Beberapa hari lalu, firma ekuiti persendirian Roark Capital telah mengumumkan pengambilalihan rangkaian sandwic terkenal dari Amerika Syarikat iaitu Subway.

Berdasarkan sumber, jenama tersebut difahamkan bernilai sehingga US$9.55 bilion (RM 44.36 bilion) termasuk hutang dan tertakluk kepada sasaran dalam prestasi kewangan.

Dengan termaterainya perjanjian tersebut, maka berakhirlah tempoh lelongan jenama gergasi tersebut yang telah dijalankan sejak Februari lalu.

Selain Roark Capital, lelongan jenama tersebut turut menarik beberapa firma ekuiti swasta lain seperti TDR Capital dan Sycamore Partners, yang turut menyerahkan bidaan akhir dengan nilai lebih daripada US$ 9 bilion (RM 41.76 bilion).

Walau bagaimanapun, Subway yang beroperasi di lebih 37,000 restoran di lebih 100 negara tidak mendedahkan syarat perjanjian pengambilalihan tersebut.

jenama subway

“Urus niaga ini mencerminkan potensi pertumbuhan jangka panjang Subway, dan nilai besar jenama kami dan francaisi kami di seluruh dunia.

“Subway mempunyai masa depan yang cerah dengan Roark, dan kami komited untuk terus memberi tumpuan kepada pendekatan menang-menang-menang untuk francaisi kami, tetamu (pelanggan) kami dan pekerja kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh rangkaian sandwic terkenal itu, syarikat mereka akan terus laksanakan strateginya dengan memberi fokus kepada peningkatan jualan, inovasi menu, penambahbaikan perkhidmatan secara keseluruhan, pemodenan restoran dan pengembangan antarabangsa.

Pengambilalihan oleh Roark Capital ini juga sekaligus telah menamatkan pemilikan Subway oleh keluarga Buck dan DeLuca (pengasas bersama) yang sudah lebih enam dekad lamanya.

Diasaskan oleh Fred DeLuca dan rakan keluarganya Buck pada tahun 1965, Subway telah menjadi milik kedua keluarga ini sejak restoran pertamanya dibuka di Bridgepoert, Connecticut dengan nama ‘Pet’s Super Submarines’.

Pada masa yang sama, ini juga menjadikan firma ekuiti swasta itu sebagai salah satu pengendali restoran terbesar di dunia dengan mengawal Inspire Brands, pemilik rangkaian restoran terkenal antaranya Dunkin’, Auntie Anne’s, Jommy John’s, Arby’s, Baskin-Robbins dan Buffalo Wild Wings.

Pengambilalihan ini turut menyenaraikan jenama Subway sebagai salah satu pengambilalihan rangkaian makanan bernilai tinggi seperti Kraft miliki Cadbury (RM88.16 bilion), Amazon miliki Whole Foods (RM63.56 bilion), Danone miliki WhiteWave Foods (RM58 bilion), Quacker miliki Snapple (RM6.49 bilion) dan Hormel miliki Skippy (RM3.2 bilion).

Sumber : Reuters, Subway

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top