Seiring dengan perkembangan teknologi dan gelagat pelanggan, pemilik bisnes juga perlulah perbaharui strategi bisnes setiap tahun.
Ini bukan sahaja penting untuk memastikan bisnes anda kekal relevan, malah strategi baharu juga dapat membantu anda perbaiki kualiti perkhidmatan untuk pelanggan.
Jadi, apakah teknik bisnes yang anda boleh cuba untuk 2024? Ayuh kita terokai bersama-sama.
6 Tips Bisnes Yang Usahawan Wajib Cuba Untuk 2024
1. Gunakan AI Sebagai Pembantu, Bukan Pengganti
Apabila AI menjadi trend dalam beberapa tahun ini, ada yang menganggap ia boleh menggantikan tugas manusia.
Namun, bila anda terokai sendiri, anda akan dapati AI masih tidak mampu untuk berikan sentuhan yang sama seperti manusia (human touch) terutamanya dalam urusan jualan.
Jadi, apakah cara untuk manfaatkan AI dalam bisnes tanpa kehilangan unsur human touch ini? Cara terbaik adalah untuk senaraikan tugas yang tidak boleh dilakukan oleh komputer.
Anda boleh fokuskan tugas yang tidak melibatkan pelanggan seperti kerja-kerja admin atau pengurusan data.
Jadi, anda bolehlah fokus pada tugas lain seperti hubungi pelanggan dan berinteraksi dengan pengikut di laman media sosial.
2. Hasilkan Kandungan Yang Tepat Untuk Dorong Pelanggan
Biasa kita akan dengar sifu-sifu marketing berkata “Content is King” kerana kandungan yang tepat dan berkualiti bukan berfungsi untuk menarik perhatian, malah ia juga berupaya untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap bisnes anda.
Tambahan pula, pelanggan masa kini sangat bergantung pada Google dan media sosial untuk mencari produk dan perkhidmatan yang diperlukan.
Disebabkan itu, mereka juga boleh kenalpasti jika sesebuah bisnes itu hanya lakukan gimik dalam video pemasaran.
Jadi, anda perlulah gunakan pendekatan yang lebih kreatif sambil menawarkan kandungan yang tepat.
Antara tips bisnes yang ramai usahawan praktikkan ketika ini adalah menyerlahkan nilai jenama dengan berkongsikan kajian kes atau di sebalik tabir penghasilan produk.
Kita ambil contoh pelancaran Dendeng Nyet Berapi oleh Khairul Aming.
Sebelum melancarkan produk tersebut, beliau telah berkongsikan latar belakang penghasilan produk tersebut dalam satu hantaran media sosial.
Selain berkongsi sebab mengapa beliau memilih dendeng sebagai produk kedua, beliau juga menyatakan bahawa dendeng ini dihasilkan dengan tekstur daging berderai dan kurang pedas.
Ini sesuai dengan pemerhatian beliau terhadap statistik pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia. Jadi, semua orang boleh nikmatinya tanpa sebarang masalah.
Atas pendekatan marketing dan aura jenama yang luarbiasa, produk kedua Khairul Aming mampu terjual sebanyak 80,000 pek dalam masa kurang 4 minit!
3. Wujud di Semua Platform
Sekiranya bisnes anda tidak wujud di pelbagai platform, besar kemungkinan anda akan ketinggalan pada tahun ini.
Semakin banyak platform yang anda manfaatkan, semakin tinggi peluang untuk anda capai pelanggan.
Pada masa yang sama, cara ini juga dapat membantu anda bina reputasi dalam platform tertentu dan meningkatkan brand awareness.
Jadi, anda perlulah hasilkan content dan gunakan semula (repurpose) dalam pelbagai bentuk seperti video berdurasi pendek untuk TikTok, newsletter untuk email marketing, tweet dan hantaran di Facebook.
4. Adakan Referral Program
Kajian mendapati 92% pelanggan akan terdorong untuk mencuba sesuatu produk atau perkhidmatan daripada orang yang dikenali.
Selain itu, 33% leads yang berkualiti tinggi juga datang daripada program referral.
Oleh sebab itulah referral program dianggap sebagai salah satu tips bisnes yang ramai terlepas pandang.
Antara beberapa langkah yang anda boleh gunakan untuk galakkan pelanggan sertai referral program adalah :
- Hasilkan referral program dengan ganjaran mata setiap kali pelanggan dapatkan pelanggan baharu dalam bisnes anda.
- Fokuskan untuk bina hubungan baik dengan pelanggan di kedai fizikal. Apabila pelanggan dapat cipta memori yang unik bersama anda,mereka pasti terdorong untuk kongsikan pengalaman positif mereka dengan rakan dan keluarga.
- Adakan pertandingan atau tawaran istimewa kepada pelanggan yang membawa rakan atau keluarga pada tempoh tertentu. Anda juga boleh tawarkan diskaun atau sampel percuma untuk peserta.
5. Utamakan Hubungan Jangka Masa Panjang
Berdasarkan sebuah statistik, hampir 46% penjual didapati memperoleh hasil yang stabil daripada pelanggan sedia ada.
Untuk membina kepercayaan dan hubungan baik dengan pelanggan, ia memerlukan usaha yang berterusan daripada sesebuah bisnes.
Antara cara pemilik bisnes menunjukkan penghargaan kepada pelanggan sedia ada ialah dengan memberikan ucapan perayaan dan diskaun istimewa untuk pembelian berulang.
Ini juga merupakan salah satu taktik yang sering digunakan oleh salesman terbaik sepanjang zaman, Joe Girard.
6. Bina Komuniti Dengan Pelanggan
Selain menjalinkan hubungan jangka masa panjang, ramai bisnes kini turut membina komuniti bersama pelanggan demi mendapatkan sokongan berterusan daripada mereka.
Komuniti yang diwujudkan memberi peluang kepada pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada bisnes dengan cara yang menyeronokkan.
Inilah yang dilakukan oleh HYGR, jenama kosmetik mesra alam yang kini trending di media sosial.
Mereka memanfaatkan channel Telegram yang dinamakan HYGR Bestie untuk pelanggan tentukan produk seterusnya atau jadi yang pertama untuk mencuba produk terbaru.
Begitulah antara tips bisnes yang anda boleh cuba untuk rangka strategi untuk tahun 2024. Untuk kekal relevan dalam bisnes, anda perlulah lebih kreatif dalam pemasaran dan membina kepercayaan pelanggan.
Barulah mereka terdorong untuk menyokong anda dalam jangka masa panjang. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membuat perancangan yang lebih mantap demi hasil yang lebih lumayan berbanding tahun lalu. Selamat mencuba!