Kualiti motorsikal keluaran Yamaha tidak perlu disangkal lagi. Model seperti RXZ, 125Z dan Y15 menjadi pilihan ramai pengguna jalan raya sehingga mengatasi motorsikal berkuasa besar.
Di sebalik kepakaran Yamaha dalam menghasilkan motorsikal, ia juga merupakan jenama yang popular dalam penjualan alat muzik. Pasti ramai yang pelik mengapa jenama ini mampu menjual produk daripada dua industri yang berbeza? Sebenarnya, ia bersangkut paut dengan operasi awal jenama ini sebelum tahun 1900 lagi.
Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, ayuh kita semak sejarah penubuhan Yamaha.
Pengasas Yamaha Asalnya Juruteknik
Legasi Yamaha bermula apabila seorang juruteknik yang membaiki alat perubatan iaitu Torakusu Yamaha bersetuju untuk mengambil tugas membaiki alat muzik di sebuah sekolah rendah.
Dilahirkan pada tahun 1851, Torakusu telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu teknologi sejak masih kecil.
Meskipun tiada pengalaman untuk membaiki alatan muzik, namun ia tidak menghalang Torakusu untuk menyempurnakan tugasnya. Biarpun di luar bidangnya, pihak sekolah juga mempercayai kemampuan juruteknik ini. Tambahan pula, pihak sekolah sukar untuk mengupah juruteknik profesional kerana lokasi sekolah yang berada di kawasan pendalaman.
Pada awalnya, Torakusu berasa kekok dan sukar untuk melaksanakan tugas tersebut. Namun, beliau tidak berputus asa dan sanggup belajar mengendalikan alat muzik tersebut supaya ia dapat segera dibaiki.
Hanya dalam masa 4 bulan, Torakusu berjaya menguasai ilmu muzik dan akhirnya berjaya membaiki alat muzik di sekolah itu.
Daripada situ, beliau melihat potensi diri dan tidak menoleh belakang lagi. Pada tahun 1887, Torakusu menubuhkan syarikat Nippon Gakki untuk hasilkan alat muziknya sendiri.
13 tahun kemudian, usahawan ini mampu menghasilkan upright piano dan grand piano yang pertama di Jepun. Kejayaan luarbiasa yang diraih oleh Torakusu juga menjadikan beliau ikon kepada penduduk wilayah Hamamatsu, Shizouka.
Pengenalan alat muzik yang gah itu membuatkan nama Yamaha semakin terkenal di seluruh Jepun. Jenama ini juga ada potensi yang cerah untuk melebarkan empayar bisnes ke luar negara.
Legasi syarikat ini berpindah tangan ke Pengerusi syarikat Nippon Gakki iaitu Chiyomaru Amano setelah Torakusu meninggal dunia pada tahun 1916.
Keadaan ekonomi tidak mengizinkan apabila Perang Dunia Kedua melanda. Ini membuatkan syarikat Nippon Gakki terpaksa mengubah model perniagaan mereka kepada penghasilan peralatan ketenteraan demi membantu tentera imperial Jepun pada ketika itu.
Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, Nippon Gakki sekali lagi menukar model perniagaan dan beralih kepada jualan motorsikal kelengkapan permotoran di bawah syarikat Yamaha.
Tambahan pula, Jepun yang ingin bangkit dari peperangan pada ketika itu memerlukan pengangkutan yang lebih ringkas dan berpatutan. Model motorsikal pertama Yamaha, YA-1 yang juga popular dengan gelaran Red Dragonfly mendapat sambutan yang cukup hangat pada waktu itu.
Dengan tertubuhnya syarikat tersebut, ia segera memenangi hati pengguna di kawasan Asia Tenggara. Tidak meninggalkan penghasilan alat muzik, syarikat ini juga menguasai pasaran dunia melalui produk lain seperti bot motor, ATV, snowmobiles dan enjin kereta.
Dalam masa yang sama, sumbangan Torakusu juga menjadikan Jepun sebagai pengeksport terbesar piano selepas Perang Dunia Kedua. Atas permintaan yang tinggi, jumlah eksport piano pada tahun 1953 meningkat sehingga 10 kali ganda.
Pada tahun 1969, Jepun menjadi antara negara penghasil piano terbesar di dunia mengalahkan Amerika Syarikat.
Sehingga ke hari ini, nama Yamaha masih mekar dalam kedua-dua industri dan kekal di hati penggemar alat muzik dan motorsikal berkualiti tinggi.
Berdasarkan kisah penubuhan Yamaha ini, dapatlah kita simpulkan bahawa keinginan untuk belajar perkara baru mampu membuka peluang yang tidak diduga kepada seseorang. Sekiranya Torakusu Yamaha cepat putus asa ketika membaiki alat muzik dahulu, pasti syarikat Yamaha yang kita kenali hari ini tidak akan wujud.
Sumber :hammatsu-books,jp, margaretmehl.com
Baca Juga : Dari Thailand ke Austria dan Seluruh Dunia, Ini Kisah Jenama Red Bull Yang Ramai Tak Tahu