Bermula dengan sebuah trak makanan, Chicken Royale segera mendapat tempat di hati penggemar hidangan ayam sehingga tular di serata Malaysia. Kini, Chicken Royale mempunyai 12 cawangan di beberapa negeri.
Namun, pengoperasian serta perkembangan bisnes ini tidak dapat dicapai tanpa pengurusan sistematik. Menerusi laman Twitter, pemilik Chicken Royale, Mohd Nazri bin Md Akim yang mesra disapa sebagai Naz terpanggil untuk berkongsikan beberapa perisian serta aplikasi yang beliau gunakan untuk bisnes.
Jom kita semak 7 software serta aplikasi yang digunakan oleh pengasas yang terkenal dengan gelaran Papa CR ini.
7 Software Serta Aplikasi Terbaik Untuk Urus Operasi Restoran
1. POS System
Bagi Naz, semua restoran wajib menggunakan POS system untuk menguruskan transaksi dan rekod jual beli secara sistematik. Secara peribadi, beliau suka perisian berasaskan Cloud dan mendapati sistem Storehubs dan Aliments kedua-duanya menawarkan fungsi yang baik dalam urusan transaksi dan rekod pesanan pelanggan saban hari.
2. Financio
Turut berasaskan Cloud, Naz juga menggunakan aplikasi Financio bagi menguruskan kewangan serta perakaunan bisnes. Menurut beliau, perisian ini dapat membantunya mengawal kewangan Chicken Royale secara lebih efektif. Selain itu, aplikasi ini juga membantu Naz dalam mengenalpasti peluang untuk meningkaktan keuntungan.
3. Great Day
Seterusnya, dalam bab rekod kedatangan pekerja, overtime dan pengiraan gaji, beliau sangat selesa menggunakan aplikasi Great Day. Selain menawarkan rekod staf yang sistematik, aplikasi ini juga memudahkan pekerja untuk clock-in masuk setiap hari menerusi fungsi geo-tag.
Selain lebih fleksibel, kaedah ini juga dapat mengurangkan masalah ketidakjujuran apabila pekerja clock-in. Maklumlah, apabila majikan guna sistem punch card yang tradisional, ada staf yang mengambil kesempatan untuk tidak berlaku jujur dan meminta tolong rakan sekerja untuk punchkan!
4. Box Hero
Naz juga akui pengurusan inventori yang tidak terurus adalah pengajaran terbesar buatnya. Disebabkan itu, perniagaan Chicken Royale hampir lumpuh!
Jadi, untuk merekod serta mengurus inventori di semua 12 cawangan Chicken Royale, beliau telah menggunakan aplikasi Box Hero. Walaupun agak mahal, tetapi ia sangat berbaloi untuk membantu pengurusan inventori bisnesnya.
5. Foodpanda
Satu aplikasi yang tidak asing lagi di kalangan pemilik restoran dan pelanggan, Naz memilih Foodpanda untuk urusan penghantaran makanan. Lebih menarik lagi, pesanan makanan menerusi aplikasi popular ini juga boleh diselaraskan (synchronize) ke sistem Aliments.
Cara ini baginya sangat memudahkan kerja-kerja di restoran dan boleh mengurangkan kesilapan teknikal. Pekerja juga tak perlu pening kepala dan boleh fokus pada penyiapan pesanan sahaja.
6. Canva
Menjadi pilihan ramai marketer serta pemilik bisnes, Naz juga memanfaatkan aplikasi Canva bagi tujuan rekaan grafik secara pantas dan mudah. Naz dan teamnya banyak bergantung kepada aplikasi ini untuk mereka menu, iklan serta poster promosi.
7. Jotform
Bagi Naz, laporan yang terperinci adalah tulang belakang bagi pengurusan restorannya. Jadi, beliau akan gunakan Jotform untuk hasilkan laporan dan borang online dengan mudah. Selain Jotform, beliau juga akan gunakan Google Sheets dan Docs untuk berkongsi dan kemaskini tugas dalam satu file bersama pekerja lain.
Dengan bantuansistem serta aplikasi terbaik ini, beliau tidak perlu lagi risau tentang pengurusan operasi restoran sehari-hari. Semuanya dapat diuruskan dengan lancar dan baik tanpa sebarang masalah.
Nazri juga mampu menghela nafas lega dan boleh fokus untuk besarkan lagi bisnesnya. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi buat anda yang sedang memulakan bisnes. Selamat mencuba!
Sumber : Twitter @NazDaim