AEON adalah antara rangkaian pusat membeli belah yang agak popular di Malaysia. Ia juga sering dijumpai di sekitar bandar-bandar utama dengan lokasi yang strategik.

Selain menjadi pilihan para ibu untuk mendapatkan barangan segar, Aeon juga sering menjadi tumpuan ramai pelanggan tanpa mengira usia. Popular sebagai pusat membeli belah yang padat dengan aneka restoran dan kedai pelbagai jenama, terdapat juga sesetengah cawangan AEON yang turut mempunyai panggung wayang dan pusat arked permainan.

Di sebalik kegemilangan jenama AEON, anda pasti tak sangka yang pusat membeli belah ini bermula sebagai kedai kimono sahaja! Bagaimana ia boleh berkembang menjadi pasar raya membeli belah yang dikenali di seluruh dunia?

AEON

AEON Bermula Dari Kedai Menjual Kimono

Segalanya bermula lebih 250 tahun lalu atau lebih tepat lagi pada tahun 1758 oleh seorang usahawan dari Jepun yang bernama Sozameon Okada. Beliau telah mengasaskan syarikat Okadaya Co., Ltd untuk menjual kimono.

Atas kepercayaan pelanggan, bisnes ini dapat bertahan selama beberapa generasi sehingga pasca Perang Dunia Kedua.

AEON

Sumber : AEON Vietnam

 

Selepas berakhirnya perang, pewaris syarikat Okadaya iaitu Takuya Okada telah membangunkan kembali bisnes ini. Dibantu oleh 5 orang pekerja, perniagaan ini bermula semula dari sebuah bangunan kecil.

Berkat kegigihan Takuya, syarikat ini berjaya berkembang dengan memiliki 14 buah premis di seluruh Jepun. Ketika itu, Takuya merasakan bahawa syarikatnya tidak boleh bergantung kepada jualan kimono dan tekstil semata-mata.

Untuk bawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi, beliau perlu kembangkan bisnes tersebut ke seluruh Jepun.

Antara langkah awal yang diambil oleh Takuya ialah bergabung dengan Futagi Co., Ltd iaitu sebuah syarikat pakaian terpakai. Pemilik Futagi Co., Ltd iaitu Kazuichi Futagi menyambut baik gabungan ini.

Akhirnya ia turut menarik gabungan satu lagi syarikat iaitu Shiro Co., Ltd. Gabungan ketiga-tiga syarikat ini bersatu untuk menjadi gergasi yang besar. Maka terhasillah sebuah syarikat baharu iaitu Japan United Stores Company atau singkatannya JUSCO.

JUSCO Tembus Pasaran Antarabangsa

JUSCO mula meneroka pasaran baharu dengan fokus kepada perniagaan runcit. Bisnes ini membuahkan hasil namun terhalang akibat krisis ekonomi yang berlaku pada 1970an. Posisi JUSCO ketika itu juga semakin lemah apabila Japanese National Assembly memperkenalkan Large-Scale Retail Law sehingga menjejaskan perkembangan dalaman syarikat.

Namun, masalah ini dapat diatasi dan membolehkan JUSCO memiliki banyak rangkaian kedai tempatan di sekitar Jepun.

JUSCO akhirnya berjaya menembus pasaran antarabangsa apabila mereka berjaya membentuk Miwon Fishery Co., Ltd di Korea Selatan hasil gabungan dengan syarikat dari negara tersebut pada 1973.

Pada tahun berikutnya, JUSCO berpeluang untuk meluaskan lagi empayar ke Australia dan Brazil.

Menjelang tahun 1980an, JUSCO gigih untuk membuka lebih banyak pasar raya meskipun mendapat tantangan daripada pihak pemerintah. Bagi mengatasi perkara ini, JUSCO telah membangunkan rangkaian kedai runcit bagi memanipulasi undang-undang seperti Nihon Direct, Big Barn, Blue Grass, Nishiki dan Mini Stop. Selain itu, JUSCO juga berkesempatan untuk membuka restoran sendiri iaitu Gourmet D’Or Co., Ltd.

Dalam naskhah Financial Times 1988, JUSCO disebut sebagai salah satu peruncit dengan visi terbaik untuk menembus pasaran antarabangsa.

Mula Bertapak di Malaysia

AEON

JUSCO telah memilih Malaysia untuk membuka pasar raya luar negaranya pada tahun 1985. Ia telah beroperasi di di bawah Jaya JUSCO Stores Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang pada asalnya dimiliki oleh Cold Storage (Malaysia) dan tiga lagi syarikat tempatan.

Ini sekaligus menjadikan JUSCO sebagai syarikat Jepun pertama yang bergabung dengan syarikat tempatan dalam industri peruncitan negara. JUSCO mengambil alih semula kawalan operasi Jaya JUSCO pada tahun 1988.

Pada tahun 1989, JUSCO Group menyambut ulang tahun mereka yang ke-20 dengan identiti korporat yang baharu. Sementara syarikat induk mereka masih digelar sebagai JUSCO namun JUSCO Group telah diubah nama sebagai AEON Group.

Nama syarikat JUSCO yang bertapak di Malaysia diubah secara rasmi kepada AEON Co. (M) Bhd pada tahun 2004. Hanya pada tahun 2012 syarikat ini rebrand semula semua pasar raya mereka di Malaysia kepada AEON.

Rebranding ini tidak hanya terhad kepada pasar raya dan pusat membeli-belahnya sahaja, malah ia turut melibatkan organisasi lain yang beropasi di bawah Jaya JUSCO. Ini termasuk AEON BiG (M) Sdn Bhd, AEON Credit Service (M) Bhd, AEON Delight Sdn Bhd, AEON Fantasy (M) Sdn Bhd, AEON TopValu (M) Sdn Bhd, AEON Global Supply Chain Sdn Bhd, dan AEON Malaysia Foundation.

AEON

AEON Ambil Alih Carrefour

Pada tahun 2012, AEON Co. Ltd iaitu syarikat induknya yang terletak di Jepun juga telah mengambil alih rangkaian pusat membeli belah Carrefour yang bertapak di Malaysia. Pengambilalihan ini secara automatik telah melonjakkan kedudukan syarikat ini sebagai peruncit kedua terbesar di Malaysia.

Dengan pengambilalihan ini, maka terlahirlah AEON BiG Malaysia.

Sehingga ke hari ini, terdapat kira-kira 35 pasar raya dan 28 pusat membeli belah milik AEON di Malaysia. Berdasarkan laman rasmi mereka, kini terdapat 21 buah AEON BiG, 8 AEON MaxValu, 62 AEON Wellness dan 42 cawangan Daiso di serata Malaysia.

Setelah bertapak selama hampir 40 tahun di Malaysia, jenama pasar raya terkemuka ini kekal sebagai antara destinasi utama warga tempatan untuk mendapatkan produk harian dan membeli-belah bersama rakan dan keluarga.

Walaupun sudah melalui fasa rebrand lebih 10 tahun lalu, namun masih ramai yang menggelar pasar raya ini sebagai JUSCO atau JJ kerana sudah terbiasa sejak dahulu. Ini juga menjadi antara tanda betapa sebatinya jenama pasar raya ini di hati rakyat Malaysia.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top