Untuk membina platform bisnes yang kukuh secara online, anda perlulah merangka pelbagai strategi demi memastikan bisnes anda kekal relevan di mata pelanggan. Antara strategi yang ramai pemilik bisnes gunakan adalah dengan membina brand voice atau suara jenama.

Dengan brand voice yang menonjol, jenama anda pasti mampu jadi lebih menyerlah bagi mengatasi pesaing lain. Ia juga mampu membantu jenama anda menarik perhatian daripada pelanggan.

Apa Itu Brand Voice?

Brand voice adalah personaliti unik yang dicipta oleh sesebuah bisnes untuk berkomunikasi. Bayangkan anda pergi ke sebuah kenduri. Dalam kebanyakan tetamu yang hadir, ada seorang yang menarik perhatian anda. Bukan semata-mata kerana ada gaya yang menawan, namun individu ini mungkin ada personaliti yang menarik seperti pandai bercerita, kelakar dan ramah dengan tetamu lain.

Sekarang, bayangkan pula sekiranya jenama anda ini sebagai satu individu. Personaliti apakah yang menepati hala tuju syarikat serta produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan?

Bagaimana pula caranya untuk membina brand voice yang bersesuaian untuk bisnes anda? Jadi, jom ikuti perkongsian kami untuk ketahui kaedah bagi membina brand voice bagi jenama anda.

5 Cara Bina Brand Voice Yang Tepat Untuk Jenama

1. Mulakan Dengan Misi Syarikat dan Kandungan Sedia Ada

Misi atau nilai yang syarikat pegang boleh menjadi penentu bagi beberapa karakter dalam suara jenama. Antara karakter yang mungkin anda boleh dapati dalam misi syarikat adalah komited, mesra alam sekitar dan moden.

Seterusnya, anda boleh kumpulkan beberapa kandungan yang pernah diterbitkan seperti post di media sosial, laman web, infografik dan video. Semak semula pendekatan atau gaya yang syarikat anda sering guna untuk ekspresikan jenama. Kumpulkan beberapa contoh untuk dijadikan rujukan.

2. Minta Pendapat Semua Pekerja

Idea untuk mencari suara bagi jenama ini tak semestinya terhad kepada pasukan pemasaran dan jualan semata-mata. Sebaliknya, anda boleh bertanya kepada semua pekerja dan minta mereka pilih 5 adjektif bersesuaian bagi menggambarkan jenama.

Kumpulkan semua jawapan dan kenalpasti adjektif yang mirip. Anda boleh jadikan jawapan yang terkumpul sebagai panduan untuk membina identiti dan suara jenama dengan lebih jelas.

brand voice

3. Gunakan Buyer Persona Sebagai Inspirasi

Untuk merangka brand voice, anda juga boleh merujuk kepada buyer persona bagi perniagaan anda. Apa yang pelanggan mahukan dan apa yang syarikat anda boleh tawarkan berbanding syarikat lain?

Kenalpasti jenis nada yang sesuai untuk digunakan ketika berkomunikasi dengan audiens secara majoriti. Ini boleh mendorong anda untuk cipta satu identiti yang kuat untuk jenama.

4. Semak Kandungan Terbaik

Seperti yang dinyatakan tadi, kandungan yang pernah anda terbitkan sangat membantu dalam membina suara jenama yang baik. Sekiranya anda sudah terbitkan kandungan selama beberapa bulan atau tahun, semak semula kandungan-kandungan yang pernah mendapat sambutan hangat audiens.

Highlightkan karakter suara yang digunakan ketika menulis kandungan tersebut. Adakah penulisan anda lebih puitis? Adakah anda sering kaitkan kandungan dengan trend terkini?

Selain itu, anda juga perlu buat sedikit kajian untuk ketahui jenis kandungan yang terbaik bagi perniagaan dan cara untuk terapkannya dalam brand voice.

5. Semak dan Kemaskini Brand Voice

Seperkara lagi, brand voice bukanlah satu identiti yang statik. Sebaliknya, ia perlu berkembang seiring dengan kemajuan pasaran dan persaingan dengan syarikat lain.

Mungkin dalam setiap 4 bulan, anda perlu semak semula karakter-karakter bagi brand voice untuk kenalpasti sama ada ia masih relevan dan sesuai dengan jenama pada ketika itu. Sekiranya tidak, sudah tiba masanya untuk anda kaji semula dan terapkan karakter yang lebih segar untuk jadi suara jenama.

brand voice

Kesimpulannya, jenama yang baik perlu hasilkan kandungan yang berkualiti. Kandungan yang berkualiti pula takkan wujud tanpa suara jenama yang kuat. Oleh itu, untuk menjadi jenama yang menyerlah berbanding yang lain, anda perlu cipta brand voice yang mantap.

Semak semula kandungan yang anda pernah buat dan brainstorm bersama rakan sekerja yang lain untuk bina satu ‘suara’ yang boleh mewakili jenama.

Sekiranya anda pernah menerbitkan kandungan, kenalpasti juga jenis kandungan yang berkesan dan mendapat sambutan hangat daripada audiens. 

Jangan lupa untuk highlight nada dan gaya bahasa yang sering digunakan. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Selamat mencuba!

Sumber : HubSpot, Content Marketing Institute, Twitter

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top