Jenama perkakas rumah pilihan rakyat Malaysia, MR DIY Group (M) Berhad [MR D.I.Y] telah dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik (Peruncit Perkakas Rumah) Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2023 atas sumbangan besar syarikat tersebut terhadap inisiatif komuniti, alam sekitar dan tempat kerja.

Dianjurkan oleh CSR Malaysia, inisiatif yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Amal Tanggungjawab dan Kemapanan dan Korporat Malaysia ini bertujuan bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang syarikat korporat di Malaysia dalam peranan mereka sebagai pemacu transformasi sosioekonomi dan alam sekitar Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri dan turut diiringi oleh Pengerusi CSR Malaysia, Dato’ R. Rajendran, Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan MR D.I.Y, Henry Woon, dan Pengerusi Bersama dan Pengarang Urusan CSR Malaysia, Lee Seng Chee.

MR D.I.Y

Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Dato’ Azlam Shah Alias ketika mengulas mengenai penerimaan anugerah itu berkata, “Di MR D.I.Y. kami percaya dengan kuasa amalan perniagaan yang bertanggungjawab dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua.

Pengiktirafan ini menjadi bukti kepada komitmen kami dalam memacu perubahan positif dalam komuniti di sekeliling kami, memupuk alam sekitar yang lebih lestari, dan menyenggara tempat kerja yang menyokong dan inklusif. Kami mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan panel juri atas pengiktirafan ini.”

55 syarikat dan 6 personaliti cemerlang telah diiktiraf dalam 61 kategori, dan MR D.I.Y. merupakan pemenang tunggal Syarikat Terbaik [Peruncit Perkakas Rumah] atas sumbangan besarnya dalam kategori inisiatif komuniti, alam sekitar, dan tempat kerja.

Ini merupakan pengiktirafan pertama dalam bidang Kelestarian dan CSR yang diterima oleh Kumpulan MR D.I.Y. daripada CSR Malaysia.

Pada tahun 2021, kumpulan itu telah disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan menerima anugerah kelestarian sebagai Pendatang Baru Terbaik dalam kategori Ekuiti semasa Anugerah The Edge ESG pertama pada tahun 2022.

Di samping itu, pada tahun 2023, peruncit tersebut turut diberi penghormatan dengan Anugerah Kecemerlangan oleh Universiti Malaya sebagai Rakan Kongsi Cemerlang 2022. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sokongan dan sumbangan berterusan MR D.I.Y. kepada universiti dan komuniti di sekelilingnya.

Sumber : sinarharian.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top