Adakah anda salah seorang pelanggan yang sangat menggemari kepuasan apabila dapat siapkan sesuatu produk yang perlu dipasang seperti perabot IKEA atau set mainan Lego?
Jika ya, ini bermakna anda sudah terjebak dengan satu strategi perniagaan yang dinamakan IKEA Effect. Kalau nak tahu, strategi ini merupakan salah satu kunci kejayaan bagi jenama IKEA sehingga membuatkan ia sukar ditandingi oleh jenama perabot lain.
Mungkin anda menyangka yang proses pemasangan perabot boleh menyusahkan pelanggan dan membuat mereka rasa terbeban. Namun, sebaliknya yang berlaku pada jenama IKEA. Rata-rata pelanggan tidak kisah malah lebih gemar untuk libatkan diri dalam penghasilan perabot untuk digunakan di kediaman mereka.
Jadi, apa itu IKEA Effect dan bagaimana ia mampu mempengaruhi gelagat pelanggan? Kalau nak tahu, ayuh kita kenalinya dengan lebih lanjut.
Apa Itu IKEA Effect?
IKEA Effect adalah salah satu pengaruh psikologi yang boleh membuatkan seseorang meletakkan nilai yang tinggi kepada barangan yang mereka cipta atau hasilkan sendiri.
Nilai ini membuatkan pengguna lebih menghargai produk IKEA kerana mereka rasa telah memainkan peranan yang penting apabila menghasilkan produk dengan tangan sendiri.
Ini juga akan mendorong mereka untuk ulangi rasa puas itu dengan membeli lagi produk IKEA pada masa akan datang.
Sebuah kajian mendapati pengguna bersedia untuk membelanjakan sehingga 63 peratus untuk membeli perabot IKEA yang mereka perlu pasang sendiri berbanding perabot IKEA yang sudah siap dipasang.
Pada tahun 2022, IKEA juga mampu mencapai hasil jualan runcit sebanyak US$47.3 bilion dan sekaligus membuktikan reputasi mereka sebagai jenama perabot terunggul di dunia.
Bagaimana IKEA menerapkan IKEA Effect Untuk Tarik Pembelian Pengguna?
i) Membuat Produk Yang Mudah Dipasang
Sekiranya anda berjalan-jalan dalam premis IKEA, anda sendiri rasa mustahil untuk memasang perabot-perabot besar yang ditampilkan. Namun, IKEA telah membuat semua produk mereka supaya mudah dipasang. Ia turut didatangkan dengan panduan yang mudah difahami.
Ramai pelanggan yang sangat berpuas hati kerana proses pemasangan tidak serumit yang disangka dan jarang mengecewakan.
ii) Tawarkan Pengalaman Berbelanja Yang Interaktif
Untuk meningkatkan IKEA Effect, jenama ini turut menawarkan pengalaman berbelanja yang lain daripada yang lain. Ketika mengunjungi premis IKEA, pelanggan bebas untuk melihat dan menyentuh barangan sebelum membeli.
Sesetengah perabot seperti kerusi dan meja makan pula boleh dicuba terlebih dahulu di ruangan pameran.
Jenama Lain Yang Menerapkan IKEA Effect
Tidak hanya IKEA, malah strategi IKEA Effect turut diguna pakai oleh banyak jenama popular lain untuk menarik pembelian pelanggan.
- Lego – Pengguna bebas untuk merangka permainan sendiri menggunakan bongkah plastik berwarna-warni.
- Minecraft – Pemain boleh membangunkan pelbagai struktur dan karakter daripada blok dalam dunia maya mereka sendiri.
- Starbucks – Pelanggan dapat menyesuaikan saiz dan kandungan dalam minuman mereka seperti pemilihan kopi, susu dan topping.
Jadi, jelaslah di sini yang strategi unik daripada IKEA ini dapat dimanfaatkan oleh semua bisnes bagi meningkatkan jualan serta kepuasan pelanggan.
Sekiranya sesuai dengan bisnes, anda juga boleh tawarkan produk atau perkhidmatan yang boleh melibatkan pelanggan dalam proses penghasilan. Sebagai contoh, anda boleh tawarkan produk mix and match atau pakej perkhidmatan yang sesuai dengan permintaan pelanggan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk membantu anda menarik lebih ramai pelanggan. Selamat mencuba!