Mampu Berikan Pulangan Lumayan, Ini Trend dalam KOL Marketing Yang Pemilik Bisnes Wajib Tahu
Untuk kekal bersaing dalam industri, sesebuah bisnes itu perlulah peka dalam memanfaatkan trend yang sedang rancak di media sosial.
Mana tidaknya, hampir 80% rakyat Malaysia masa kini menggunakan media sosial bukan sahaja untuk berhubung, malah untuk mencari produk atau mengenali jenama dengan lebih dekat.
Mungkin anda biasa melihat sesebuah jenama berkolaborasi dengan influencer, namun pernahkah anda pernah dengar tentang KOL?
Walaupun terma KOL tidak sepopular influencer, namun KOL boleh memberikan impak yang lebih besar terhadap social media marketing sesebuah bisnes.
Beberapa jenama tempatan juga membuktikan bahawa KOL mampu membantu mereka jana keuntungan sehingga jutaan ringgit!
Jadi, apakah beza KOL dengan influencer dan bagaimana ia mampu memberi keuntungan kepada jenama?
Jom ikuti perkongsian daripada kami.
Apa Itu KOL?
KOL adalah akronim kepada Key Opinion Leader. Mirip dengan influencer, KOL mempunyai kelebihan tersendiri untuk pengaruhi pengguna media sosial.
Perbezaan utama influencer dengan KOL adalah KOL mempunyai niche audience yang lebih kukuh. Audiens pula biasanya melihat figura KOL ini sebagai seorang yang pakar dalam bidang tertentu.
4 Cara Bagaimana KOL Marketing Boleh Membantu Bisnes
1. Untuk Capai Audiens Dengan Lebih Meluas
Bila sesebuah bisnes lakukan influencer marketing, jenama mereka akan lebih senang muncul di Timeline, Home atau FYP.
Ini juga akan memudahkan sesebuah jenama untuk capai audiens dengan lebih meluas.
Jadi, tak hairanlah mengapa ia cukup popular dalam kalangan pemilik bisnes.
Namun, KOL didapati boleh memberikan impak yang lebih kuat berbanding influencer kerana mereka mempunyai audiens dalam niche yang spesifik.
Walaupun jumlah pengikut mereka mungkin tidak begitu ramai sekiranya dibandingkan dengan pengikut influencer, namun pengikut KOL didapati lebih rajin untuk berinteraksi di media sosial.
Ini sudah tentu lebih baik untuk tingkatkan awareness dan conversion rate bagi sesebuah bisnes.
Berbanding pengikut influencer, mereka mungkin boleh menjana tontonan atau Like yang lebih banyak, namun mereka kurang cenderung untuk menulis di ruangan komen atau kongsi hantaran di media sosial.
2. Untuk Jana Pulangan Yang Lebih Lumayan
Setiap kempen pemasaran pasti meletakkan matlamat untuk jana jualan yang tinggi, bukan?
Dengan kemampuan KOL untuk mencapai pengguna media sosial yang bersifat interaktif, maka mereka lebih cenderung untuk bantu sesebuah bisnes tingkatkan jualan.
Maklumlah, KOL bukan sahaja popular, malah mereka dikira sebagai pakar dalam bidang tertentu. Jadi, pengguna media sosial akan terdorong untuk mempercayai perkongsian atau rekomendasi daripada KOL tanpa sebarang masalah.
3. Untuk Bantu Bina Komuniti
KOL juga boleh dikira sebagai aset berharga bagi sesebuah bisnes. Disebabkan mereka merupakan pakar dalam industri tertentu, mereka mampu bina keyakinan pelanggan agar mempercayai kualiti produk anda.
Ini bukan sahaja boleh meningkatkan hasil jualan, malah ia juga dapat membantu anda bina komuniti yang kukuh bersama pelanggan dalam jangka masa panjang.
4. Untuk Bantu Kembangkan Bisnes Di Luar Media Sosial
Berbanding dengan influencer, penangan KOL tidak hanya terbatas di media sosial. Sebaliknya, seorang KOL mempunyai pengaruh yang kuat sama ada menerusi kariernya, bisnes yang berjaya atau rekomendasi orang sekeliling.
Dalam erti kata lain, KOL boleh membawa bisnes anda lebih jauh berbanding influencer.
Kita ambil contoh, Marie Kondo. Sebelum terkenal menerusi siri Netflix dan terbitan buku, beliau sudah cukup terkenal dalam bidang pengurusan ruang kediaman.
Jika beliau padam akaun media sosialnya sekalipun, Marie masih dikenali sebagai pakar perunding kediaman.
