Nama Eric Zhu mula tular di Twitter dan LinkedIn apabila beliau sering mengeluh kerana sering mendapat amaran daripada ibu bapa dan pengetua akibat ‘kerja sampingan’ yang dilakukan di sekolah.
Ketika pelajar 15 tahun lain sedang bergelut untuk menyiapkan kerja rumah, Eric pula banyak menghabiskan masa yang terluang di tandas sekolah untuk menyusun atur kerja dan mengadakan mesyuarat secara atas talian.
Kepayahan yang dialami oleh Eric ini juga agak mencuit hati sehingga membuatkan namanya menjadi sebutan di platform media sosial tersebut. Jangan tak percaya yang Eric Zhu mampu membina syarikat sendiri dan membina jaringan dengan ramai usahawan serta pelabur dari tandas sekolah!
Walaupun kedengaran sangat lucu, namun ia adalah satu perkara yang bukan mudah untuk dicapai lebih-lebih lagi buat pelajar yang berusia 15 tahun. Bagaimana Eric boleh menjadi pemilik bisnes berstatus usahawan tanpa pengalaman atau ruang bisnes yang sesuai? Jom kita selami kisah menarik usahawan ini!
Bagaimana Eric Zhu Jadi Usahawan?
Ketika mulanya waktu pandemik Covid-19, Eric Zhu mula belajar coding kerana terlalu bosan di rumah. Atas rasa minat, usahawan muda yang berasal dari Indiana, Amerika Syarikat ini terdetik untuk mencari lebih ramai kenalan dengan kepakaran dalam bidang programming menerusi Discord. Eric juga pernah mengikuti Hackathon iaitu acara pemprograman besar-besaran yang turut disertai oleh anak Elon Musk.
Dengan asas programming yang dimiliki, Eric yang hanya berusia 13 tahun pada ketika itu juga telah memberanikan diri untuk bekerja secara sambilan dengan beberapa syarikat baharu (startup) semasa waktu pandemik.
Selain pernah bekerja dengan sebuah syarikat kad kredit bernama Carbon Zero Financial, Eric juga telah merangkul jawatan penting pada usia 14 tahun iaitu sebagai ahli Lembaga Pengarah dan pengasas bersama Academia Edge, sebuah syarikat yang menawarkan ilmu coding untuk pelajar pada harga yang lebih berpatutan.
Setahun kemudian, beliau juga merupakan pelabur bagi Bachmanity Fund, iaitu sebuah syarikat pelaburan bagi projek angkasa lepas dan turut memberi sokongan terhadap usahawan muda lain. Melalui syarikat ini, beliau berjaya mengumpul dana sebanyak US$20 juta!
Eric Buka Syarikat Sendiri
Syarikat pertama yang diusahakan oleh Eric adalah Esocial, sebuah platform pendidikan berteknologi (ed-tech) yang menghubungkan komuniti pelajar dengan cekap dan mudah. Platform ini dikatakan begitu popular sehingga hampir 50,000 pelajar daripada 50 buah sekolah sudah termasuk dalam senarai menunggu!
Namun, Eric merasakan minatnya tidak menjurus kepada ed-tech. Oleh itu, syarikat tersebut pun dijual.
Kini, Eric sedang fokus pada syarikat terbaharunya yang dinamakan Aviato, sebuah enjin carian khas untuk syarikat baharu atau startups yang ingin mencari dana bagi mengembangkan bisnes. Platform ini juga telah membantu ramai pelabur atau Venture Capitalists (VC) untuk membuat persetujuan dengan pemilik bisnes berpotensi tinggi.
Pandai Bina Network Jadi Kekuatan Untuk Eric
Walaupun masih berada di bangku sekolah, namun Eric pandai menghidu peluang untuk meningkatkan jaringan bisnesnya. Bermula daripada penggunaan Discord sehingga pernah disekat beberapa kali, Eric pasti akan mencari jalan untuk menemui kelompok komuniti yang mempunyai minat yang sama dengannya.
Salah satu kaedah utama Eric untuk mengembangkan lagi jaringannya dalam bidang pemprograman adalah menerusi Calendly, iaitu platform khas untuk menjadualkan janji temu.
Eric dikatakan telah menggodam platform tersebut sehingga dapat ‘membuat janji temu’ dengan ramai usahawan teknologi dan pelabur yang berjaya. Peluang terbentang di depan mata, Eric pun tidak teragak untuk membina jaringan dan menimba pelbagai informasi serta selok belok bisnes dengan mereka. Kebanyakan janji temu inilah yang Eric lakukan di tandas sekolah!
Bercakap tentang jaringan, keluhan serta meme yang sering dikongsikan oleh Eric di Twitter juga menjadikan beliau cukup popular sehingga jenamanya mudah dikenali ramai. Tambahan pula, siapa yang tak berminat untuk tahu tentang seorang usahawan yang berjaya bangunkan syarikat sendiri sehingga mempunyai dana terkumpul sebanyak US$20 juta pada usia 15 tahun?
Tyler Gebhart, iaitu seorang pemasar yang banyak bekerjasama dengan usahawan baharu akui walaupun Eric berusia 15 tahun, namun beliau sudah mempunyai ilmu dan gaya seorang pemimpin syarikat serta sudah cukup sebati dengan bidang teknologi semasa.
Walaupun Aviato mempunyai brand voice ala Gen Z yang sangat ketara, namun Tyler juga bersetuju bahawa cara Eric untuk meningkatkan kesedaran jenama di Twitter sememangnya membuahkan hasil.
Kesimpulannya, meskipun kaedah Eric seperti menggodam platform dan memanfaatkan meme untuk publisiti jenama adalah cara yang agak tidak profesional atau kebudak-budakan, namun strategi yang digunakan ini nyata mampu mengangkat dirinya sebagai usahawan berstatus jutawan pada masa yang singkat.
Ditambah pula dengan bakat semulajadinya dalam pemprograman, ramai yang menjangka Eric bakal membawa perubahan dalam industri pemprograman pada masa akan datang.
Mungkin sesetengah usahawan tidak bersetuju dengan cara yang Eric gunakan, namun kita tidak boleh menidakkan kemungkinan bahawa Eric boleh menjadi indikator kepada kelahiran generasi usahawan alaf baru yang lebih kreatif dan pandai mengambil peluang untuk ceburkan diri dalam dunia perniagaan.