Usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Walaupun kita dapati ramai usahawan mempunyai gaya hidup yang mewah, sebenarnya mereka telah melalui pelbagai cabaran sebelum berjaya ke tahap sekarang.

Antara negeri yang banyak melahirkan usahawan berjaya adalah Kelantan. Mereka bukan sahaja mampu membina empayar bisnes sendiri, malah turut memberikan impak besar kepada ekonomi tempatan.

Ayuh kita ikuti kisah menarik daripada 7 orang usahawan yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

7 Usahawan dari Kelantan Yang Berjaya Membangunkan Empayar Bisnes

1. Dato’ Seri Vida

Berasal dari Machang, Kelantan, Dato’ Seri Vida terkenal dengan perwatakan yang ceria dan penampilan yang mewah.

Ramai yang kenali wanita ini sebagai seorang usahawan dengan gaya hidup mewah, namun ramai yang tidak tahu Dato’ Seri Vida sebelum ini pernah melakukan pelbagai kerja seperti menjual pokok bonsai, bekerja di restoran makanan segera dan pernah berkhidmat sebagai seorang guru.

Ketika bekerja sebagai guru, Dato’ Seri Vida mendapat ilham untuk mengeluarkan produk pencuci muka jenama sendiri sehingga terlahirnya Vida Beauty.

Namun, produk tersebut tidak mendapat sambutan kerana pengiklanan yang gagal. Namun, beliau tidak berputus asa dan memperkenalkan satu lagi produk kesihatan terbaharu iaitu Pamoga.

Pada awalnya, Pamoga hanya terjual sebanyak 500 botol setahun. Namun, selepas Dato’ Seri Vida tampil untuk mengiklankan sendiri produknya di radio RTM Kelantan FM, jualan produknya laris sehingga 100,000 botol sebulan!

Kini jenama Vida Beauty miliki lebih daripada 100 produk dan mampu mencapai hasil jualan sehingga lapan angka sebulan.

2. Khairul Aming

Usahawan dari Kelantan yang seorang ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebelum bergelar content creator, Khairul Aming dahulunya pernah gagal untuk membangunkan produk sendiri.

Kegagalan tersebut mencetuskan inspirasi kepada beliau untuk mencipta nama terlebih dahulu di media sosial.

Dengan perkongsian video memasak yang berkualiti dan menarik, usahawan yang berasal dari Kota Bharu ini mula menarik perhatian pengguna media sosial.

Setelah berjaya mengukuhkan nama, beliau akhirnya memberanikan diri untuk menjual Sambal Nyet pada tahun 2021.

Sambalnya sering menjadi rebutan sehingga mampu terjual sebanyak jutaan botol hanya dalam masa beberapa minit.

 

Nampak macam mudah. Namun, hakikatnya beliau perlu membuat pelbagai persiapan dan perancangan selama bertahun-tahun untuk membina nama serta keyakinan orang ramai untuk mempercayai jenamanya.

Setelah produk keduanya iaitu Dendeng Nyet Berapi mencapai hasil jualan RM 1 juta terpantas, kini Khairul Aming sedang merancang untuk membuka kilang ketiga di Kota Bharu pada waktu terdekat.

3. Neelofa

Pernah tersenarai dalam Forbes’ 30 Under 30 Asia 2017, semangat keusahawanan Neelofa perlu dipuji.

Usahawan dan personaliti TV yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mula menceburkan diri dalam dunia bisnes bersama ibunya menerusi produk kesihatan BellaVita.

Kemudian, beliau mulakan perniagaan tudung di bawah jenama Naelofar pada tahun 2014. Ketika itu, beliau hanya ada 3 orang pekerja dan bisnesnya pula diduga dengan pelbagai cabaran.

Namun, beliau bersyukur Naelofar mampu berkembang kepada 10 cawangan sambil menawarkan aneka koleksi termasuk pakaian muslimah, telekung, beg dan aksesori.

Pada masa yang sama, beliau juga berjaya membina jenama lain seperti Lofalens, Nilofa Plus dan The Noor.

Di samping mempunyai strategi pemasaran yang mantap di media sosial, Neelofa juga dilihat mampu menempa nama dalam dunia perniagaan kerana bijak menghidu peluang di pasaran pada waktu yang tepat.

4. Dato’ Steven Sim

Setiap hari tibanya Hari Jadi rakan atau keluarga, kita pasti akan dapatkan kek dari Secret Recipe. Kini mempunyai lebih daripada 500 cawangan di serata dunia, Secret Recipe pada asalnya hanyalah bisnes keluarga yang dijalankan secara kecil-kecilan.

Dato’ Steven Sim telah membuka cawangan Secret Recipe pertama pada tahun 1997 di SS2, Petaling Jaya bersama 3 orang anak saudaranya yang mempunyai pengalaman membuat kek.

Ketika itu, Dato’ Steven mendapati belum ada kafe yang pelanggan boleh kunjungi untuk nikmati kek bersama secawan kopi. Yang ada hanyalah kedai kopi atau bakeri semata-mata.

Usahawan dari Kelantan ini juga tidak malu untuk mengedarkan flyers sambil menawarkan kopi percuma bagi menarik kunjungan pelanggan.

Walaupun jenama besar seperti Starbucks dan The Coffee Bean mula memasuki pasaran di Malaysia pada berikutnya, namun kedudukan Secret Recipe tidak goyah.