Trend Yang Sedang Hangat Dalam KOL Marketing
1. KOL Sebagai Host
Untuk menjadi host yang berjaya di media sosial, seorang KOL itu perlulah adalah personaliti yang menarik serta faktor likeability supaya dapat menarik audiens pada skop yang meluas.
Salah satu jenama yang memiliki host yang mantap adalah Pak Mat Western. Selain terkenal dengan marketing menggunakan artis popular, faktor Una sebagai host Pak Mat Western juga menjadi salah satu kunci kejayaan terhadap jenama tersebut.
Memetik pemerhatian yang dikongsikan oleh pengasas Burger Bakar Abang Burn iaitu Sabrie Salleh, Una didapati mempunyai personaliti tersendiri dan selari dengan aspirasi audience.
Berbanding kebanyakan bisnes yang hanya buat live dan video drama, Pak Mat Western sebaliknya mengembangkan lagi versatility host agar dapat tarik engagement dengan lebih berkesan.
Kini host Pak Mat Western bukan setakat pandai berlakon, malah dia juga boleh membuat demo masakan dan bekerjasama dengan artis dan personaliti lain tanpa mengira usia.
2. Sebagai Penjual dan Reviewer
Setelah bertahun-tahun menghasilkan video masakan yang menarik dan berkualiti, Khairul Aming berjaya membina nama serta meraih kepercayaan jutaan pengguna media sosial.
Kini, beliau memanfaatkan namanya untuk mempromosikan produk di bawah jenama sendiri sehingga berjaya memecahkan beberapa rekod.
Beliau juga mampu menguasai teknik jualan tanpa penglibatan orang tengah.
Founder makanan seperti Khairul Aming dilihat sesuai untuk gunakan teknik. Tanpa penglibatan orang tengah, pemilik bisnes mampu maksimakan keuntungan dan mengurangkan kos.
Jika anda tak mampu untuk lakukan seperti Khairul Aming, anda masih boleh mendapatkan perkhidmatan daripada personaliti KOL untuk mengadakan Jualan Live di media sosial.
Maklumlah, apa sahaja yang dicadangkan oleh personaliti KOL di media sosial, produk tersebut pasti akan laku keras.
Jadi, memang tak rugi kalau anda melabur untuk mendapatkan perkhidmatan daripada KOL. Anda juga yang akan untung.
Seperti Khairul Aming sendiri, beliau telah membantu lariskan pelbagai jenis bisnes menerusi jualan live dan review berbayar dan tidak berbayar.
3. User Generated Content
Pada zaman media sosial sedang meletup sekarang ini, banyak bisnes yang berlumba-lumba untuk hasilkan user generated content atau UGC.
Biasanya berbentuk point of view (POV) daripada pengguna, 35% pelanggan bersetuju bahawa UGC mampu membuat mereka lebih tertarik berbanding content biasa.
Ini disebabkan oleh sifat UGC sendiri yang ada human touch dan lebih bersahaja. Jadi, lebih mudah untuk pelanggan percaya dan yakin untuk mencuba sesuatu produk.
Ditambah pula apabila KOL sendiri yang hasilkan UGC, sudah tentu pelanggan akan tertarik untuk mencuba sendiri produk yang dicadangkan.
4. KOL Untuk Kongsi Kepakaran
Disebabkan KOL mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, sesetengah bisnes memanfaatkannya untuk menambah nilai bagi jenama.
Sebagai contoh, jenama snek dan produk kesihatan Signature Market sering berkolaborasi dengan KOL untuk mengadakan bengkel atau program perkongsian mengenai kesihatan fizikal dan mental.
Panel yang diundang juga bukanlah calang-calang orang. Mereka terdiri daripada doktor, pakar kesihatan dan penasihat kesihatan mental.
Ini juga merupakan satu strategi bijak oleh Signature Market untuk menyerlahkan identiti jenama mereka yang prihatin terhadap kesihatan dalaman dan luaran pelanggan.
Kesimpulannya, KOL marketing boleh memberikan impak yang cukup kuat buat sesebuah bisnes. Personaliti KOL bukan sahaja dikenali di media sosial, malah kepakaran mereka dalam sesuatu bidang juga boleh meningkatkan keyakinan dan membuatkan pelanggan ingin cuba sendiri produk yang disyorkan.
Jadi, tidak rugi untuk anda berkolaborasi dengan KOL untuk kempen pemasaran anda pada masa akan datang. Mana tahu, ia boleh jadi batu loncatan kepada bisnes anda untuk tingkatkan jualan dan menjadi lebih terkenal?
Sumber : Sabrie Salleh, trend.io, grin.co
Baca Juga : Trend Media Sosial 2024 Yang Pemilik Bisnes Perlu Tahu