Pemilik bisnes, salesman, ahli pemasaran atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam dunia marketing pasti mengenal figura legenda yang bernama Joe Girard.

Bagi yang belum tahu, Girard merupakan seorang penjual kereta yang kemudiannya menjadi penulis buku dan pakar motivasi terkenal khususnya dalam bidang pemasaran.

Antara buku popular yang diterbitkan oleh Girard dan menjadi rujukan ahli perniagaan sehingga ke hari ini adalah ‘How To Sell Anything to Anybody’ dan ‘How to Close Every Sale’.

 

 

Girard menjadi idola bagi semua salesman di dunia kerana pencapaiannya dalam menjual sebanyak 13,001 buah kereta jenama Chevrolet dari tahun 1963 hingga 1978.

Pencapaian luar biasa beliau juga diiktiraf oleh Guiness World Record sebagai penjual kereta baharu paling banyak dalam setahun iaitu 1,425 buah pada tahun 1973.

Sedang salesman lain bergelut untuk menjual 4 atau 5 buah kereta sebulan, Girard mampu menjual sebanyak 3 hingga 6 buah kereta dalam masa satu hari!

Dinobatkan sebagai The World’s Greates Retail Salesman, masih belum ada penjual yang mampu mengatasi rekod Joe Girard. Tambahan pula, beliau telah dianugerahkan pencapaian tersebut sebanyak 12 kali sepanjang tempoh 15 tahun berkhidmat sebagai penjual kereta.

joe girard

Kad Ucapan Jadi Senjata Rahsia Joe Girard

Antara sebab utama Girard menjadi penjual kereta yang disenangi pelanggan adalah sikapnya yang ramah.

Setiap tahun, beliau akan mengubah pelukis untuk mereka 13 jenis kad ucapan. Beliau kemudiannya akan menghantar 13,000 kad ucapan kepada semua pelanggan bagi setiap perayaan termasuk Hari Krismas, Hari Valentine dan Perayaan Halloween.

Tak cukup dengan itu, Girard turut menghantar kad ucapan pada hari istimewa seperti Hari Jadi dan Hari Ulang Tahun.

Setiap kad pula mempunyai mesej yang sama iaitu “I Like You” atau “Saya Sukakan Awak”. Disebabkan usaha ini, ramai pelanggan yang sudah menganggap Girard sebagai keluarga sendiri.

Penjual kereta hebat ini juga membuktikan bahawa kad ucapannya telah mencetus kesetiaan pelanggan. Walaupun nampak seperti remeh, namun kad ucapan yang dikirimkan telah mendorong pelanggan untuk menjadi lebih mesra dengannya.

Maklumlah pada zaman dahulu, untuk menghantar sekeping kad memerlukan banyak usaha.

Seseorang itu perlu pergi ke kedai, keluarkan duit membeli kad, sampul surat dan setem. Kemudian, mereka perlu tulis ucapan dan hantarkannya ke pejabat pos.

Suatu ketika dahulu, anda pasti ingat lagi keterujaan apabila mendapat surat atau kad ucapan daripada rakan atau keluarga, bukan?

Oleh sebab itulah, pelanggan sangat menghargai usaha Girard dan ingin ulangi pembelian atau cadangkan kepada orang terdekat untuk berurusan dengan penjual terkenal jika ingin membeli kereta.

Berita mengenai Joe Girard tersebar sehinggakan pusat jualan keretanya padat dengan kunjungan pelanggan yang ingin berurusan dengannya. Disebabkan itu, beliau terpaksa menemui pelanggan melalui janji temu sahaja.

Ada juga pelanggan yang sanggup tunggu sehingga seminggu untuk semata-mata untuk membeli kereta dengan Girard!

Taktik pemasaran ini menjadi antara yang perkara yang wajib dilakukan pada semua pemilik bisnes hari ini untuk mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan.

Dengan bantuan teknologi masa kini, tak perlu lagi gunakan kad ucapan. Cukup dengan menghantar emel berisi ucapan penghargaan dan selitkan tawaran sekali sekala. Barulah pelanggan terbuka hati untuk terus menyokong bisnes anda.

joe girard

Lelaki kelahiran Sicily itu berhenti menjual kereta pada usia 49 tahun untuk fokus menjadi penulis buku dan penceramah motivasi.

Meskipun telah meninggal dunia pada usia 90 tahun, namun legasi Joe Girard sebagai penjual atau salesman paling hebat di dunia terus dikenang dalam dunia perniagaan sehingga ke hari ini.

Sumber : Harvard Business Review, Kompas

Baca Juga : Kisah Yamaha Mendominasi Industri Penghasilan Alat Muzik dan Motorsikal

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top