaksikan keruntuhan sebuah jenama video game gergasi iaitu Atari gulung tikar.
Namun, Nintendo tidak teragak untuk memperkenalkan 2 produk video game yang menjadi penyelamat mereka dari tempoh gelap tersebut iaitu Mario Bros pada tahun 1985 dan The Legend of Zelda pada 1986.
Kedua-dua video game ini dan penjualan NES dan Famicom pada ketika itu berhasil mengangkat nama Nintendo sebagai syarikat perusahaan video game yang selamat dari krisis tersebut dan seterusnya mengembalikan semula trend permainan video dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Syarikat ini juga bijak memantau trend serta permintaan pelanggan yang sentiasa berubah mengikut zaman.
Seterusnya, Nintendo turut mempopularkan produk handheld console yang boleh dibawa ke mana-mana itu Game Boy pada tahun 1989. Produk yang mendominasi pasaran handheld console ini juga menjadi fenomena bagi generasi muda 90an dan menjadi antara produk permainan yang masih diingati sehingga ke hari ini.
Pada tahun 2017, Nintendo memperkenalkan produk video game yang mempunyai ciri klasik namun dengan elemen teknologi yang sukar untuk ditandingi iaitu Nintendo Switch.
Ia merupakan konsol permainan ketiga yang paling laris sepanjang zaman sehingga berjaya mengalahkan Sony Playstation 4 dan Nintendo Game Boy dengan mencatatkan jualan sebanyak 125.62 juta unit setakat ini.
Kini, nilai Nintendo dianggarkan US$95 billion (RM 383.65 billion) dan dikatakan sebagai syarikat ketiga yang paling besar di Jepun.