Syarikat IKEA terkenal dengan jualan perabot dan hiasan dalaman yang ringkas dan serba moden. Selain terkenal sebagai jenama yang memerlukan pelanggan memasang sendiri perabot yang dibeli, IKEA juga kian popular dengan hidangan ikoniknya iaitu bebola daging.

Syarikat yang berasal dari Sweden ini sudah beroperasi sejak tahun 1943 dan kini menjadi syarikat perabot terbesar di dunia. Di Malaysia, terdapat 4 buah cawangan IKEA yang sentiasa padat dengan pengunjung dan ia merupakan sebahagian daripada 460 buah cawangan di seluruh dunia.

Katalog IKEA yang diterbitkan sejak 2009 pula telah diterjemah kepada lebih 20 bahasa untuk bacaan pelanggan dari 61 buah negara.

Di sebalik kejayaan IKEA ini, pasti ramai yang tidak tahu asal usul jenama popular ini. Oleh itu, ayuh kita semak serba sedikit fakta mengenai sejarah penubuhan syarikat IKEA.

Syarikat IKEA

Syarikat IKEA Asalnya Tak Menjual Perabot

IKEA diasaskan oleh Ingvar Kamprad yang berasal dari Sweden. Ketika beliau berusia 17 tahun, bapanya telah memberikan sejumlah wang sebagai hadiah sempena tamat pelajaran.

Beliau telah menggunakan wang tersebut untuk membeli barang-barang dalam pukal untuk dijual semula.

Dengan membeli barangan dalam kuantiti yang banyak, Ingvar dapat menjana keuntungan dengan pantas. Jualannya pula mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.

Pada peringkat awal, antara barangan yang dijual adalah stokin, dompet, pen, kad ucapan dan macam-macam lagi. Hanya selepas 5 tahun, barulah bisnes Ingvar mula menjual perabot. Dari situ, maka lahirlah IKEA.

Mungkin ramai yang menganggap IKEA adalah sebuah perkataan dalam bahasa Sweden. Sebaliknya, ia adalah hasil gabungan akronim nama pengaasasnya iaitu I dan K (Ingvar Kamprad), E (Elmtaryd iaitu nama kawasan ladang beliau membesar) dan A (Agunnaryd iaitu bandar lokasi ladang tersebut).

 Konsep Idea Perabot Pasang Siap

Antara ciri unik yang membezakan IKEA dengan syarikat perabot lain adalah kebanyakan perabot-perabot yang dijual adalah jenis pasang siap atau perlu dipasang sendiri oleh pelanggan.

Idea ini bermula apabila salah seorang pekerja IKEA menghadapi kesukaran untuk memuatkan meja kayu yang dibeli ke dalam bonet keretanya.

Tanpa berfikir panjang, beliau mengambil keputusan untuk membuka keempat-empat kaki meja tersebut. Dengan cara ini, ia berjaya dimasukkan ke dalam kereta dengan lebih mudah.

Beliau kemudiannya memaklumkan masalah tersebut dan kaedah penyelesaiannya kepada IKEA. Hasilnya, konsep tersebut telah digunakan secara rasmi oleh IKEA bermula tahun 1956.

Nama Produk-Produk IKEA Yang Unik

Pasti ramai tak tahu yang sebenarnya pengasas IKEA, Ingvar Kamprad adalah seorang dyslexia. Oleh itu, setiap produk yang dijual di IKEA mestilah dinamakan berdasarkan sesuatu perkara supaya mudah diingat. Sebagai contoh, karpet diberi nama berdasarkan bandar-bandar di Denmark atau Sweden.

Nama produk kelengkapan tandas pula diambil daripada nama-nama tasik atau sungai.

Syarikat IKEA

 

 

Ketika Ingvar Kamprad meninggal dunia pada Januari 2018, nilai kekayaannya dianggarkan berjumlah $42.5 billion.

Sepanjang hayatnya, Ingvar dikenali sebagai orang yang tidak suka berbelanja boros. Sebaliknya, beliau setia menggunakan kereta Volvo yang berharga belasan ribu dolar dan tidak kisah membeli baju dari pasar. Walaupun sudah meninggal dunia, namun legasi IKEA kekal mekar sebagai syarikat perabot paling terkenal di lebih 60 buah negara.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top