Personaliti media sosial dan usahawan popular, Khairul Aming sering menjadi sebutan pengguna media sosial.

Tidak hanya terkenal dengan kandungan video memasak di media sosial, malah beliau juga berjaya membangunkan jenama sendiri menerusi jualan Sambal Nyet.

Terbaharu, Khairul Aming berjaya mengukuhkan lagi reputasi apabila berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi ‘nilai jualan RM 1 juta terpantas menerusi penstriman langsung TikTok Shop’.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi majlis pelancaran dan jualan produk terbaharunya iaitu Dendeng Nyet Berapi yang berjaya terjual sebanyak 80,000 pek hanya dalam masa 3 minit 28 saat.

khairul aming

Usahawan yang berasal dari Kelantan itu berkata kejayaan tersebut tidak diraih dalam waktu yang singkat. Sebaliknya, ia datang dengan usaha dan pengorbanan pada tempoh yang lama.

“Bila saya dapat tahu daripada TikTok Shop yang kejayaan kami menjual 80,000 dendeng adalah terpantas di TikTok Shop Malaysia dan sekaligus mendapat penghargaan Malaysia Book of Records, ia sebenarnya satu pencapaian yang luar biasa.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak dengan kemenangan ini. Ini hasil berkat usaha pasukan dan komuniti yang tanpa lelah menyokong saya,” katanya ketika menerima penghargaan Malaysia Book of Records di Central Market pada 23 Mac lalu.

Selain mencatatkan RM 1 juta terpantas, Khairul Aming turut berjaya memecahkan tiga lagi rekod pada majlis pelancaran Dendeng Nyet Berapi iaitu peak views tertinggi di Malaysia iaitu 222,800 tontonan dalam satu-satu masa, tontonan keseluruhan tertinggi iaitu seramai 3.4 juta dan click-through rate (CTR) tertinggi iaitu lebih daripada 400 peratus.

Keempat-empat rekod ini juga adalah yang tertinggi dalam sejarah TikTok Shop Malaysia sehingga ke hari ini.

Menurut Khairul, kejayaan ini tidak akan menjadi tanda noktah bagi kerjayanya dalam bidang keusahawanan mahupun sebagai seorang content creator.

Sebaliknya, beliau mempunyai rancangan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Selepas ini, kita dalam fasa untuk kembangkan lagi produksi kilang dengan harapan kita boleh tambah kilang yang ketiga khususnya untuk Dendeng Nyet Berapi.

Pada masa yang sama, Khairul turut memaklumkan bahawa beliau akan melancarkan siri content travelling selepas Hari Raya.

“Kita juga ada siri baru yang nak dilancarkan selepas Raya dimana kita akan berpindah ke content travelling pula dan itu belum kita umumkan kepada orang ramai lagi, jadi ini adalah rahsia.

Dalam pada itu, Khairul berharap kejayaannya ini dapat dijadikan contoh kepada para peniaga di luar sana untuk terus berusaha dalam bisnes masing-masing.

Sumber : Astro Awani, Sinar Harian

Baca Juga :  Ilmu dan Skill Itu Penting! Khairul Aming Kongsi Rahsia Nak Jadi Content Creator Berkualiti

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top