Minecraft adalah salah satu permainan video telefon pintar yang unik dan mampu mencabar kreativiti para pemain. Ia juga menjadi permainan video yang cukup popular di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan remaja.

Pada masa yang sama, ia turut digunakan sebagai bahan bantu mengajar menerusi Minecraft Education.

Sinonim dengan grafik ringkas dan karakter serta objek berbentuk petak, permainan video milik syarikat terkemuka iaitu Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan pencapaian mereka menjual lebih 300 juta salinan dan sekaligus menjadikan permainan ini sebagai yang paling popular di dunia pada waktu ini.

Menurut laporan daripada BBC, Minecraft merupakan jenama permainan video pertama yang berjaya mencatatkan hasil jualan pada angkat tersebut.

Atas sambutan yang cukup hangat, beberapa variasi bagi permainan ini juga diwujudkan antaranya Minecraft Earth, Minecraft Dungeons dan Minecraft Legends.

Sekiranya dibandingkan dengan permainan video Grand Theft Auto V yang menduduki tangga kedua, ia masih jauh ketinggalan dengan rekod jualan sebanyak 185 juta salinan. Sementara itu, Tetris (EA) pula mengungguli tempat ketiga dengan rekod jualan sebanyak 100 juta salinan.

Meskipun telah berada hampir 15 tahun di pasaran, pihak Mine Craft juga sangat giat untuk menambah pelbagai ciri-ciri menarik dan fungsi baharu pada permainan tersebut. Sebelum dilancarkan secara rasmi pada tahun 2011, ia telah pun melalui fasa ujian selama 2 tahun dalam bentuk beta. Ketika itu, Microsoft telah membeli permainan video ini dengan harga US$2.5 bilion.

Dalam permainan ini, pemain boleh meneroka dan membangunkan dunia maya sendiri. Pelbagai aktiviti menarik menanti pemain antaranya melombong permata, menghasilkan pelbagai item dan membina struktur sendiri.

Pada masa yang sama, pemain juga boleh alami permainan ini dalam pelbagai tetapan iaitu Survival Mode dan Adventure Mode.

Minecraft

Tak seperti permainan video game lain, Mine Craft tiada sistem atau hala tuju yang jelas. Sebaliknya, ia memberi peluang kepada pemain untuk bermain mengikut kreativiti masing-masing. Ia juga boleh dimainkan secara individu atau beramai-ramai secara atas talian.

Lebih menarik lagi, permainan ini bukan sahaja boleh dimainkan di telefon bimbit, malah ia juga boleh dimainkan di PC dan pelbagai jenama permainan video konsol.

Kebebasan ini jugalah menjadi antara kunci utama mengapa permainan ini menjadi cukup popular dan mampu mencatatkan 93 juta pemain aktif bulanan pada tahun 2021.

Permainan ini mencatatkan jumlah pemain aktif paling ramai pada tahun 2020 iaitu ketika dunia dilanda pandemik.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top