Sebuah bisnes pasti memerlukan tenaga manusia untuk beroperasi dengan lancar dan efisien setiap hari. Jadi, dengan tertubuhnya sebuah perniagaan, maka peluang pekerjaan juga akan wujud.
Para usahawan tersebut bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
Dengan tertubuhnya sebuah bisnes, tanpa kerja keras setiap staf, syarikat juga pasti sukar untuk berkembang dengan baik dan mencapai hasil jualan yang diinginkan.
Oleh sebab itulah ada beberapa usahawan yang tidak kisah berkongsi rezeki dan berhabis ribuan ringgit untuk para pekerja mereka.
Jom kita lihat kisah 5 usahawan yang pemurah dan suka memberikan ganjaran serta hadiah lumayan sebagai tanda terima kasih kepada para pekerja mereka.
5 Usahawan Ini Sentiasa Berkongsi Rezeki Demi Menjaga Kebajikan Pekerja Mereka
1. Hafiz Mahamad
Hafiz Mahamad atau nama penuhnya Abdul Hafiz Harisuddin bin Mahamad merupakan anak kelahiran Kelantan yang berumur 30 tahun. Beliau adalah pengasas bersama isterinya, Syafiqah Aina atau Nursyafiqah Aina Abdul Wahab bagi jenama AINAA Beauty dan AINAA Clinic.
Pada Februari 2023, beliau telah merangkul dua anugerah dan dinobatkan sebagai Digital Influencer Tergempak dan juga Anugerah Khas Gempak Most Wanted. Baginya, anugerah ini bukanlah untuk dirinya sahaja malah didedikasikan untuk sahabat, keluarga, team serta pelanggan setianya.
Ramai yang sudah kenali sifat pemurah Hafiz Mahamad apabila beliau memuliakan misi Kejayaan Demi Kebahagiaan.
Menghulurkan bantuan kepada golongan susah, sentiasa memberi bonus kepada pekerja, berkongsi rezeki dengan membawa pekerja bercuti dan berjalan-jalan untuk tambahkan keharmonian dalam suasana bekerja sudah menjadi perkara biasa serta rutin baginya.
Beliau sentiasa prihatin dalam membantu orang-orang sekeliling termasuklah pekerja dan pelanggannya.
Bagi beliau, adalah sangat penting untuk menghargai pekerja dan orang sekelilingnya kerana tanpa berkat usaha dan doa mereka, bisnes yang dibangunkan bersama isterinya itu tidak akan berjaya sehingga ke tahap ini.
Beliau juga antara pemilik bisnes yang sering mendapat perhatian warganet kerana sanggup berhabis puluhan ribu ringgit demi menggembirakan para staf. Pada bulan Januari 2023 yang lalu, Hafiz Mahamad dan isteri telah membuat kejutan apabila mereka umumkan untuk menaja kesemua staff AINAA, orang susah, anak yatim dan OKU menunaikan umrah. Luar biasa!
“Founder macam ini yang kita perlu sokong beli produk mereka. Sebab mereka tidak pernah berkira untuk bantu orang lain”, komen salah seorang followers Instagram Hafiz Mahamad.
2. Khairul Aming
Khairul Amin bin Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming merupakan personaliti yang tidak asing lagi di platform media sosial. Anak jati dari Kelantan ini cukup diminati ramai kerana video masakannya yang menarik dan mudah untuk diikuti.
Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang kulinari, namun ia tidak menghalang beliau untuk terus menceburkan diri dalam bidang ini secara lebih serius.
Pada tahun 2021, Khairul Aming telah mengeluarkan produknya tersendiri iaitu Sambal Nyet. Dengan jualan Sambal Nyet, beliau mampu membina sebuah kilang untuk memproses produk itu. Menerusi perkongsian di laman sosialnya, jualan Sambal Nyet terus mencetus fenomena sehingga berjaya terjual sebanyak 1.5 juta botol dengan jumlah jualan mencecah sehingga RM21.5 juta sepanjang 2 tahun beroperasi.
Sebagai tanda penghargaan kepada semua pekerja atas kejayaan penjualan sambal jenamanya itu, usahawan yang berusia 30 tahun itu pasti akan meluangkan masa bagi meraikan semua pekerjanya dengan membawa mereka melancong, memberi bonus khas dan sebagainya. Yang terkini, Khairul Aming turut menjadi bualan warganet apabila turut membelikan baju raya buat para pekerjanya.
Daripada sifat mesra dan rendah diri Khairul Aming ini, dapatlah kita rangkumkan bahawa pengasas Sambal Nyet ini sangat pemurah dan amat menghargai para pekerjanya walaupun kini sudah bergelar jutawan.
3. Syahmi Sazli
Seorang lagi usahawan yang berasal dari Kelantan, Muhammad Syahmi bin Sazli atau lebih dikenali sebagai Syahmi Sazli adalah seorang pelakon, penulis, pengarah dan juga selebriti internet. Beliau telah pun berkahwin dengan Anissa Faizul yang turut serta menjadi tulang belakangnya untuk menjayakan industri seni yang diceburi.
Selain menghasilkan drama dan filem yang berkualiti, beliau juga mempunyai bisnes Air Balang yang mula beroperasi sejak Ramadan tahun lalu. Walaupun air balangnya mendapat sambutan hangat, namun Syahmi terpaksa mengumumkan penutupan operasi selepas beberapa minggu dijual atas beberapa faktor termasuklah bimbang terambil hak tempat letak kereta orang lain.
