Perkembangan media sosial yang pesat masa kini membolehkan sesiapa sahaja menjadi content creator di Youtube. Sebagai pengguna media sosial, kita juga sering melayari platform tersebut untuk dapatkan informasi serta hiburan menarik.

Namun, pasti ramai yang tidak tahu sebenarnya Youtuber menghadapi pelbagai cabaran untuk terus bertahan di platform tersebut. Baru-baru ini, sepasang Youtuber dari Jepun Jimmy dan iChang telah berkongsikan rasa kecewa dan burnout menerusi satu video Youtube.

Mereka yang sering berkongsikan kandungan mengenai hidangan tempatan serta budaya Malaysia merasakan sukar untuk terus hasilkan video.

“Setiap kali, kami merasakan yang kami selalu buat video yang sama dan tiada progres. Walau bagaimanapun, kami tetap nikmati pengalaman di setiap tempat yang dilawati,” luah pasangan Youtuber tersebut dalam satu video yang dimuatnaik.

Che Nom

 

Perkara ini turut menjadi bualan hangat di warganet dan membuka mata orang ramai mengenai realiti yang perlu dihadapi oleh Youtuber. Walaupun kerjaya ini boleh dikatakan popular, rupanya terdapat banyak dugaan serta cabaran yang perlu dihadapi.

Isu hangat ini turut mendapat perhatian daripada Youtuber yang popular dengan video masakan, iaitu Che Nom. Berpengalaman lebih 10 tahun sebagai content creator di Youtube, Che Nom berjaya meraih hampir 2 juta subscriber dan menerima Gold Play Button pada tahun 2021.

Che Nom

Berkongsi mengenai bebanan kerja sebagai seorang Youtuber menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyatakan pekerjaan sebagai Youtuber bukan semudah yang di sangka. Usaha yang setimpal juga tidak menjamin tontonan yang tinggi.

“Yang paling obvious sekarang ni, usaha tak setimpal hasil, susah sangat nak dapat views di Youtuber sekarang ini. Bila views rendah, income pun rendah.

Bila ringgit jatuh, advertiser dari Malaysia terpaksa bayar mahal sebab iklan dibida dalam US dollar. Bila tak ramai bida, income akan drop. Kalau tengok top-top channel di Malaysia ini nak dapatkan views lebih daripada 100k pun susah sangat,” luah Che Nom.

Wanita berusia 41 tahun itu juga turut bersimpati dengan content creator di platform lain seperti Instagram dan TikTok yang turut mengalami masalah yang hampir sama. Walaupun followers mencecah ratusan ribu atau juta sekalipun, namun video mereka begitu susah untuk menarik tontonan pengguna media sosial.

“Jadi, nak compensate low views ini, Youtubers akan main game volume, ini akan membuatkan mereka lebih tertekan kerana buat video dengan lebih kerap dan lipat ganda lagi usaha serta kos. Tidur dan rehat ke laut. Poket pun kering.

Nak buat video juga kena kreatif dan banyak berfikir. Kalau buat content yang sama nanti tak ada orang nak tengok. Jadi memang tak ada fikir lainlah, fikir nak hasilkan content sahaja setiap masa,” kongsi Che Nom.

Tambahnya lagi, Youtuber juga perlu banyak berinteraksi dengan audiens, semua platform media sosial perlu dijaga. Mereka juga perlu melayan komen serta DM di setiap platform sendiri kerana tidak mampu untuk mengupah orang. Disebabkan tekanan ini, kesihatan diri dan kebajikan anak-anak juga boleh terabai.

Nasihat Che Nom Untuk Youtubers

Bagi Youtubers di luar sana, Che Nom menasihatkan supaya sentiasa beringat dengan kewangan. Jika income tinggi, simpan sedikit untuk kegunaan waktu kecemasan. Jadi bila income tengah rendah, wang tersebut boleh dijadikan backup. Oleh itu, mereka tidaklah rasa terlalu tertekan untuk buat content.

Jangan terlalu mengejar income sehingga abaikan kesihatan fizikal dan mental. Rajinkan diri untuk workout, makan makanan yang berkhasiat, dapatkan tidur dan rehat yang cukup dan rehat sementara dari Youtube jika perlu.

“Dan yang paling penting, kalau rasa buat Youtube ni dah tak ada masa depan dan semua usaha dah dibuat namun masih gagal, tutup saja channel. Lebih cepat kita move on, lebih bagus. Kalau tiba-tiba Che Nom menghilang dari Youtube, jangan tanya ya,” pesan Che Nom dalam hantaran Facebook tersebut.

Begitulah realiti yang dihadapi oleh content creator masa kini. Walaupun kerjaya mereka nampak mewah dan menarik, namun terdapat pelbagai kesukaran yang terpaksa dihadapi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook juga bersetuju dengan pandangan serta nasihat yang dikongsikan Che Nom. Meskipun platform tersebut dapat membantu seseorang menjana pendapatan lumayan, namun kesihatan diri masih perlu diutamakan.

Sumber : Facebook Che Nom

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top