IKEA atau sering disebut sebagai ‘Disneyland untuk dewasa’ ialah tempat yang sesuai untuk membeli kelengkapan perabot yang bergaya dan dengan rekaan terkini.
Walaupun produknya boleh dikatakan mampu milik, tetapi kualitinya sangat baik dan diminati oleh orang ramai. Malah, IKEA juga terkenal dengan sistem penjualannya yang berbeza dari yang lain.
Adakah anda pernah merasakan keperluan untuk membeli lebih banyak daripada yang anda perlukan ketika melawat IKEA?
Ini adalah disebabkan oleh strategi pemasaran IKEA yang bijak dalam menawan hati pelanggannya dan sekaligus menjadikan jenama ini popular seantero dunia.
Bagi mengupas perkara ini, ayuh kita lihat 10 kaedah bijak IKEA dalam memenangi hati pelanggan seperti yang dikongsikan oleh Richard Ker, seorang pemilik syarikat pemasaran digital.
10 Strategi Pintar IKEA Dalam Menawan Hati Pelanggan
1. Alihkan Perhatian Anak-Anak Anda Di Småland
Setibanya di IKEA, ibu bapa boleh meninggalkan anak-anak mereka di fasiliti mesra kanak-kanak yang dinamakan Småland.
Dengan adanya kemudahan ini, ia dapat memberi ibu bapa lebih banyak masa untuk membeli belah. Anak-anak pula boleh nikmati masa yang lebih menyeronokkan dengan bermain bersama rakan sebaya.
2. Tiada Sinaran Matahari
Strategi IKEA menggunakan helah dari kasino yang mana bangunan mereka tiada sinaran matahari yang dapat masuk.
Mengambil inspirasi daripada pembinaan kasino, IKEA juga sengaja membina bangunan mereka supaya terlindung daripada cahaya matahari. Pelanggan mungkin akan temui beberapa tingkap namun, ia tertutup rapat sehingga tidak dapat ditembus sinaran matahari.
Jika anda perasan, jam dinding yang tergantung di IKEA semuanya tidak hidup atau menunjukkan waktu yang salah. Kalau nak tahu, strategi ini adalah taktik IKEA untuk membuatkan pelanggan tidak sedar waktu yang telah mereka habiskan di situ. Secara tidak langsung, ini akan membuatkan mereka tidak tergesa-gesa dan membeli lebih banyak barang setiap kali berkunjung ke IKEA.
3. Pensel Dan Kertas IKEA
Untuk memudahkan pelanggan menyenaraikan senarai beli-belah, IKEA turut menyediakan pensel dan kertas di sekitar kedai.
Bagi mendapatkan saiz perabot yang tepat, kedai perabot ini juga menyediakan pita pengukur kepada pelanggan.
4. Maze Layout
Mungkin ramai pelanggan yang tak perasan bahawa susun atur dengan gaya maze di IKEA direka supaya pelanggan hanya boleh bergerak ke satu arah sahaja.
Walaupun ada beberapa jalan pintas di serata kedai, namun susun atur sebegini dapat mendorong pelanggan untuk berjalan dari awal hingga ke penghujung.
Selain itu, susun atur maze ini juga akan membuatkan pelanggan rasa rugi untuk tidak mengambil barangan yang mereka nampak pada ketika itu. Mana tidaknya, jika mereka tidak ambil sekarang, maka mereka tak akan jumpai lagi barangan tersebut di seksyen lain!
Strategi ini sangatlah bijak dan luar biasa kerana cara ini dapat mendorong IKEA dalam menawarkan semua perabot dan aksesori yang ada kepada pelanggan tanpa tertinggal satu pun!
5. Anak Panah di Atas Lantai
Untuk melengkapkan susun atur maze itu, IKEA juga meletakkan anak panah sebagai panduan agar pelanggan tidak terpinga-pinga ketika meneruskan perjalanan dalam premis. Pelanggan hanya perlu ikut sahaja anak panah yang disediakan sahaja, tak perlu risau kalau tersesat!
6. Pembelian Tanpa Dirancang
Selain daripada susun atur yang bijak, IKEA juga meletakkan barang-barang kecil di sekeliling kedai dan perabot untuk upsell produk mereka. Antara barang-barang yang diletakkan di sekitar kedai ialah aksesori yang berkaitan dengan perabot seperti cadar di sebelah katil, lilin di atas meja, balang kaca di bahagian dapur dan bantal di sebelah sofa.
7. Lokasi Kedai
Selain itu, lokasi bagi setiap cawangan IKEA juga memainkan peranan yang penting dalam menarik pelanggan. Kalau anda perasan, IKEA tidak memilih lokasi di tengah-tengah bandar, malah mereka lebih gemar untuk beroperasi di kawasan yang agak jauh dari bandar utama.
Ini membuatkan orang ramai rasa tidak terbeban untuk menuju ke IKEA kerana lokasinya yang tidak terlalu sesak.
8. Kesan Meatball IKEA
Walaupun IKEA merupakan jenama perabot popular, namun makanan yang mereka tawarkan juga cukup ikonik dan sentiasa mendapat kunjungan orang ramai.
Berdasarkan company research, 30% pembeli yang mengunjungi IKEA hanyalah untuk membeli makanan. IKEA telah menghasilkan sebanyak RM 997 472 000.00 (US$2.24 billion) hanya dengan menjual makanan sahaja.
Ada juga pelanggan yang datang ke IKEA semata-mata untuk menikmati swedish meatball yang menjadi trademark jenama ini. Bukannya datang untuk beli parabot pun!
Di samping itu, lokasi restorannya yang terletak berdekatan dengan kaunter juga memainkan peranan dalam mengajak pelanggan berehat dan nikmati makanan ringan serta aiskrim selepas penat membeli-belah.
9. Pembayaran Keluar
Strategi lain yang diamalkan oleh IKEA untuk menggalakkan pembelian pelanggan ialah dengan meletakkan barang-barang kecil di sekitar kaunter pembayaran. Sambil menunggu giliran, pelanggan pasti akan tergoda untuk melihat barangan berdekatan mereka. Secara tidak langsung, ini akan mendorong mereka untuk menambah lagi pembelian sebelum membuat pembayaran.
10. Konsep pemasangan sendiri
Akhirnya, strategi yang menawan hati pembeli ialah konsep pemasangan sendiri yang tidak asing lagi bagi jenama ini. Konsep unik ini diperkenalkan bagi mencetus rasa bangga terhadap diri pelanggan kerana berjaya memasang sendiri barangan yang dibeli dan menyempurnakan dekorasi di kediaman masing-masing.
Walaupun tak semua perabot mudah untuk dipasang, namun pencapaian dalam menyiapkan pemasangan perabot sendiri di rumah wajar untuk diraikan dan dikongsi di media sosial!
Memang tak dinafikan, strategi-strategi yang mereka tawarkan ini juga menjadikan IKEA sebagai jenama yang sentiasa menjadi pilihan pengguna dalam mendapatkan perabot serta hiasan dalaman rumah.
Dari penyusunan barangan sehinggalah ke lokasi IKEA sendiri, semuanya memainkan peranan dalam meningkatkan pembelian dan menarik lebih ramai pelanggan.
Dengan menerapkan 10 strategi pintar ini, IKEA dapat mendorong pengalaman pembelian yang menarik kepada setiap pengunjung. Pelanggan juga tidak kisah untuk berbelanja secara berlebihan apabila berkunjung ke cawangan IKEA.
Sumber: Twitter @richardker