Atas rasa tanggungjawab, Syahmi telah memberi gaji sebanyak RM1,000 kepada 15 orang pekerjanya yang tidak sempat mencari pekerjaan lain akibat penghentian operasi secara mengejut.
Bukan itu sahaja, malah sebelum beliau membuka semula perniagaan, Syahmi dan isteri juga telah membawa kesemua pekerja air balang untuk bercuti ke Langkawi.
Beliau juga sempat membelanjakan aneka hadiah mewah kepada pekerjanya seperti barangan kemas serta pakaian berjenama.
4. Wawa Zainal
Wawa Zainal atau nama asalnya Nur Hawa Zainal Abidin merupakan seorang pelakon dan model yang berasal dari Lahad Datu, Sabah. Beliau juga dikenali sebagai isteri kepada pelakon popular iaitu Suhairil Sunari atau lebih dikenali sebagai Aeril Zafrel yang aktif menyokong bisnes kosmetik yang dibangunkan iaitu WAWA Cosmetics.
Pada Disember 2022, pasangan usahawan ini telah memperoleh Anugerah Usahawan Selebriti dalam acara tahunan SME and Entrepreneurs Business Award 2022 (SEBA 2022) Central Grand Awards atas pencapaian bisnes yang cemerlang.
Meskipun beliau seorang selebriti dan pelakon yang terkenal, sikapnya yang rendah diri serta mesra dengan orang sekeliling membuatkan beliau mudah didekati.
Beliau juga merupakan antara usahawan yang sering mendapat perhatian warganet kerana sering berkongsi rezeki bersama para pekerjanya.
Namun, baru-baru ini, telah tular kenyataan palsu di media sosial bahawa pasangan ini tidak memberi gaji kepada staf mereka. Namun, salah seorang stafnya telah menafikan berita tersebut dan mendedahkan pengalaman sebenarnya semasa bekerja bersama Wawa. Menurut staf tersebut setiap tahun mereka pasti akan dapat bonus, malah ada yang lebih dari duit gaji sebulan.
Bukan itu sahaja, usahawan kosmetik ini juga pernah memberikan ganjaran dengan bawa pekerja mereka bercuti di Tasik Dayang Bunting, Langkawi. “Ini adalah tanda kami hargai titik peluh dan kerja keras mereka dalam membangunkan bisnes WAWA Cosmestics”, ujar kata Wawa dan suaminya.
5. Aisyah Hijannah
Personaliti media sosial, influencer dan pendakwah iaitu Aisyah Hijanah Azhari merupakan seorang usahawan dan pengasas butik dan jenama Hijanah serta Hijanah Books. Beliau adalah seorang pelajar, isteri, ahli perniagaan dan juga duta kepada beberapa jenama pakaian.
Tujuan utama beliau memulakan bisnes pakaian berjenama Hijanah adalah supaya lebih ramai wanita diluar sana berminat untuk memakai pakaian yang menepati syariat Islam.
Aisyah juga mengakui bahawa tujuannya memuat naik video dakwah di Instagram adalah atas dasar untuk memperbaiki diri. Namun, sebagai seorang influencer, kecaman dan kritikan daripada warga maya tentunya tidak akan terlepas.
Melalui kecaman yang diterima, perkara itu tidak membuatkan dirinya jatuh, malah beliau memandangnya sebagai cabaran dan sentiasa berfikiran positif.
Berkat usaha penat lelahnya dalam membangunkan bisnesnya, sekarang jenama Aisyah kini semakin dikenali ramai.
Kini, beliau berjaya membuka beberapa cawangan dan bisnesnya dapat beroperasi dengan baik hasil komitmen para staf yang berdedikasi.
Menurut Aisyah, semua pekerjanya adalah keluarga kedua yang perlu disayangi dan dihormati. Bagi menjaga kebajikan pekerja, beliau juga menyediakan elaun kereta dan rumah kepada mereka.
Berdasarkan perkongsiaannya di laman sosial, Aisyah Hijanah tidak lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan kepada pekerja beliau. Sebagai tanda terima kasih atas kerja keras pekerja-pekerja Hijanah, beliau pernah meraikan mereka dengan membawa pekerjanya berjalan-jalan di Universal Studio, Singapura.
Tidak hanya itu, Aisyah juga tidak lupa untuk menerapkan sikap sayang-menyayangi dan saling mengambil berat antara pekerja agar semangat mereka tidak pudar ketika berkhidmat di Hijanah.
Dengan memegang kepada kata-kata ‘rezeki tidak akan pernah salah alamat’, maka kita tidak akan risau dengan rezeki yang telah diatur oleh Allah. Percayalah bahawa lebih banyak kita berkongsi, maka Allah akan gandakan lagi rezeki kita pada masa akan datang.
Kisah daripada 5 usahawan berkongsi rezeki ini dapat dijadikan contoh bahawa pengasas tidak akan rugi walaupun mengeluarkan modal yang besar demi menggembirakan hati staf. Malah, pemberian ganjaran serta hadiah kepada staf sebaliknya akan membuatkan mereka lebih bersemangat dan setia untuk berkhidmat kepada syarikat.
Semoga kisah usahawan ini dapat dijadikan pedoman untuk anda semua supaya lebih menghargai orang sekeliling dan bersedekah sebanyak yang mungkin.
Baca juga: Memecah Norma Dunia Bisnes, 5 Jenama Tempatan Ini Rupanya Dibangunkan Oleh Surirumah