Jenama rangkaian kopi tempatan, ZUS Coffee mencipta fenomena apabila berjaya membuka lebih daripada 200 cawangan hanya dalam masa 4 tahun. Jenama ini bukan sahaja telah bertapak di banyak lokasi dalam Malaysia, malah ia juga dilaporkan akan membuka sehingga enam cawangan baharu di Filipina menjelang akhir tahun ini.

Memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian berkata cawangan pertama di negara tersebut bakal dibuka di Manila pada bulan ini dan lima lagi cawangan akan turut dibuka di bandar yang sama pada waktu terdekat.

Berkongsikan rancangan mereka pada tahun hadapan, ZUS Coffee bercadang untuk lebih agresif pada tahun hadapan dengan membuka lebih banyak cawangan. Namun, strategi ini perlu mengambil kira prestasi bisnes mereka pada suku tahun pertama akan datang.

zus

“Kami memilih Filipina sebagai negara luar pertama untuk melebarkan sayap kerana ia adalah negara kedua paling besar atau paling pantas berkembang selepas Vietnam.

ZUS Coffee turut berkongsikan sebab mengapa mereka tidak memilih negara jiran yang lebih dekat seperti Indonesia atau Thailand sebagai lokasi buat jenama mereka menembus pasaran luar negara.

“Di Indonesia sudah terlalu banyak jenama di sana dan kita tidak mahu masuk dan kemudian ‘berperang’ dengan jenama lain. Begitu juga dengan Thailand dan Vietnam yang sudah mempunyai rangkaian kopi tempatan sendiri.

“Jadi, Filipina adalah pasaran yang masih belum ditembusi dan masih tiada pemenang sebenar. Selain itu, populasi bandar raya Manila yang besar dengan menyamai populasi Malaysia sendiri serta pelaburan hartawan Filipina, Frank (Lao) ke dalam syarikat kami menjadikan peluang untuk berkembang di Filipina lebih mudah,” katanya.

Berita gembira ini dikongsikan oleh Venon sendiri ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Kampung Buatan Malaysia yang bertempat di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Kampung Buatan Malaysia merupakan inisiatif khas ZUS Coffee bersama jenama tempatan terkenal lain seperti Farm Fresh, Inside Scoop, BOH, Julie’s dan SYOK untuk bersama-sama membawa mesej kepada semua bahawa produk serta jenama buatan Malaysia adalah hebat dan setanding dengan jenama antarabangsa.

Pengunjung berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan dari Lorong Makan ZUS dengan citarasa tempatan dan atarabangsa.

Dalam pada itu, ZUS Coffee juga teruja untuk memperkenalkan rangkaian minuman kopi dan teh terbaharu mereka sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu ‘Tarik Series’ yang diperbaharui dengan kelebutan ‘Velvet Crème’ Zus Coffee.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga : Baru 4 Tahun Dalam Industri, ZUS Coffee Kongsi Rahsia Mampu Kembangkan Bisnes Kepada 225 Cawangan

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top