Jenama tersebut mula menjadi sebutan orang ramai apabila berjaya memenangi Best Cheesecake Award di Kuala Lumpur Cakes Competition 1998.

Ini membuatkan ramai pelanggan menyerbu Secret Recipe untuk mencuba sendiri keenakan kek keju tersebut.

Tahun demi tahun, jenama ini semakin dikenali dan mula memperkenalkan produk yang lebih bervariasi termasuk makanan, minuman dan pemanis mulut lain.

Kini sudah memasuki 27 tahun dalam industri, Secret Recipe sentiasa menjadi kek pilihan rakyat Malaysia yang ingin meraikan hari istimewa bersama rakan dan keluarga tersayang.

5. Reen Ramzi

usahawan dari kelantan

Sumber ; Nona

Reen Ramzi mungkin tidak sepopular Neelofa atau Dato’ Seri Vida, namun kejayaan usahawan jelita ini wajar dijadikan inspirasi buat semua peniaga.

Reen yang berasal dari Jeli, Kelantan ini memulakan bisnes OEM pada tahun 2018 dengan modal sebanyak RM 300 sahaja.

Asalnya, beliau ingin mengeluarkan produk sendiri. Namun, beliau beralih arah kepada bidang OEM disebabkan modal dan kosnya yang lebih berpatutan.

Meskipun cita-citanya untuk menjadi founder tidak kesampaian, Reen aktif mencari ruang dan peluang untuk melahirkan lebih ramai founder dengan menempah barangan di China.

Bermula sebagai pengantara antara kilang China dengan pengasas, kini beliau mampu membangunkan kilang OEM jenama sendiri.

usahawan dari kelantan

Sumber : Nona

Syarikatnya iaitu Produklega Supplies Sdn Bhd bukan sahaja berjaya menghasilkan sehingga 300 lebih produk termasuk supplemen dan kosmetik, malah Reen juga berbangga dapat lahirkan ramai jutawan.

Reen juga bersyukur kerana syarikatnya mampu meraih pendapatan sehingga RM 1 juta sebulan. Selain mempunyai kilang OEM serta gudang di Kapar, Klang, beliau turut miliki 1 hub di Amerika Syarikat, dan sebuah showroom di Denai Alam, Shah Alam.

6. Hafiz Mahamad

usahawan dari kelantan

Sumber : nextstepmalaysia.com

Hafiz Mahamad merupakan pengasas bersama jenama Ainaa Beauty dan Ainaa Clinic. Usahawan kosmetik dan pempengaruh media sosial ini juga dikenali sebagai orang kuat di sebalik perkembangan jenama yang dibangunkan isterinya, Syafiqah Aina.

Menghulurkan bantuan, memenuhi keperluan dan berkongsi rezeki bersama pekerja juga sudah menjadi perkara biasa buat usahawan dari Kelantan ini.

Bagi Hafiz, adalah penting untuk menghargai pekerja dan orang terdekat kerana tanpa mereka, bisnes yang dibangunkan bersama isterinya tidak akan mencapai ke tahap ini.

Berjaya melahirkan 5,000 usahawan dan 4 orang jutawan muda, Hafiz dan Aina turut bersyukur kerana jenama mereka semakin diterima ramai dan mampu berkembang ke negara jiran termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.

7. El Azman

usahawan dari kelantan

Sumber : Nona

 

Mula berniaga pada usia 27 tahun, usahawan yang berasal dari Ketereh, Kelantan ini berbangga jenama empayar Elrah Exclusive semakin dikenali dari tahun ke tahun.

Mengambil inspirasi rekaan jubah yang digayakan oleh pemuda Arab Saudi, El Azman terdetik untuk mengeluarkan koleksi jubah di bawah label sendiri pada tahun 2014.

Beliau sendiri tidak menyangka bahawa pakaian yang direka mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Pada tahun pertama, Elra dapat menjual sebanyak 68,00 jubah dalam masa 2 bulan! Atas permintaan ramai, El Azman giat menghasilkan pelbagai lagi rekaan baju tradisional lelaki dan pakaian Islamik.

Busana Elrah pula mempunyai rekaan yang kemas, ringkas serta sentiasa diperbaik bagi memaksimumkan kualiti jenama dari semasa ke semasa.

Kini memiliki 30 buah cawangan termasuk di Thailand, Singapura dan Indonesia, Elrah menyasarkan untuk menjual lebih daripada sejuta pakaian dalam masa setahun.

Para usahawan dari Kelantan ini mempunyai semangat berjuang yang kuat untuk berjaya sampai ke tahap sekarang.

Mereka juga bijak menghidu peluang dan mempunyai strategi pemasaran yang menarik untuk menyerlahkan jenama masing-masing.

Kejayaan yang dikecapi juga tidaklah dinikmati sendiri, malah dikongsi kepada para pekerja yang banyak memberi sokongan kepada bisnes.

Semoga kisah kejayaan usahawan dari Kelantan ini dapat mencetus inspirasi kepada semua khususnya usahawan yang baru memulakan perniagaan.

Sumber :Majalah Labur, Illuminasi, Nona (1), (2), hype.my, Vulcan Post

Baca Juga : Dulu Peniaga Kecil, Kini 4 Usahawan Dari Johor Ini Cecah Hasil Jualan Jutaan Ringgit  

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top