Burger merupakan hidangan yang enak dan mudah untuk didapati di mana-mana tak kira siang atau malam.
Di Malaysia juga kita boleh lihat semakin banyak jenama burger tempatan yang muncul di pasaran antaranya GTR Burger, Syukor Burger, Zamburger, KGB, myBurgerLab dan macam-macam lagi.
Itu belum termasuk jenama burger yang sedia ada di restoran makanan segera terkemuka seperti Burger King, McDonald’s dan Ramly.
Melihatkan trend perniagaan burger yang semakin meningkat, pengasas restoran Chicken Royale iaitu Naz Daim tidak terkejut kerana industri ini baginya mempunyai nilai yang sangat tinggi.
Walaupun ramai mengenalinya sebagai pemilik restoran hidangan berasaskan ayam, namun beliau juga mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang jualan burger.
Dari pengurusan jenama burger yang ada puluhan cawangan hingga pengurusan kilang burger premium, beliau sememangnya sudah cukup masak dengan industri ini.
Beliau yang juga pernah membuka kedai burger sendiri secara francais ini akui burger boleh tergolong dalam Top 3 makanan yang paling diminati ramai dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurutnya, kecenderungan rakyat Malaysia terhadap burger ini adalah disebabkan oleh pemain industri burger yang besar seperti McDonald’s dan Ramly yang setia menawarkan aneka produk berasaskan burger yang menarik dan berkualiti tinggi.
Dengan erti kata lain, boleh dikatakan burger merupakan pilihan orang ramai selepas hidangan nasi dan mi.
Disebabkan jumlah potensi pelanggan yang besar ini jugalah ramai usahawan yang berani untuk menceburkan diri dalam industri burger tempatan.
Namun, setiap bisnes itu pasti ada kebaikan dan cabarannya tersendiri. Dalam satu perkongsian di Facebook, Naz Daim telah menyenaraikannya satu persatu berdasarkan pengalamannya dalam industri tersebut.
Kelebihan Serta Cabaran Yang Menanti Usahawan Industri Burger Tempatan
Kelebihan Industri Burger Tempatan
1. Customer Base Yang Besar
Tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang ekonomi, burger sememangnya cukup diminati ramai. Kalau perniagaan burger ini mempunyai lokasi yang strategik, peniaga tak perlu bersusah payah cari pelanggan. Memang pelanggan akan datang sendiri!
2. Macam-Macam Konsep Boleh Dibuat
Burger bukan sahaja boleh dijual di tepi jalan, malah usahawan juga boleh mengolah jenama burger masing-masing mengikut pelbagai konsep. Ingin buat konsep kiosk, restoran, gourmet atau premium, semuanya sesuai!
3. Resepi Senang Untuk Dibuat
Satu lagi sebab mengapa ramai usahawan suka untuk terlibat dalam industri burger tempatan adalah kerana resepinya yang tak terlalu sukar untuk dihasilkan.
Menurut Naz Daim, burger sudah sedia ada sedap dan memang susah untuk jadikan burger tak sedap. Jikalau ada pelanggan yang mengadu burger tak sedap, itu bermakna ada sesuatu yang betul-betul tak kena dalam proses pembuatannya.
Cabaran Industri Burger Tempatan
Kos
Seperti yang kita sedia maklum, kos daging lembu adalah sangat tinggi, sekitar RM 40 ke RM 60 sekilo. Isi ayam pula boleh mencecah RM 10 sekilo untuk hasilkan patty segar. Kalau lembu import seperti Wagyu dan Angus jangan cakaplah, boleh mencecah ratusan ringgit!
Disebabkan kos bahan mentah yang mahal, peniaga mungkin akan mengalami kesukaran untuk meletakkan harga.
Ditambah pula dengan harga pasaran sedia ada dan persepsi pelanggan terhadap harga standard burger, peniaga hanya boleh meletakkan harga burger bermula RM 3 untuk burger jalanan sehingga RM 20 ke atas untuk gourmet burger. Lebih daripada itu sememangnya mustahil.
Saingan
Seperti yang dikatakan tadi, industri burger ini sememangnya sangat rancak dan begitu ramai usahawan yang menaruh nasib perniagaan mereka saban hari. Jadi, sesebuah jenama yang baharu muncul itu perlulah tawarkan sesuatu yang berbeza untuk menyerlah berbanding pesaing.
Cara Untuk Menyerlah Dalam Bisnes Burger
Di samping itu, Naz Daim juga telah memberi beberapa saranan supaya sesebuah bisnes burger dapat menyerlah bagi mengatasi jenama lain.
1. Cari Kelainan dan Tambahkan Nilai Jenama
Untuk kekal relevan di pasaran, Naz Daim mengesyorkan para usahawan untuk fokus pada inovasi. Fokuskan pada konsep burger yang belum pernah dibuat oleh jenama lain. Selain itu, peniaga juga perlu fokus untuk berikan nilai tambahan kepada peniaga seperti perkhidmatan, pengalaman pengguna dan nilai brand sendiri untuk menyerlah dalam industri.
Naz Daim turut menyarankan supaya usahawan melaburkan 90% masa, wang dan tenaga untuk membina jenama dan pengalaman pengguna. Tak perlu fokus terlalu banyak pada produk kerana burger wajib sedap dan tak susah untuk hasilkan resepi yang sedap.
2. Hasilkan Packaging Yang Baik
Packaging atau pembungkusan boleh menjadi first impression yang penting untuk sesebuah bisnes. Ia juga merupakan elemen yang perlu dititikberatkan bagi penjenamaan (branding) sesebuah bisnes. Jadi, mahu atau tidak pemilik bisnes perlulah fokus pada bab ini.
3. Pilih Lokasi Yang Sesuai
Seperti yang dinyatakan tadi, lokasi juga memainkan peranan penting bagi sesebuah bisnes burger. Pilihlah lokasi yang boleh menarik perhatian ramai pelanggan. Jangan lupa untuk letak sekali signboard atau papan tanda yang boleh mencuri perhatian orang yang lalu lalang.
4. Kaji Pasaran Melalui Teknik ‘Reverse Engineering’
Untuk kekal lama dalam industri, usahawan burger juga sangat digalakkan untuk buat kajian menggunakan teknik reverse engineering. Mula-mula, kaji dahulu siapa segmen market yang jenama ingin fokus. Kemudian, anggarkan berapa harga burger yang mereka mampu bayar.
Daripada situ, anda bolehlah kenalpasti harga kos baharu untuk mencipta resepi burger yang bertepatan dengan target market.
Begitulah serba sedikit realiti industri burger yang dikongsikan oleh pengasas Chicken Royale itu. Walaupun mempunyai potensi yang besar untuk berkembang, namun usahawan burger juga perlu bersedia untuk berdepan dengan beberapa cabaran dan banyak saingan. Jadi, peniaga perlulah merangka strategi bisnes serta pemasaran yang mantap untuk jadi lebih menyerlah dalam industri.
Sumber : Facebook Naz Daim